Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Ketika Kau Hilang Motivasi Hidup

Assalamu’alaikum w.b.t

Ada waktu-waktunya dalam hidup ini, kita akan kehilangan motivasi hidup. Namun jangan pernah berhenti untuk mahu hidup.

Ada waktu-waktunya dalam hidup ini, kita akan kehilangan motivasi hidup. Namun jangan pernah berhenti untuk mahu hidup.

Kehidupan.

Sesiapa pun pasti akan pernah merasai saat-saat sulit dalam kehidupannya. Saat-saat dirinya terasa kehilangan semua orang di sekelilingnya, terasa mereka langsung tidak peduli terhadap dirinya. Saat-saat terasa dirinya tidak berguna dan hanyalah seorang manusia yang sekadar hidup sahaja. Terasa semua yang dilakukannya hanyalah dilakukan sahaja, tidak dihargai.

Terasa jauh daripada Allah SWT. Malah terasa bahawa Allah SWT sudah tidak memandang dirinya lagi. Kerana dia hanyalah seorang manusia dari sekalian jutaan manusia dimuka bumi ini yang tidak berguna dan hanya mungkin akan sia-sia pengakhiran hidupnya di akhirat kelak.

Ketika semua orang kelihatan sedang menuju ke puncak kejayaan masing-masing, maka dirinya hanya mampu melihat dan merasakan diri tidak berguna untuk sedetik berada di dunia. Dia terasa bahawa dirinya tiada kemajuan dalam bahkan tidak mungkin dapat menjadi seperti orang lain.

Dan antara yang paling sakit sekali, adalah merasa bahawa dirinya tidak berpeluang untuk menjadi seorang hamba yang akan dicintai oleh Allah SWT dan dimasukkan ke syurga bersama keluarga dan orang-orang yang Allah SWT cintai. Memikirkan itu, dia terasa bahawa hidupnya seakan-akan sudah tamat. Hanyalah jasad yang bergerak, jiwa sudah seakan-akan tidak berkehendak.

Persoalannya, sampai bila mahu berperasaan begini?

Jatuh Bangun Dalam Kehidupan

Percaya atau tidak, dalam hidup hatta seorang motivator terkenal pun pasti akan pernah terasa seakan-akan mahu berhenti buat apa yang dia sedang buat dalam hidupnya. Bahkan seorang penulis pun pasti akan pernah terfikir untuk mahu berhenti menulis dalam hidupnya.

Kenapa? Kerana lumrah seorang jiwa adakalanya merasa tidak dipenuhi, tidak difahami dan terasa seakan-akan dunia ini terasa sempit. Tapi semua perasaan ini normal. Malah jatuh dalam kehidupan itu juga biasa. Kalau hari ini kita berada di atas, maka berhati-hatilah, mungkin kita pula akan berada di bawah. Kalau hari ini kita untung dalam perniagaan, maka suatu hari nanti mungkin juga kita akan rugi dalam perniagaan. Kalau hari ini kita sentiasa tersenyum dengan kejayaan, maka mungkin esok kita akan sedih kerana kegagalan. Dapat lihat tak macam mana hidup ini?

Banyak kali jatuh dalam kehidupan, adakah itu bermakna semua orang perlu berhenti melakukan apa yang baik dalam kehidupannya? Adakah banyak kali terjatuh itu syarat untuk berhenti berusaha? Berdamailah dengan kehidupan kita, kawan.

Memang ada waktu-waktu yang kita akan teruji dalam semua segi kehidupan semasa hayat ini. Kiri, kanan, depan dan belakang. Malah kadang-kadang terasa bahawa kita kehilangan sokongan dan dorongan dari keluarga, kita terasa sendiri menempuh hidup ini. Bahkan kita malah terasa bahawa kita hanyalah seseorang yang tidak berguna.

Kawan, saya mahu kamu tahu.. bahawa apabila pernah kamu mengalami rasa-rasa yang sedemikian, atau sedang mengalaminya sekarang, maka ketahuilah, bukan kamu seorang sahaja yang pernah atau sedang mengalaminya. Hidup ini memang tidak mudah, tapi tidak bermakna kita harus menjadi seorang yang lemah dan tidak berguna. Sekurang-kurangnya, untuk diri sendiri.

Percaya Kepada Kelebihan Diri Sendiri

Penyebab yang paling mujarab sekali merasa hidup ini tidak bermakna adalah, tidak percaya kepada diri sendiri. Yup, saya tidak main-main. Ini penyebab utama kepada putus asa terhadap diri sendiri. Merasa bahawa diri kita tidak berkebolehan atau tidak berguna untuk sesiapa, hanya akan membunuh diri sendiri. kita merasakan bahawa kita tidak seperti orang lain yang serba boleh dan banyak sumbangan terhadap masyarakat, maka itu adalah perasaan yang hadir kerana kita merendahkan dir kita sendiri. Kita melemahkan diri kita sendiri.

Percaya?

Kalau kita sentiasa berfikiran negatif, maka kita tidak perlu kepada orang luar untuk memberikan pandangan negatif terhadap kita. Kerana kita sendiri yang akan memberikan pandangan negatif terhadap diri, bahkan membuatkan diri kita percaya bahawa kita memang dilahirkan tanpa apa-apa kelebihan dan kebolehan. Percaya?

Walhal, setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dengan kebolehan masing-masing. Mungkin kita belum nampak atau tidak nampak. Tapi percayalah, ada insan-insan di sekeliling kamu dapat melihat potensi diri kamu serta kebolehan kamu. Tapi kamu tidak nampak. Kerana apa? Kerana sifat negatif kamu terhadap diri sendiri.

Tapi lain halnya jika kita selalu berfikiran positif, dan positif terhadap diri sendiri. Fikiran positif yang kita ada akan mendorong kita untuk berusaha dan mencuba sesuatu yang sebelum ini kita fikir kita tidak boleh. Fikiran positif kepada Allah SWT, kepada agama ini dan kepada diri sendiri itulah yang akan mendorong kita menjadi seseorang yang kita tidak pernah sangka-sangka.

Bukanlah tujuan berfikiran positif dan percaya diri itu adalah kerana mahu berbangga-bangga terhadap diri sendiri. Tetapi adalah kerana mahu mensyukuri nikmat-nikmat yang Allah SWT beri. Tatkala orang lain tidak dapat melihat sekeliling dengan kacamata kesyukuran, sebaliknya kita sentiasa bersangka baik terhadap tiap-tiap sesuatu yang berlaku dan positif terhadap hikmah.

Sebenarnya, kita sedar hakikat ujian di dunia. Ujian akan berlalu pergi, maka datang kebahagiaan. Kebahagiaan akan berlalu pergi, datang pula ujian. Tapi tiap-tiap satu darinya perlu disyukuri, bukankah?

Firman Allah SWT,

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah 155-157)

Berbeza benar antara yang negatif dan positif, bukan?

Allah Ada Setiap Masa

Berbalik pada sifat positif kita terhadap diri sendiri. Apabila kita mengajar dan mendidik diri kita menjadi seorang yang positif dan percaya bahawa Allah SWT tidak pernah membiarkan kita terkapai-kapai. Malah kita bersangka baik bahawa setiap ujian yang hadir dalam hidup ini hanyalah ujian yang menguatkan, maka kita akan melihat semuanya menjadi mudah.

Tidaklah pernah Allah SWT mengkehendakkan yang mudarat kepada seluruh hamba-Nya. Tetapi dalam pengetahuan-Nya jua, Allah SWT mungkin hadirkan banyak berita-berita gembira bersamanya. Kerana bersangka baik itu juga adalah satu doa. Senyum.

Firman Allah SWT,

“Boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah : 216)

Sabarlah, kawan. Yakinlah terhadap Allah SWT. Senyumlah atas ujian-ujian yang pernah diberikan atau sedang diberikan kepada dirimu, Allah SWT berbicara kepadamu melalui ujian-ujian-Nya. InshaAllah sinar-sinar kebahagiaan akan memeluk dirimu.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda, mafhumnya, “Sesungguhnya urusan orang beriman itu selalu baik, apabila di timpa kebaikan ia bersyukur dan syukur itu baik baginya. Dan apabila ia di timpa kesusahan ia bersabar dan sabar itu baik baginya.”

Fikirkan sahaja, bahawa kamu tidak bersendirian. Kalau pun ada manusia yang tidak memahamimu, wahai kawan.. maka percayalah bahawa Allah SWT selalu ada bersama-Mu. Dirimu cuma perlu mendampingi Allah SWT, banyakkan ibadah dan zikir kepada-Nya.

Moga Allah SWT berlembut kepada kita;
mengasihi kita.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *