Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Kesenangan Juga Adalah Ujian

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kita tahu tak perasaan seseorang yang basah dek titisan hujan?

Kita tahu tak perasaan seseorang yang basah dek titisan hujan?

Kadang-kadang orang hanya tahu bahawa kesusahan hidup itu adalah ujian dari Tuhan. Penderitaan yang dialami itu juga adalah sesuatu yang perit untuk diungkapkan. Tidak semua orang faham apa penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh orang lain. Orang hanya boleh melihat, tapi belum tentu boleh merasainya.

Begitulah.

Tapi tidak ramai yang sedar bahawa kesenangan itu juga adalah ujian dari Tuhan. Dengan kesenangan, manusia boleh jadi melupakan Pencipta kesenangan. Dengan kesenangan, manusia boleh jadi lupa daratan. Dengan kesenangan, manusia boleh pandang manusia lain dengan pandangan kehinaan. Begitu juga, kesenangan boleh membuat saling bermusuhan.

Pernah terfikir tidak kesenangan itu boleh membawa kesusahan?

Satu : Takkan Dapat Merasai

Mudahnya begini, bila kita daripada kecil lagi sudah terbiasa duduk dalam rumah mewah yang lengkap keperluannya serta besar pula, maka sangat mustahil kita dapat merasai bagaimana perasaan mereka yang duduk di rumah yang sempit. Rumah yang dimana ruang tamu, di situlah tempat tidur, di situlah dapur, di situlah tempat makan.

Kita mungkin boleh bersimpati. Tapi sangat jarang untuk rasa empati.

Dan mustahil untuk kita dapat menyelami perasaan mereka yang duduk di rumah setinggan yang bila-bila masa sahaja akan dirobohkan oleh kerajaan bila kerajaan berkehendak. Dan agak mustahil untuk memahami perasaan mereka yang sebenar-benarnya pernah mengalami pengalaman rumah terbakar sehingga hanya tinggal sehelai sepinggang.

Dua : Takkan Dapat Menyelami

Suatu hari, pernah datang seorang wakil dari sebuah badan NGO yang aktif dalam membantu saudara-saudara Islam yang sedang menderita dek kerana kekejaman orang-orang yang memusuhi Islam. Wakil tersebut menyampaikan ucapan dan berkesempatan menayangkan beberapa buah video.

Wallahi! Sesiapa sahaja yang menonton video keganasan dan penderitaan tersebut, pasti akan mengalir airmatanya. Pasti akan tertanam rasa marah pada pihak-pihak yang berkaitan yang membuatkan penderitaan itu terjadi ke atas mangsa-mangsa tersebut.

Saya sendiri tidak sanggup untuk menonton selepas habis video tersebut, airmata berguguran. Saya, sedih. Basah hujung tudung dijadikan mangsa untuk menjadi pengelap airmata yang mengalir dari tubir mata.

Pun begitu, airmata yang mengalir itu bukanlah tanda bahawa sudah betul-betul menyelami dan merasai perasaan mereka yang menderita, yang kehilangan ahli keluarga, yang menyaksikan kematian orang tersayang di depan mata.

Sungguh, airmata itu belum cukup untuk menyelami. Kerana apa? Kerana kita tidak berada dalam kasut mereka. Dalam situasi mereka yang saban hari sentiasa berhati-hati dan mengawasi hujan peluru atau bom jatuh membedil.

Tiga : Sentiasa Berada Dalam Kesenangan

Jika kita masih ada rumah yang di bawahnya berteduh ahli keluarga dengan segala kelengkapan yang ada, dan bila makan kita juga sehari lebih dari 2 kali, dan bila pakai kita boleh bertukar-tukar setiap hari, juga kita boleh menghadap laptop serta online lebih dari 2 jam, maka itu namanya kehidupan kita termasuk dalam kategori yang senang.

Ujian kesenangan ini lebih menakutkan sebenarnya. Jika terlebih sudu dari kuah, maka kita boleh tergelincir bila-bila masa. Akan datang satu waktu nanti, kesusahan orang lain langsung tidak mendapat pemerhatian mata, apatah lagi untuk mengambil tahu.

Dan bila sudah terjadi begitu, itu menakutkan.
Gulph. *telan air liur*

Kesimpulan entri ini? Apa yang dapat kamu simpulkan?
*urut dagu*

Entah. Entri ini, anggaplah hanya sekadar sapaan yang sedikit mengenai kesenangan. Jangan pernah merasa aman atau merasa selesa dalam keselesaan. Hal ini kerana, tidak mustahil bagi ALLAh Ta’ala untuk menariknya kembali dalam sekelip mata.

Mungkin kita di Malaysia ini tidak mengalami penderitaan dan kesusahan seperti saudara-saudara Islam kita di negara-negara lain, tapi itulah;

tidak mustahil apapun bagi ALLAh Ta’ala!
tidak susah pun bagi ALLAh untuk perkara-perkara yang dahsyat!

Mari bersama fikir-fikiran.
Mari bersama perhatian iman kita ini.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *