Refleksi Ramadhan #15 : Kerana Manusia Ada Hati Yang Baik

Bismillahirrahmaanirrahiim.

You can be a kind person, buddy. You can, yes. Credit Picture : Mr. Google
You can be a kind person, buddy. You can, yes.
Credit Picture : Mr. Google

15 Ramadhan 1435H.

Semalam kotak inbox saya disapa dengan pemberitahuan oleh salah seorang kakak saya yang bertugas di salah sebuah hospital di Saudi Arabia. Katanya, mereka mendapat arahan untuk bertugas di salah sebuah hospital penempatan Syria kerana di sana kekurangan staff medikal. Katanya lagi, bantuan ubat-ubatan telah pergi dahulu untuk diagihkan.

Dan hari ini, kotak inbox saya pula disapa oleh kiriman mesej seorang kawan yang menyatakan kesedihannya atas apa yang berlaku di Palestin dan yang menimpa para penduduknya di sana. Saya mendengar (baca). Saya faham kesedihan itu.

Namun, ada juga orang yang sebenarnya langsung tidak menghiraukan isu Palestin, Ghazzah, Syria dan seangkatan dengannya. Dan saya terbaca serta terdengar, kenapa perlu kisah dengan mereka mangsa zionis tersebut? Alasannya, itu hal mereka. Mereka nak berbunuh sesama sendiri, itu mereka punya pasal. Kenapa perlu kisah?

Kenapa perlu kisah?

Soal Kemanusiaan, Bukan Soal Agama

Saya bukanlah orang yang pesimis. Banyak waktu saya akan cuba untuk positif. Tetapi untuk orang yang kelihatan seakan-akan tidak peduli atau pun berkata bahawa isu Palestin yang berlaku sekarang adalah kerana isu perbalahan agama, dan kita tidak perlu masuk campur.. Maka saya boleh katakan, orang yang jenis begini ada masalah pada hatinya.

Jika ada orang mengatakan bahawa apa yang berlaku di Palestin dan Gaza sekarang adalah kerana isu agama, atau lebih tepat lagi adalah kerana isu orang Islam itu sendiri, maka saya akan bentangkan sejarah penciptaan negara israel itu bagaimana dari mula sehingga akhir. Dan saya hendak lihat, apa reaksi orang-orang yang berkata sedemikian.

Tapi saya memilih untuk tidak bersikap keras terhadap orang yang kurang faham mengenai apa yang berlaku di Palestin dan Gaza sekarang. Tapi suka untuk saya mengajak semua melihat apa yang berlaku sekarang dari sudut kemanusiaan.

Apakah pada pendapat kalian sebagai seorang manusia, perbuatan membunuh itu adalah sesuatu yang perlu dibanggakan? Atau adakah perbuatan mengebom rumah yang isi rumahnya sedang menjamu selera bersama keluarga yang terdiri daripada bayi dan anak-anak kecil itu adalah perbuatan yang mulia?

Adakah mangsa-mangsa akibat pengeboman yang putus tangan, putus kaki, pecah tengkorak kepala itu adalah sesuatu yang menghiburkan dihati?

Tidak, bukan?

Jadi di mana rasa sensitiviti kita terhadap seorang manusia kepada manusia yang lain? Tolak hal-hal kita menganuti agama apa; apabila melihat mangsa-mangsa kekejaman oleh pihak yang kejam, adakah kita tidak merasa apa-apa? Atau kita hanya berpeluk tubuh dan menganggap bahawa kejadian tersebut biasa sahaja?

Semua Manusia Menginginkan Keamanan

Kamu tahu? Saya selalu percaya, agama apapun yang ada di muka bumi ini, hatta seseorang yang mengaku atheis, adalah orang-orang yang menginginkan kedamaian. Tiada orang mahu hidup dalam keadaan ketakutan kerana bila-bila masa sahaja bom akan menghujani tempat tinggalnya. Tiada sesiapa yang dengan rela mahu menjadi mangsa kerakusan, kekejaman dan kezaliman oleh orang-orang yang zalim.

Orang Islam atau tidak, saya percaya; kita semua mempunyai hati yang baik. Kita mempunyai hati yang akan berkata tidak kepada kezaliman.

Yes, I believe in that!

Siapa diantara kita yang dengan rela mahu melihat rumah kita dibedil bom dan hancur dalam sekelip mata? Siapa diantara kita yang dengan rela menyaksikan sendiri ibu, ayah, dan adik beradik kita terbunuh di depan mata? Atau siapa diantara kita yang dengan rela melihat adik atau kakak kita diperkosa dengan disaksikan oleh mata kita sendiri?

Ya, ini berlaku. Realiti.

Maka cuba tanya kepada diri kita sendiri, sanggupkah kita menjadi mangsa-mangsa seperti di atas? Saya sangat percaya 100%, tiada dalam kalangan kita yang mahu menerima nasib yang sama seperti yang saya sebutkan di atas, kan.

Ambil Kisah Hal Dunia

Mungkin pernah kita dengari orang berkata, “Asyik isu palestin je kau sebut-sebut ni! Tak jemu ke? Perlukah berkali-kali nak hebahkan?” Kalau ya, bersabarlah. Sejujurnya, saya hanya mampu geleng-geleng kepala saja.

Ambil kisah isu dunia.

No, saya tidak katakan kita perlu bersedih menangis dengan bengkak mata dan semua kerja serta tanggungjawab yang sepatutnya kita jalankan, kita abaikan. Kerana kita mempunyai tanggunjawab terhadap diri kita sendiri dan orang-orang sekeliling kita.

Tapi apa yang kita boleh buat adalah, ambil tahu atau ambil kisah mengenai isu-isu semasa. Baca banyak informasi mengenai Palestin, Ghazzah, Israel dan yang seangkatan dengannya. Buka minda kita dengan banyakkan membaca buku!

Sekiranya apa yang berlaku di Palestin sekarang adalah apa yang berlaku kepada orang-orang kristian yang jelas-jelas tidak seagama dengan saya, dan kalau yang berlaku itu adalah kerana kezaliman, maka saya juga akan menentang. Serius.

Kerana itu saya katakan, apa yang berlaku di Palestin sana bukanlah isu kerana mereka adalah orang Islam. Tapi mengenai isu kemanusiaan.

Saya tinggalkan kita semua dengan sebuah persoalan;
atas apa yang berlaku masa ini,
atas penderitaan mereka di sana,

.. di manakah kita? Dan peranan apa yang telah kita jalankan?

Sebagai seorang manusia,
aku menyayangi kalian.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *