Kelab Orang-orang Mukmin

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Semakin melangkah, semakin jauh perjalanan kian terasa.

Manusia tidak dijadikan dengan sia-sia tanpa sebarang tujuan. Justeru, ALLAh Ta’ala telah menggariskan beberapa peraturan yang manusia wajib lakukan.

Sepertimana kita berada dalam sesebuah persatuan, kelab dan yang sama waktu dengannnya, juga mempunyai peraturan. Jadi atas alasan apakah manusia yang dijadikan oleh Yang Esa tidak memerlukan panduan dan peraturan yang dimana semua itu adalah untuk kesejahteraan hidup manusia sendiri?

Sebab itu, dunia ini juga boleh diibaratkan sebagai sebuah kelab.

Sebuah kelab itu lazimnya ada pengasas ataupun ketua, juga ada ahli jawatankuasa yang penting mahu pun ahli-ahli biasa. Kesemua ahli didalam sesebuah kelab itu memainkan peranan masing-masing walaupun ada diantaranya tidak mempunyai pangkat yang besar. Akibat kepincangan kecil oleh ahli-ahli di dalamnya, maka akan memberi impak yang besar kepada kelab tersebut.

Manusia, ada ahli ‘Kelab’ milik ALLAh Ta’ala. Iaitu Deenul Islam!

Menerima Hukuman Atas Setiap Kesalahan

Semua maklum, apabila seseorang manusia melakukan kesilapan dan kesalahan, maka manusia itu patut dihukum. Perkara ini bukan sesuatu yang pelik. Hatta semasa kecil pun, apabila seorang anak itu ingkar dan degil akan cakap dan perintah ibu dan ayah, maka tunggu sajalah hukuman dari mereka. Kan?

Dan perjalanan hidup sebagai seorang hamba ALLAh dan sebagai seorang manusia di muka bumi ini, adakalanya kita melakukan kesilapan dan kesalahan. Kesalahan itu kadang-kadang kerana tidak sengaja, tapi terlalu banyak juga kesalahan yang dibuat secara sengaja, aite? Alaaa, jangan mengelat! (Hehe)

Dalam kelab pun, keadaan yang sama akan berlaku. Kalau kita melanggar peraturan kelab, atau cemarkan nama baik kelab, maka kita akan dihukum. Dan hukuman itu pula ada macam-macam jenis. Mungkin berbentuk denda. Ada juga denda yang berbentuk kerja tambahan yang mungkin kurang menyeronokkan. Tidak kurang yang boleh digantung keahliannya. Malah ada yang dipecat! Pendek kata, hukuman kepada seseorang pesalah ahli dalam kelab itu bergantung kepada keseriusan kesalahan yang telah dilakukan sesuai dengan pertimbangan ‘Jawatankuasa’.

Baik. Kita sekarang berada dalam ‘Kelab Orang-Orang Mukmin’, pemiliknya adalah ALLAh Ta’ala. Tiada yang lain. Semua arahan keluar daripada Dia. Segala suruhan-Nya, mesti diikuti oleh seluruh ahli kelab. Dan cuba anda jawab, apabila anda melakukan kesalahan dalam kelab ini, apa yang selayaknya untuk anda? *sengihnakal*

Maka begitulah juga keadaan apabila kita menjadi ahli kelab yang dimiliki oleh ALLAh Ta’ala ini. Siapa yang telah sedia mendaftar di dalam kelab ini dan dengan rela hati, maka Tuan Punya Kelab yang akan mendisiplinkan sendiri ahli kelabnya. Dan perlu diketahui, apabila berada di dalam ‘Kelab Orang-Orang Mukmin’ ini, tiada satu pun yang terselindung daripada Tuan Punya Kelab. Segala tindak tanduk ahli, ada dalam pengetahuan dan pendengaran-Nya.

Atas setiap kesalahan, ALLAh datangkan hukuman!

Hukuman yang datang terus daripada-Nya, tidak memerlukan amaran atau ahli jawatankuasa yang lain untuk mempertimbangkan-Nya. Segala keputusan ada ditangan-Nya. ALLAh itu Maha Mengetahui dan Maha Adil, maka Dia sendiri tahu sejauh mana kesalahan ahli-ahli kelab-Nya. Malah Dia sendiri tahu apa kelemahan kita.

Boleh jadi segala kesusahan, kesakitan, kesempitan hidup dan seribu satu dugaan yang dihadapi oleh kita dalam kehidupan seharian adalah merupakan hukuman daripada-Nya untuk menyedarkan kita. Dan ingat, semua itu datang tidak lain tidak bukan kerana kesalahan sendiri.

Dan beruntunglah, kerana itu menandakan bahawasanya ALLAh Ta’ala masih ALLAh tidak membiarkan kita terus-menerus tenggelam dan asyik dalam kesalahan itu!

Keluar dari ‘Kelab Hak Milik ALLAh’ kerana membawa diri? Jangan. Sebaliknya, berlapang dadalah dengannya. Kerana ALLAh mahu menyucikan diri kita. Percaya deh.

Apabila Menerima Hukuman Dari ‘Tuan Punya Kelab’

Sekali lagi ditekankan, hukuman yang diterima itu bukan menjadi tiket untuk ahli-Nya keluar dari kelab yang sedia ada. Sebaliknya, pujuk dan teguhkan diri. Katakan kepada diri sendiri, bahawa hukuman itu memang selayaknya untuk diri kita atas setiap kelalaian yang dilakukan.

Bukankah ALLAh Ta’ala telah menyediakan panduan hidup? Jadi, sebenarnya saya sendiri tidak nampak ruang untuk kita merajuk dan menunjukkan protes kepada Tuan Punya Dunia. Kerana setiap ‘imtihan’ yang datang itu adalah kerana kesalahan kita. Dan juga kerana ALLAh Ta’ala mahu menguji kekuatan iman kita.

Jadi, apa yang perlu dilakukan ketika menerima ‘punishment’?

(1) Bersabar
Bersabar atas dugaan yang diterima. Jangan mengadu ke sana dan ke sini mengenai nasib hidup yang tidak seperti mereka yang pada pandangan mata anda, adalah orang yang bertuah. Kerana apa yang anda hadapi sekarang, adalah selayaknya untuk anda dalam pengetahuan ALLAh Ta’ala. InshaAllah. Setiap kesabaran itu, ALLAh Ta’ala akan gantikan dengan sesuatu yang manis. Eh, mengadu ke sana dan ke sini dengan berkongsi dengan orang yang dipercayai, tidak sama ya. Senyum.

(2) Muhasabah Diri
Toleh kembali ke belakang buat sejenak. Mungkin ada yang kita terlepas pandang. Yang pasti, sesi muhasabah diri itu adalah sesi melihat kekurangan dan kesalahan yang pernah dilakukan tanpa sedar. Sebab itu dalam Islam sendiri, muhasabah diri sangat ditekankan. Kerana ada diantara kelakuan kita, hanya akan kita perasan dan ketahui dengan memuhasabah diri sendiri. Subhanallah! Hebat ALLAh Ta’ala.

(3) Kembali Kepada ALLAh Dengan Taubat
Memohon keampuan dan kekuatan dari-Nya. Semoga dikuatkan iman untuk menempuh segala natijah dari perbuatan diri sendiri. Juga memohon maaf kepada manusia jika kesalahan itu melibatkan manusia lainnya.

(4) Memperbaiki Diri Sendiri
Sudahnya, kita patut ada azam untuk memperbaiki diri sendiri. Meninggalkan segala kelalaian dan kelakuan yang menimbulkan fitnah dan keburukan. Dan azam itu tidak akan terlaksana jika tiada kesungguhan kudrat. Oleh itu, jom sama-sama mohon kepada ALLAh agar diberikan kekuatan kudrat.

Allahumma ‘afini fii badani. Allahumma ‘afini fii sam’i. Allahumma ‘afini fii bashori.
Allahumma aamiiin ya Mujib!

Melapangkan Dada Menerima Hukuman-Nya

Segala hukuman, kita perlu iyakan sahaja. Laksanakan, hadapinya dengan rela. Terimalah hukuman dari ALLAh Ta’ala itu dengan hati yang lapang dan jangan sesekali menjauhkan diri atau membuat sesuatu kebodohan menunjukkan protes kepada-Nya. Kerana, yang rugi adalah kita sendiri. Bukannya ALLAh ta’ala, kerana Dia Maha Kuasa. Sedangkan kita makhluk-Nya, tiada kuasa!

Satu perkara yang kita perlu faham dan perlu tanam dalam diri sendiri, atas setiap dugaan yang kita hadapi itu sebenarnya adalah, ALLAh Ta’ala ingin mendidik kita untuk menjadi hamba dan muslim yang kuat. Dan subhanallah, ALLAh juga sebenarnya ingin menghapuskan dosa-dosa kita di dunia lagi dengan mendatangkan ujian sesuai dengan kehendak-Nya.

Kerana apa? Pernah fikir? Kerana, ALLAh Ta’ala tidak mahu kita menanggung kesengsaraan akibat hukuman yang tidak pernah terjadi di dunia.

Pernah melihat seorang ibu yang mengasihi bayinya? Maka ingatlah, kasih-sayang ALLAh Ta’ala terhadap kita hamba-Nya, melebihi kasih-sayang seorang ibu kepada anaknya.

Pssst! ALLAh bukan mahu membinasakan kita.
ALLAh mahu sayang pada kita, kerana itu Dia mengingatkan kita di dunia lagi.
Kerana hukuman dan azab di neraka, tersangat seksa dan tidak dapat dibayangkan pun.

Jika terasa jiwa itu terhimpit, mengadulah banyak-banyak kepada-Nya.
Kerana ALLAh, sentiasa mendengar dan mendengar pengaduan hamba-Nya.

Yakin akan itu! *pelukkamu*

Peringatan yang teramat lebih untuk diri saya sendiri sebenarnya.
Moga ALLAh memberikan kekuatan iman kepada saya untuk menempuhinya.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *