Kehidupan : Motivasi Tertinggi!

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Motivasi tertinggi? Hanya akan kita alami apabila kita nekad melakukan sesuatu kerana sesuatu. Dan kita tidak hirau akan sesuatu yang mendatang, kerana kita mempunyai sesuatu yang bernama tujuan.
Motivasi tertinggi? Hanya akan kita alami apabila kita nekad melakukan sesuatu kerana sesuatu. Dan kita tidak hirau akan sesuatu yang mendatang, kerana kita mempunyai sesuatu yang bernama tujuan.

Setiap satu dari kita, pastinya mempunyai motivasi tersendiri yang mendorong diri kita melakukan sesuatu yang kadang kala kita pun tidak termampu. Atas dorongan motivasi tersebut, kita boleh mengatasi ketakutan kita terhadap sesuatu.

Motivasi – satu dorongan yang membuatkan kita menjadi berani!

Lain orang, pasti lainlah punca motivasinya. Ada yang termotivasi kerana kata-kata seorang manusia, ada yang termotivasi kerana tulisan seseorang, malah ada yang termotivasi kerana tingkah laku seseorang. Variasi, namanya. Semua orang memilih dan mempunyai jenis motivasi yang bervariasi yang memberikan kesan dalam kehidupannya.

Setuju?

Saya setuju (apa hal pula dia yang tanya, dia yang jawab? koff koff). Sekiranya kita adalah orang yang masih tercari-cari atau masih tidak pasti apakah motivasi kita selama ini yang telah mendorong di mana kita yang berada sekarang ini, maka semoga kita menjadi orang yang berjaya mencari motivasi dalam kehidupan.

Ya. Motivasi yang tertinggi!

Apa Pula Motivasi Kita?

Adakalanya, apabila kawan-kawan terdekat atau orang-orang sekeliling bertanya, “Apa yang membuatkan kau termotivasi melakukan hal yang sedemikian?” Atau apabila keluarga terdekat atau kawan-kawan lama bertanya,

“Tak sangka kau dapat buat macam tu, macam ni. Dulu kontra gila!”

Saya tersenyum. Jawapan saya sikit sahaja, “Manusia berubah. Akan ada sesuatu yang dipegang dalam hidupnya, dan dia merasa bertanggungjawab untuk itu. Maka dia ketepikan yang tidak perlu, dan melangkah dengan apa yang Tuhan mahu!”

Sebenarnya, walau dalam hal apapun; sekiranya kita pernah membaca di mana-mana akan hal yang memotivasikan seseorang itu dalam hidupnya, kita sebenarnya tidak benar-benar dapat mengorek rahsia jiwanya. Walaupun mungkin telah dizahirkannya perkongsian melalui perkataannya. Namun tetap, perihal motivasi tertinggi dalam hidupnya itu tidak dapat difahami andai kita tidak mencuba untuk merasai.

Oh, alang-alang kita bercakap perihal motivasi.. Saya juga termotivasi dengan bagaimana Nabi Nuh a.s termotivasi dengan perintah Allah Ta’ala untuk membina sebuah bahtera yang besar yang berada di tengah-tengah kawasan yang tiada lautan. Masih ingatkan kita bagaimana kisah Nabi Nuh a.s dengan gigih membina bahtera tersebut walaupun diejek dan dicaci oleh manusia sekelilingnya.

Nabi Nuh masih tetap meneruskan apa yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala.

Sehingga akhirnya pada satu waktu yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala, berlaku banjir besar yang bergelora yang memusnahkan tempat ketika itu sehingga menjadi seolah-olah lautan yang luas. Masih ingatkah kita, kawan?

Dan saya teringat bagaimana kisah Sultan Muhammad Al-Fatih yang juga termotivasi akan pembukaan Kota Konstantinople dek kerana sabda Baginda Nabi SAW yang mengatakan raja yang akan menawan kota itu adalah raja yang baik yang juga mempunyai rakyat yang baik; baik dari segi amalan ibadah dan jasmaninya!

Bagaimana seorang pemuda yang masih ‘mentah’ ketika itu boleh menjadi seseorang yang begitu yakin akan langkahnya? Yang namanya masih disebut-sebut sehingga sekarang ini?

Kedua-dua kisah di atas, apa persamaannya? Apa motivasinya? Jika ditanyakan kepada saya, saya melihat insan-insan yang motivasi tertinggi mereka adalah Allah SWT!

Motivasi Tertinggi Bagi Orang-Orang Beriman

ALLAh.

Sepertimana orang-orang beriman itu jika berdakwah, maka dakwah mereka kerana Allah. Jika mereka ingin membantu, maka bantuan mereka kerana Allah. Jika mereka ingin menyampaikan, maka penyampaian mereka kerana Allah. Jika mereka melangkah, maka langkah mereka kerana Allah. Jika mereka ingin memberi nasihat, maka nasihat mereka kerana Allah. Semuanya kerana Allah. Bukan kerana diri sendiri.

Begitu juga apabila; jika mereka menjadi mad’u, maka mereka menjadi mad’u kerana Allah. Jika mereka ingin dibantu, maka mereka mahu dibantu kerana Allah. Jika mereka diberi nasihat, maka mereka menerima nasihat kerana Allah.

Maka begitulah juga, motivasi tertinggi dalam hidup, adalah Allah!

Ya, memang betul orang-orang beriman itu mengharapkan syurga dan nikmat di dalamnya. Mengharapkan segala kebaikan di negeri akhirat sana. Namun, itu semua hanya sampingan, hanya apabila kita menjadikan Allah itu adalah tujuan utama kita!

Kamu tahu, pernah dalam kehidupan seseorang itu.. Saat ketika hidupnya tidak terasa bermakna kerana orang-orang di sekelilingnya sudah tidak memberi apa-apa makna. Saat dirinya sudah nekad untuk tidak upaya menghadapi dunia. Tiba-tiba dihadirkan kepadanya seseorang hanya untuk seketika, menyampaikan bahawa;

sekiranya semua orang menolak kamu dan tidak mengaku kewujudan kamu di dunia ini sekalipun, dan sekalipun di ceruk mana kamu akan tercampak nanti.. Allah SWT itu sentiasa ada untukmu. Jangan rasakan dengan matamu, kerana dunia mungkin akan mengaburi matamu. Tapi rasailah dengan hatimu, di situ kau akan bertemu kebesaran Tuhanmu!

Maka, kehidupannya selepas itu hanyalah kerana Tuan Punya Dunia.
Dia mempunyai ‘hayat’ kembali setelah mati akibat layanan manusia.

Mari Bertanya Kepada Diri Kita

Suka untuk saya bertanya kepada diri saya sendiri dan kepada kamu, kamu dan kamu. Selama ini, sebenarnya, setiap apa yang kita lakukan sepanjang kehidupan kita ini; apa sebenarnya yang telah membuatkan kita melakukannya?

Apa motivasi tertinggi kita melakukannya?

Adakah kerana Tuan Punya Dunia;
ataukah kerana manusia —
kita ada jawapannya.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *