Kegelapan Yang Diraba-Raba

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kalau hidup ini dah gelap, agak-agak apa akan jadi?
Kalau hidup ini dah gelap, agak-agak apa akan jadi?

Kebetulan terjaga tengah malam sebegini. Sejak rak buku dipindahkan dari dalam bilik ke tingkat bawah beberapa minggu yang lepas, setiap kali bangun dari tidur, dan bila lihat ke sebelah kanan tiada rak buku di situ – ada rasa pelik dalam jiwa. Jadi janggal. Atau erti kata lain, rindu pada buku-buku. Bertahun buku-buku jadi ‘roommate’ kot.

Itu satu hal. Terjaga tadi dalam keadaan bilik yang sangat gelap.

Ada situasi, kita sukakan kegelapan. Contoh, semasa waktu tidur. Dengan mematikan lampu dalam bilik itu boleh membuatkan kita tidur lena. Sangat lena. Tenang saja tidur kita.

Tetapi ada juga manusia yang tidak sukakan kegelapan. Kerana baginya, kegelapan itu sangat menakutkan. Berada dalam keadaan gelap, seperti berada dalam genggaman makhluk yang tidak diketahui rupa dan bentuk jasadnya, tetapi bila-bila masa sahaja boleh mencederakan atau membuat hal-hal buruk kepada kita tanpa kita ketahui.

Apapun definisi kegelapan bagi kalian, itu terpulang.

Kegelapan Menghancurkan

Sekarang cuba bayangkan jika kita berada di dalam kegelapan sepanjang berada di dunia ini. Kita meraba-raba sepanjang hidup dalam mata yang tertutup. Tidak dapat melihat apa-apa cahaya selain kegelapan, hitam yang tiada riang warnanya. Berada dalam kegelapan sepanjang hidup, kerana tidak mahu membuka mata. Takut jika terlihat sesuatu yang menakutkan walaupun berada dalam kegelapan. Too exaggerated?

Dan bayangkan pula rupa-rupanya pintu kepada cahaya selain kegelapan itu rupanya hanya berada di hadapan kita! Tapi oleh sebab kita tidak mahu membuka mata dalam kegelapan, dan hanya memilih untuk meraba-raba seumur hidup, kita sudah terlepas.

Dalam masa meraba-raba itu, kita diberikan tempoh masa untuk mencari cahaya.
Diulangi, tempoh masa!

Tup! Times up — Masa tamat!

Akhirnya kita dihadapkan untuk diadili. Diadili di hadapan Tuan Punya Dunia. Berdiri di hadapannya. Kali ini, dengan mata yang terbuka. Peluh menitis dari dahi, “Apa aku nak jawab ni? Cepat cari alasan!” Dan sedang berdiri itu, diasak dengan soalan demi soalan.

Mulut tertutup rapat. Terkatup!

“Kenapa kau tidak menemukan cahaya padahal cahaya itu ada?”
“Aku tidak menjumpainya.”
“Kenapa kau tidak menjumpainya sedangkan cahaya ada disekelilingmu?”
“Aku tidak dapat mencari pintunya.”

Makin diasak.

“Kerana kau tidak membuka mata!”
“Aku takut pada kegelapan.”
“Dan ketakutkanmu itulah membawa kau kepada kegelapan yang lebih dahsyat.”
“Aku tidak menjumpai cahaya. Aku takut.”

Kasih yang cuba ditagih.

“Kau tidak berusaha.”
“Tidak, Tuan Besar. Aku sudah berusaha. Aku meraba-raba.”
“Kau hanya berpura-pura berusaha. Tapi sebenarnya tidak!”

——

Tidak tahu jika ada sesiapa yang memahami erti aksara atau diksi yang terlakar di atas. Cuma dalam sudut hati, betapa pun buruknya aksara yang tercipta melalui tarian jemari ini di atas papan kekunci, pasti ada yang faham. Pasti, kerana kalian lebih arif dariku.

Cuba, kegelapan itu. Apa erti bagimu?

Dan –
cahaya yang riang ria bersinar itu
adakah lebih membahagiakan hidupmu?

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *