Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Keburukan Amarah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

La Taghdhob. Janganlah marah. Tak manis bila begitu.

Jangan Marah.

Adakah manusia yang tidak pernah marah dizaman kita ini? Khabarkan pada saya. Saya ingin bertemu dengannya. Saya yakin. Manusia mempunyai sifat amarah. Dan saya pasti, kalian pembaca juga pernah marah. Pernah tidak apa. Jangan selalu marah sudah.

Semasa mula-mula meningkat remaja dahulu, ha, sayalah antara orang yang panas baran. Dalam kalangan adik beradik pun, sayalah yang paling panas. Apabila terusik bukan kerana kesalahan saya. Saya akan menjadi marah dan akan menegakkan kebenaran untuk diri saya. Waduh, terasa lucu bila ingat balik.

Tapi kan, sebenarnya. Marah itu ada keburukannya.

Masih ingat sabda Nabi?

Jangan Marah

Pernah diriwayatkan seorang lelaki meminta nasihat kepada Rasulullah SAW. Dan nasihat yang diberikan oleh Baginda adalah ‘Jangan Marah’. Dan Baginda menyebutnya sebanyak 3 kali. Maka, anjuran untuk menahan perasaan marah itu sangat dituntut dalam Islam.

Rakan saya pernah tanya pada saya.

“Jadi, kalau orang kafir pijak-pijak orang Islam, kita tak payah marahlah, ya. Macam tu?”

Senyum.

Marah itu boleh. Tapi biar berpada. Kelak akan merosakkan akal yang sihat.

Keburukan Marah

Apabila manusia marah, jarang sekali manusia marah dan dapat berfikir dengan waras. Sebabnya, marah itu ibarat arak yang boleh mengurangkan kewarasan akal. Cuba perhatikan, apabila seseorang marah, pasti apa yang dia lakukan dalam keadaan marah itu tidak menentu dan seolah-olah dia melakukan sesuatu dengan pertimbangan akal yang tiada.

Nampaknya, marah mendahului akal dalam bertindak.

Dalam keadaan yang marah, perkara kecil boleh menjadi besar. Perkara yang baik boleh menjadi buruk. Perkara yang buruk bertambah menjadi buruk. Nah, bagi saya ini sesuatu yang tidak baik. Sangat buruk sebenarnya.

Apabila seseorang itu marah, maka syaitan akan menyucuk jarum hasutan. Sungguh senang untuk syaitan menjalankan misi mereka agar anak Adam mudah tewas dengan yang bakal mereka lakukan diluar kawalan akal yang baik.

Apabila saya ingat-ingat kembali ketika saya marah, perasaan menyesal pun ada. Anda nampak? Salah satu keburukan marah juga, adalah anda akan menyesal dengan perbuatan anda yang sedang dalam keadaan marah.

Moga ALLAh ampuni saya.

Dalam keadaan yang tidak waras itu juga, tidak mustahil kerana kemarahan yang tidak terkawal.. Akan terputusnya hubungan silaturrahim sesama manusia. Dan ini memang pernah berlaku depan mata saya sendiri. Dalam hubungan kekeluargaan, hubungan persahabatan dan apa-apa sahaja hubungan didalam dunia ini.

Seronokkah rasa marah ini? Tidak.

Bahkan mendatangkan kerugian kepada diri sendiri.

Saya menulis mengenai amarah yang tidak terkawal di sini. Jadi, skopnya adalah dalam perasaan marah yang tidak terkawal.

Cepat marah juga menampakkan anda seorang yang tidak sabar.

Hindari dan Kurangkan Marah

Saya sebetulnya tidak suka marah. Betul. Sebab saya terasa, apabila saya dalam keadaan marah, saya bukan diri saya sendiri. Ibarat, saya berada dalam diri orang lain. Segala kata-kata dan kelakuan saya, itu mustahil saya lakukan dalam keadaan saya waras. Astaghfirullah. Hebat penangan amarah dan hasutan syaitan, bukan.

Kalau kita dalam keadaan marah atau hati tengah panas, cuba anda semua jauhi perkara atau pun orang yang membuatkan anda marah. Itu akan memberikan anda ruang untuk menstabilkan keadaan anda dan membuatkan anda ‘cool’. Sebaiknya anda pergi ke suatu tempat yang tiada orang dan berzikirlah pada masa itu.

Bersesuaian dengan Sabda Baginda,

“Apabila kamu marah, maka jauhilah orang yang kamu marahi. Berubahlah dari tempat kamu berdiri ketika marah. Jika kamu marah semasa berdiri, maka duduklah. Jika kamu marah semasa duduk, maka berdirilah”

Anda pernah cuba? Saya pernah. Alhamdulillah berkesan.

Ada juga diantara rakan-rakan saya yang tidur apabila marah. Dan apabila bangun dari tidur, perasaan mereka lebih lega dan dapat memberikan kemaafan.

Seseorang pernah membacakan saya hadis ini,

“Marah itu adalah daripada syaitan. Syaitan itu pula dari api. Api hanya boleh dipadamkan dengan air. Maka bila kamu marah, pergilah berwuduk” – HR. Imam Ahmad

Saranan Nabi seperti di atas pernah juga saya lakukan. Dan MashaALLAh, memang berkesan.

Saya nampak sesuatu dipenghujung entri ini. ALLAh memang sangat memahami.

ALLAh bekalkan manusia dengan macam-macam perasaan. Antaranya marah. Dan ALLAh juga memberikan penyelesaian terhadap orang-orang yang sedang marah melalui lisan Nabi SAW.

Subhanallah.

Apabila marah, hati tidak tenang. Akuilah.

Marah itu penyakit jiwa. Makanya, Jangan Marah.

Semoga ALLAh merahmati.

One Comment

  1. eyl says:

    MasyAllah, kadang aku ade gak terlepas marah ni, kalau aku marah betul2 mmg naya la, smpai nk bertumbuk pun pernah, tp tu in extreme situation la, biasanya aku dpt tahan lagi marah2 ni. Alhamdulillah.

    “Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam perkelahian tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *