Kebahagiaan Itu Pasti Ada

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Bahagia itu tidak datang dengan sendiri. Bahkan perlu diusaha, perlu dicari!
Bahagia itu tidak datang dengan sendiri. Bahkan perlu diusaha, perlu dicari!

Kebahagiaan itu adalah dambaan manusia. Menginginkan kehidupan yang bahagia itu adalah keinginan manusia. Mahu menjalani kehidupan yang sementara ini dengan kebahagiaan yang diredhai oleh Allah SWT itu adalah impian manusia.

Bahagia.

Nikmat bahagia itu sesuatu yang sukar untuk diperincikan. Kerana bahagia itu, tempatnya dijiwa. Bukan terletak pada harta, pada gadjet yang banyak, atau pada duit yang bertimbun. Bahagia itu ada pada jiwa yang sentiasa merasa qana’ah; yang meredhai apa yang Allah SWT redhai, dan bersyukur pada yang sikit atau banyak. Bahkan tidak mengeluh sekiranya tiada.

Dan fakta serta kebenaran yang sangat penting mengenai bahagia, adalah.. Bahagia itu tidak akan datang dengan sendirinya. Atau bahagia itu tidak akan dapat diberikan oleh manusia lain, kecuali diri kita sendiri berusaha untuk mendapatkannya.

Hidup ini simple, bukan?

Allah SWT tidak akan memberikan sesuatu pun kepada mereka yang tidak berusaha. Dan tiada seseorang pun akan mendapatkan sesuatu sekiranya Allah SWT tidak mengizinkan. Juga tiada sesiapa yang dapat menghalang sekiranya Allah SWT sudah berkehendakkan untuk seseorang mendapatkan apa yang Allah SWT redha!

Bahagiamu Ada Pada-Nya

Saya pernah didatangi oleh seseorang dengan adunya, “Aku rasa sepanjang aku hidup ni, aku tak pernah merasa bahagia yang lama. Paling lama bertahan pun rasa bahagia tu hanya beberapa ketika. Kenapa hidup aku macam ini, Suhana? Aku tak pernah rasa bahagia.” Saya pula yang jadi sayu mendengar. Saya jadi keluh sahaja.

Tapi bagi saya, dia bukan tidak pernah mendapat kebahagiaan. Tapi sebenarnya dia menenggelamkan diri dalam setiap dugaan atau pun ujian dalam kehidupannya. Inilah kehidupan kita, kawan. Hidup kita tidak selalu tenang, dan juga tidak selalu bergelorah. Allah SWT itu Maha Adil. Selepas dia datangkan gelorah, dia hadirkan ketenangan. Dan begitu juga sebaliknya. Hikmah yang ada pada semua itu apa? Ada, ada hikmahnya.

Kita makin matang dan memahami hidup! Senyum.
Namun hanyasanya apabila kita sentiasa positif. Percayalah.

Saya, kamu, kamu dan kamu mustahil akan dapat kebahagiaan yang datang bergolek. Kecuali diri kita sendiri yang bergerak untuk mendapatkannya. Kita ada usaha ke arah untuk mencapai keredhaan. Kerana untuk sebuah kebahagiaan, sebenarnya we have to make a deal with our life. Do you believe? Believe me. Kita harus ada usaha untuk menemui jalan kebahagiaan. Sedangkan jalan-jalan kebahagiaan itu perlu ditempuhi oleh kita sendiri.

Perisa-perisa kehidupan seperti; jujur, berani, berusaha, rajin dan menyayangi sesama makhluk, tidak mementingkan diri sendiri dan tidak mementingkan kebuasan mulut sendiri.. Itu adalah antara simpang-simpang jalan menuju kebahagiaan.

Jangan Tenggelam dan Hanyut Dalam Masalah

Semua orang pernah berhadapan dengan masalah, itu saya pasti. Seiring dengan pertambahan usia, menandakan kita perlu berdikari. Maka, banyak pula ujian yang mendatang. Yang mana, kita perlu selesaikan satu-satu dengan usaha kita dan cara kita yang tersendiri. Saya juga adalah salah seorang seperti kalian, yang pernah berhadapan dengan ujian. Yang pernah hampir kehilangan pertimbangan. Namun, kalaulah tidak kerana tarbiyah dari Allah SWT dan kawan-kawan yang sentiasa ada tidak lokek hatta dalam soal menasihati, maka pasti saya juga tidak melihat bahagia itu di mana.

Ramai dikalangan manusia apabila berhadapan dengan masalah, ada yang mengambil jalan yang singkat. Menamatkan riwayat kehidupan — yang pasti cara membunuh diri diharamkan dalam agama Islam. Malah ada juga yang bertindak untuk tenggelam sahaja dalam masalahnya. Mengikut arus masalah sehingga dia merasa dirinya sudah tiada harapan untuk apa-apa pun dalam kehidupan. Bukankah tindakan seperti itu satu kerugian? Sungguh.

Allah SWT mencipta banyak rasa dalam kehidupan kita. Salah satunya adalah, BAHAGIA. Dan bahagia itu adalah milik semua orang. Bahagia bukanlah perkara tahyul mahupun perkara khurafat. Tetapi bahagia itu adalah satu hakikat. Hakikat yang boleh dirasai dan dimiliki oleh kita semua. Untuk mendapatkan kebahagiaan, cubalah berdamai dengan pengalaman-pengalaman hidup, redhailah apa yang Allah SWT redhai. Dan berusahalah, kawan.

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah. Tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah Yunus : 62)

Kebahagiaan itu tidak akan hilang dengan banyaknya ujian,
tapi akan hilangnya kebahagiaan kerana cintanya kepada dunia.

Kawan,
jika kita ingin bahagia;
maka menujulah ke arahnya.

Dengan usaha,
dengan azam yang nyata.

Semoga ALLAh merahmati.

One thought on “Kebahagiaan Itu Pasti Ada

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *