Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Kaunseling Mengejar Erti Kasih

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit Picture : Umar Mita

Credit Picture : Umar Mita

Pagi itu, seperti biasa rutin sebagai seorang pelajar seawal pukul 8 lagi ada kelas yang perlu dihadiri. Kelas Kaunseling. Maka langkah menuju ke kelas seperti yang sedia maklum.

Semester ini, ada subjek Kaunseling. Antara subjek yang menarik minat saya diantara semuanya. Entah mengapa dan bagaimana, belajar kaunseling ini membuatkan saya rasa tenang kerana memahami karenah manusia di sekeliling saya. Dan dalam masa yang sama, saya juga lebih memahami diri saya sendiri.

Tidak dilupakan juga, pensyarah saya yang begitu baik orangnya saya kira, Puan Nur Yani. Yang sentiasa melampirkan ketenangan dan tidak kedekut berkongsi pengalaman peribadi sepanjang tempoh bergelar Kaunselor. Setiap sesi bersama beliau, ada sahaja yang dikongsikannya. Kadang-kadang perkongsian daripada beliau membuatkan mata saya berair. Jiwa ini seolah-olah turut merasai kepedihan pengalaman hidup seseorang.

Dalam masa yang sama, saya turut bangga terhadap beliau. Kadang-kadang saya tertanya sendiri, bagaimana sosok wanita di hadapan saya itu begitu tabah berada dalam bidang ini? Sedangkan bukan hanya masa yang perlu dikorbankan, tetapi juga perlu mengorbankan jiwa sendiri. Malah perlu mengorbankan dan ketepikan emosi sendiri.

Agar Kita Tidak Menjadi Judgemental

Apa yang pasti, berada dalam bidang kaunseling ini, selagimana seseorang kaunselor itu jujur dan amanah; kaunseling mengajarkan erti kerendahan hati dan keikhlasan jiwa. Kenapa? Kerana seorang kaunselor, apabila berhadapan dengan kliennya, dia tidak boleh menjadi seseorang yang judgemental. Kerana hakikatnya, seorang kaunselor itu lebih banyak mendengar dan mendengar. Biar kliennya jadi tenang.

Hanya selepas itu, barulah seorang kaunselor akan memberikan jalan pilihan. Dan mendorong seseorang klien untuk berfikir akan pilihannya nanti. Nasihat seorang kaunselor bukan memerintah, tetapi mendorong dan menunjukkan jalan.

Kita tak anggap klien itu sebagai pesakit. Tetapi sebagai klien. Dan kita tidak boleh jadi judgemental walauapapun yang bakal mereka kongsikan nanti..” Begitu kata Puan Nur Yani.

Kita ini, bila dengar kes orang bunuh diri atau pun kes orang terjun dari bangunan yang tinggi, peratusan banyak kita bersangka buruk sangatlah tinggi. Kita akan berprasangka bahawa begini dan begitu. Yang buruk-buruk semua ada dalam pemikiran kita. Namun kita jarang untuk mencari punca kenapa seseorang itu membunuh diri atau sanggup melakukan sesuatu yang diluar kewarasan akal manusia?

Setiap orang hidup dalam keadaan yang berbeza, latarbelakang keluarga yang tidak sama dan pengalaman hidup yang banyak dugaannya. Dan kita tidak tahu kenapa seseorang boleh jadi sakit jiwa atau sakit mental. Kawan, sekurang-kurangnya orang-orang yang kurang upaya seperti ini, di akhirat nanti.. Mungkin terlepas dari perhitungan Allah Ta’ala.

Tetapi kita? Oh, snap!

Menjadi Manusia Dan Pendengar Yang Baik

Setuju atau tidak jika saya katakan bahawa apabila mengetahui ilmu kaunseling ini, membuatkan kita makin faham akan perangai seseorang? Dan apabila kita berhadapan dengan situasi yang menyerabutkan dan menguji kesabaran, kita jadi ada dua pilihan; sama ada bertindak dengan tindakan yang sama, atau cuba memahami manusia lain dan membiarkan diri kita tenang-tenang sahaja?

Kita semua ada potensi untuk menghidapi tekanan jiwa atau penyakit mental. Percaya? Ya, percayalah. Cuma peratusan rendah atau tinggi sahaja yang membezakannya untuk teruk atau tidak. Apa yang menariknya, sebenarnya Islam telah lama mengajarkan kepada kita untuk mengubati jiwa yang sedang celaru — ingatlah Allah. berzikirlah kepada-Nya!

Tapi saya bukanlah kaunselor, maka kalau ada perkara yang menyerabutkan jiwa saya, dan tidak bertemu jalan penyelesaiannya, saya berusaha untuk tidak membuatkan sesuatu menjadi teruk dan membiarkan masa untuk mengubatinya. Boleh macam tu? (Hahaha).

Melihat Orang Lain Mengajar Erti Kasih

Seperti yang saya katakan tadi, kita ini kerap atau cepat sahaja berprasangka buruk tanpa mengetahui cerita kehidupan orang lain. Atau tanpa mahu melahirkan simpati mahupun empati terhadap seseorang dan terus melabel orang itu begitu dan begini.

Setiap orang di dalam dunia ini ada pekerjaannya masing-masing. Dan mempunyai kesibukan yang tersendiri. Betul, kan? Namun kesibukan dan kepayahan kita, tidak pernah sesekali membenarkan kita untuk tidak mengambil tahu atau membantu orang yang memerlukan.

Kerana hidup itu bukanlah untuk hidup sendiri.

Saya kira para kaunselor, ahli psikologi, ahli psikitrist dan yang berkaitan mempunyai ketinggian jiwa untuk membantu orang. Dan sejujurnya, saya menghormati orang-orang yang berada dalam bidang-bidang tersebut. Kudos to you all!

Semua pekerjaan ada risiko. Tiada satu pekerjaan pun yang tiada risiko. Hatta orang yang terkaya di dunia sekalipun berhadapan dengan risiko besar. Nah, apatah lagi orang-orang yang seperti kita ini. Kehidupan ini, sememangnya bermain dengan risiko. Bukankah?

Hiduplah bukan hanya untuk diri sendiri,
tapi untuk Ilahi–
dengan cara itu;
semua orang akan kau kasihi.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *