Jiwa Yang Sedang Sakit

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Penyakit yang sukar dilihat dengan mata kasar itu, sangat bahaya. Maka, berusahalah mengubatinya.

Jiwa yang sakit menimbulkan pelbagai keresahan. Maka, manusia akan pencari penawarnya. Yang berbeza adalah, penawar bagaimana yang dicari untuk mengubati jiwa yang sedang sakit itu. Berjaya atau gagal.

Jiwa yang sakit itu sering kali diamuk kerisauan yang tidak berasas. Empunya jasad sendiri tidak tahu kenapa dan bagaimana. Adakalanya juga dihambat kehampaan yang tidak berhujung pangkal. Risau mengenai duniawi yang diri sendiri kurang pasti apa yang dirisaukan.

Kata orang, jangan dipandang enteng pada jiwa yang sakit. Nanti boleh mati sebelum matinya jasad yang menampung jiwa tersebut. Maka, boleh dikatakan manusia yang jiwanya telah mati yang bergerak seharian adalah bangkai yang tidak bernyawa.

Maka, bertindaklah si jasad mencari penawar..

Penawar Yang Menambahkan Kerumitan

Bila tersilap memilih penawar, parah akibatnya.

Ada yang mencari jalan senang untuk mencari penawar. Ada yang memilih untuk bersama dengan kawan-kawan menghiburkan diri dengan hiburan yang melalaikan. Ada yang menghilangkan rasa dahaga jiwa dengan cecair yang diharamkan. Ada juga yang mengambil ubat untuk jiwa yang sedang sakit dengan ubat yang memudaratkan, malahan! Namun, yang batil tetaplah batil. Ubat yang salah itu mungkin mengubati dalam jangka masa yang pendek. Tapi menampakkan akibat yang lebih parah.

Manusia kan, cenderung mencari jalan yang senang bagi hal apapun!

Bila jiwa tertekan, tidak mustahil ada manusia yang menghayunkan langkah kaki ke tempat yang dianggapnya boleh menghilangkan atau melupakan tekanan tersebut. Salah atau tidak di sisi agama, pastinya sudah tidak dihiraukan lagi.

Hakikatnya, sedih bila mengenangkan ramai dikalangan manusia mencari penawar seperti ini. Walaupun pada hakikatnya juga mereka sedar penawar itu hanyalah sementara bagi jiwa yang sedang berkecamuk, tapi jiwa dan akal mereka tidak kuat untuk mengarahkan jasad yang sudah seperti bangkai itu.

Astaghfirullah~

Jiwa Tidak Terubat, Masalah Bertambah

Kegembiraan yang sementara, dan digantikan pula dengan keresahan, kegelisahan, keserabutan dan pelbagai masalah lagi yang mendatang.

Sungguh halus cara ALLAh Ta’ala menekan dan menekan hamba-Nya untuk memperlihatkan akibat perbuatan yang sia-sia. Sedikit demi sedikit didatangkan ujian secara bertubi-tubi. Adakalanya hingga terduduk seseorang kehilangan arah.

Penawar yang dicari sebelum ini mulai menampakkan natijahnya.

Keindahan fatamorgana sememangnya memukau. Dan tidak sedikit manusia yang terpukau sejak berlalunya zaman-zaman terdahulu. Akal yang sihat itu yang tidak digunakan dengan baik akhirnya ditenggelamkan oleh kekuatan hawa nafsu dan syaitan.

Semuanya itu meninggalkan kesan yang mengakibatkan seseorang akan semakin parah jika manusia masih tidak mahu membuka pintu hati sendiri.

Bukan ALLAh Ta’ala tidak memberi peluang. Tapi manusia yang menutup peluang yang dibentangkan itu sebenarnya!

Berikanlah Hak Jiwa Yang Sakit

Rendahkan diri dihadapan ALLAh. Itu ubatnya.

Tidak pernah terlambat untuk kembali menundukkan diri dihadapan ALLAh Ta’ala sebelum tibanya hari kiamat. Selagi ada nafas yang dihembuskan, selagi itulah ALLAh memberikan peluang kepada hamba-Nya untuk membersihkan diri.

Saya pasti, tidak ada seorang pun dikalangan kita mahu meninggalkan dunia dengan keburukan. Semuanya mahu mati dalam keadaan yang baik. Jika kematian itu dengan keadaan yang buruk, bagaimanakah sudahnya di alam barzakh nanti? Subhanallah~

Memakai Islam dalam hidup tidak pernah merugikan!

Andainya untuk kembali kepada ALLAh Ta’ala itu memerlukan anda bermula dari bawah. Maka, anggaplah ALLAh sedang mengajarmu erti kesyukuran kerana kembali ke fitrah yang asal daripada cara hidup yang penuh tipu daya.

Pssst! Ingat ni, ALLAh hanya menyeru pada jiwa yang tenang untuk mempersilakan memasuki syurga-Nya. Maka, jom berusaha membina dan mendidik jiwa yang tenang.

“Hai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai. Masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah dalam syurga-Ku.” – al Fajr : 27-30

Semoga ALLAh merahmati.

One thought on “Jiwa Yang Sedang Sakit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *