Cinta Ilahi dot Com Rotating Header Image

Jauhkan Diri Dari Sifat Mazmumah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Hati kita ini, harus dirawat selalu. =)

Apa khabar iman pada pagi ini? Sedang naikkah? =)

Dulu semasa umur dalam lingkungan 7-9, saya selalu terkeliru antara sifat mazmumah dan sifat mahmudah. Yang mana satu sifat-sifat buruk dan sifat-sifat baik. Saya selalu keliru mengenai istilahnya. Dan tidak lama selepas itu, Ustazah menerangkan lagi kepada saya. Bagi faham sikit. Oh. Kenangan kanak-kanak.

Sifat Mazmumah? Manusia memang takkan lepas darinya.

Tetapi manusia itu masih ada peluang untuk berusaha menjauhinya. Berusaha untuk memperbaiki diri dan orang lain. Eh, itu tidak mustahil. Yang penting adalah kemahuan kita.

Kadang-kadang, kita sebagai manusia ni tanpa sedar pasti ada memiliki sifat-sifat ini. Kerana ianya juga terdiri daripada penyakit-penyakit jiwa, malahan.

Anda suka ada sifat ini? Sudah pasti tidak.

Seorang Muslim Menjauhi Sifat Tercela

Sebagai seseorang yang ingin dipandang oleh ALLAh SWT dengan pandangan istimewa, manusia itu memang kena berusaha bersungguh-sungguh untuk membersihkan jiwa dan diri mereka sendiri dari sifat-sifat yang tercelah. Antara sifat itu ialah hasad dengki, takbur, saling memfitnah, ujub, meninggalkan solat, derhaka kepada kedua orang tua dan banyak lagi sifat-sifat itu yang sememangnya selalu singgah dalam kehidupan manusia. Astaghfirullah.

Berusaha. Sekali lagi ditekankan, berusaha. Kerana saya tahu kita sedang berusaha.

Anda tahu, sifat-sifat itu semuanya memang nampak jelek, bukan? Bukan itu saja, semuanya bertentangan dengan ajaran agama dan budaya hidup manusia itu sendiri, malahan.

Dan saya percaya, siapapun diantara kita tidak menyukai sifat-sifat mazmumah ini. Dengan sifat-sifat itu dalam diri, pasti hati terasa tidak tenang dan sentiasa tidak kena. Hidup tidak tenteram dan sentiasa keresahan.

Semasa membelek-belek bahan bacaan, saya terjumpa dengan hadis berikut. Juga mengenai hati yang pada mulanya dikotori sedikit demi sedikit dan akhirnya kotoran itu menguasai hati empunya pemilik badan.

“Seorang mukmin jika dia berbuat satu dosa, maka ternodalah hatinya senoktah titik warna hitam. Dan jika dia menyedari akan kesalahan dan dosanya itu, lalu beristighfar maka hatinya akan kembali putih bersih. Manakala jika ditambah pula dengan dosa lain, noktah itu bertambah menutupi hatinya. Inilah yang disebutkan ALLAh : ‘Sungguh telah tersumbat hati mereka kerana perbuatan mereka sendiri’.” – HR. Al-Hakim, Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah

Nampak kan? Setitik demi setitik, akhirnya menutupi yang bersih.

Begitulah perumpamaan diri manusia. Apa sahaja penyakit, jika tidak dirawat, pasti akan membuatkan empunya diri menanggung kesakitan yang lebih. Menyakitkan? Memang. Sehingga apabila hawa nafsu didorong oleh syaitan dan manusia tidak ingin membersihkannya, pasti hatinya bertambah kotor, hitam, jijik sehingga hatinya menjadi gelap gelita dan akhirnya, dia tidak nampak lagi kebenaran dan jalan yang lurus.

Hati yang gelap, menutup pintu kebenaran!

Sememangnya, sifat-sifat itu pasti akan menyusup masuk ke dalam hati dalam menjalani kehidupan seharian. Dan tanpa manusia sedari pun. Tetapi orang yang bijak adalah orang yang apabila ia sedar sifat itu singgah di hatinya, maka dia terus membuangnya jauh-jauhnya.

Paling senang dalam kehidupan manusia ialah, berbaik sangka.

Mari Suburkan Jiwa Dengan Iman dan Takwa

Kita ini, sebagai manusia dan hati kita ini akan mudah menerima pujuk rayu dan macam-macam sogokan yang mencairkan hati, tidak kira sama ada perkara yang baik atau sebaliknya.

Nafsu syahwat, marah, tamak dan kejam terletaknya di dalam hati yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Dan hati pula, mudah menerima apa yang Tuannya cuba masukkan. Dan oleh sebab itu, syaitan akan cuba sedaya upaya untuk memesongkan hati manusia. Dan apabila hati manusia terpesong, itu bermakna kemenangan bagi golongan syaitan dan kekalahan bagi anda.

Anda suka syaitan gembira bersorak atas kelalaian anda? Pastinya tidak.

Dengan akal, manusia dikurniakan. Oleh itu hati kecil itu memerlukan dorongan akal fikiran yang akan melorongkan kepada keimanan kepada ALLAh SWT. Dan dengan itu, hati sentiasa memilih jalan kebaikan. Iman dan Takwa akan menjadi penyelamat.

Susah sangat?

Hei sahabat! (merapatkan bahu kamu ke bahuku)
Lupakah pada janji ALLAh? Sesiapa yang membantu dirinya sendiri dan membantu memakmurkan agama ALLAh, pertolongan ALLAh pasti tiba dari arah yang tidak disangka-sangka dan tanpa disedari oleh manusia itu sendiri pun. Nah, kena yakin ini. Sematkan dalam hati. Itu, dalam hati kecil itu.

Sebuah Hadis Qudsi,

“Aku telah ciptakan hamba-Ku berada di jalan agama yang lurus dan mereka telah didatangi syaitan yang menyesatkan mereka dari ajaran agama mereka, dan mengharamkan kepada mereka apa yang telah aku halalkan dan menyuruh mereka mensyirikkan dengan Aku apa yang tidak pernah Aku turunkan kuasa kepadanya..” – Hadis Qudsi

Maka benarlah tipu daya syaitan itu. Memang tidak ada keraguan padanya.

Zikrullah dan Muhasabah Selalu

Salah satu cara untuk menyuburkan jiwa adalah, mengingati ALLAh dan memuhasabah diri selalu. Banyak cara anda tersendiri mengingati ALLAh. Dan banyak cara juga untuk anda memuhasabah diri sendiri. Melahirkan rasa keinsafan terhadap diri sendiri.

Sepatutnya, kerana sifat kita yang lemah untuk berhadapan dengan tipu daya syaitan ini, kita harus selalu mendekatkan diri kepadanya. Selalu dan sentiasa.

Seorang muslim itu, apabila hatinya subur dengan mengingati ALLAh, maka syaitan akan sedikit berada dalam kesusahan. Kerana syaitan tahu, anda tidak senang untuk digoda. Kerana pemerhatian anda telah ALLAh mantapkan melihat pada jalan-Nya yang lurus.

Lagi, salah satu untuk menyuburkan jiwa adalah melakukan perkara yang bertentangan dengan sifat mazmumah, iaitu sifat mahmudah. Sifat yang baik lagi terpuji. Nah, anda percaya tidak kalau saya katakan apabila manusia mengamalkan sifat mahmudah, pasti sifat mazmumah itu akan terbunuh dengan sendirinya.

Senyum.

Jangan merasa susah untuk hal ini. Kerana janji ALLAh, tiada apa yang mustahil bagi-Nya!

Nah. Bagaimana? Mahu berpimpin tangan bersama saya?

Mari, saya juga memerlukan anda. Senyum.

Semoga ALLAh merahmati.

 

2 Comments

  1. Siti Munirza says:

    Assalamualaikum saudari..saya memohon jasa baik saudari untuk menerangkan cara penyelesaian sifat mazmumah dengan lebih terperinci mengikut sifat -sifatnya…Mohon bantuan..

    [Balas Komen]

  2. hayati says:

    mohon share ya..:)

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>