Jatuh Dan Bangun Dalam Dosa

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Jatuh dan bangun dalam dosa itu sungguh perit. Credit picture : http://xzaiko.deviantart.com/
Jatuh dan bangun dalam dosa itu sungguh perit.
Credit picture : http://xzaiko.deviantart.com/

Jatuh bangun dalam kehidupan itu adalah perkara biasa. Ada waktu, kita rasa tenang-tenang sahaja dengan nikmat yang Allah Ta’ala beri. Pada waktu lain pula ada orang jatuh dalam hidupnya, jatuh sebagai seorang hamba – menjadi seorang yang futur.

Ada bezanya manusia yang jatuh dalam lembah dosa dan tidak merasa perlu bangkit kembali dengan manusia yang jatuh dalam gaung dosa dan merasa perlu bangkit untuk memperbaiki diri. Kalau mahu tengok bagaimana sihat iman kita, maka tengok pada waktu kejatuhan tadi.

Adakah pada waktu kejatuhan kita ke dalam lembah dosa, maka akan terus-menerus dalam posisi itu? Atau cuba bangun kembali dan mencari jalan keluar? Semua orang berdosa, tiada yang terlepas dari melakukan dosa sama ada kita sengaja atau tanpa kita sedari, bezanya yang mahu dan tidak mahu menyucikan diri sahaja. Bagi akal yang dipandu iman, dosa itu sangat menjijikkan. Apabila terbuat dosa, maka timbul kesal dalam jiwa.

Jatuh Ke Dalam Kegelapan

Kita melihat sebaik mana pun seseorang itu, setinggi mana pun peringkat pengajian dia, atau sesibuk manapun seseorang itu dalam jalan-jalan dakwah; orang-orang yang begini pun tidak terlepas dari melakukan dosa-dosa dalam kehidupan. Malah hakikatnya, semakin kita mendekati kebaikan, semakin banyak ujian dari pelbagai arah akan didatangkan.

Tapi orang yang berfikir dengan dipandu iman, dia takkan berfikir seperti ini, “Alah, aku cuba untuk menjadi baik atau jahatkah, sama je! Aku buat dosa juga. Lebih baik aku jadi jahat terus. Orang baik ke orang jahat ke semuanya sama buat dosa!” Tidak, dia takkan sesekali berfikir seperti ini. Tetapi dia berfikir jalan penyelesaian dan berusaha supaya diri mengurangkan untuk melakukan dosa-dosa yang biasa dilakukan.

Kenapa saya cakap ‘mengurangkan’? Kerana tidak semua orang dapat meninggalkan terus tabiat lamanya dengan sekaligus. Mungkin ada orang dapat bermujahadah dengan lebih untuk meninggalkan satu-satu perbuatan. Tapi jangan dilupa, ada juga orang yang perubahan kena langkah demi langkah. Setiap orang mempunyai upaya yang berbeza-beza.

Allah Ta’ala berfirman,

“Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri.” al-Baqarah, ayat 222

Maka oleh sebab itu, jika kita jatuh ke dalam perbuatan dosa. Janganlah kita menjauh dari Allah, dari agama Allah mahupun dari kawan-kawan yang baik. Kerana kawan-kawan yang betul-betul baik dan berkawan dengan kita kerana Allah, pasti tidak akan membenci.

Hidup di dunia bukan nafsi-nafsi, tetapi kita semua harus melengkapi.

Menjadi Orang Yang Menyucikan Diri

Surah al-Baqarah ayat 222 sudah cukup menunjukkan bahawa kecintaan Allah Ta’ala terhadap orang-orang yang menyucikan dirinya adalah benar, sangat pasti. Dalam al-Quran dan hadis-hadis dari Nabi SAW, banyak kali diperkatakan bahawasanya Allah Ta’ala sangat menyukai mereka yang berbuat dosa lalu datang kepada Allah dengan penuh harapan pengampunan dan mengakui setiap satu kesalahan dirinya. Allahuakbar! Kecintaan apakah ini, wahai kawan? Kita datang dengan dosa dan penyesalan, Allah sambut baik pula!

Saya selalu cakap pada diri sendiri dan kawan-kawan rapat, “Kita mengenali diri kita siapa. Kita lebih tahu dosa kita dengan Allah Ta’ala sebanyak mana. Kita tahu banyak mana dosa telah kita buat dengan manusia. Selagi ada peluang untuk memohon ampun dan maaf, buatlah. Moga-moga kasih Allah Ta’ala itu meresapi kehidupan kita..”

Jangan Jadi Berlumuran Dosa

Ada perbezaan besar antara orang-orang yang berbuat dosa di atas muka bumi ini. Pertama, orang yang berbuat dosa tetapi tetap mahu terperangkap dengan dosa-dosanya. Kedua, orang yang melakukan dosa sama seperti orang yang pertama tadi, tetapi ada keinginan untuk membersihkan diri dari dosa-dosa yang telah dilakukan. Perbezaan besar antara dua manusia ini. Seorang tu yang tidak mahu menyucikan diri, seorang lagi yang mahu menyucikan diri.

Nampak?

Jadi mari cuba bertanya kepada diri kita sendiri. Sehingga kita hidup saat ini, siapakah diri kita? Adakah yang tetap mahu berlumuran dosa, ataukah yang mahu membersihkan diri?

Saya faham bagaimana mujahadah (usaha perjuangan) untuk meninggalkan satu-satu perbuatan yang kita sudah terbiasa buat setelah beberapa tahun dan akhirnya kita terpaksa tinggalkan. Tapi percayalah, usaha-usaha sebegini Allah Ta’ala pasti tidak mensia-siakan. Seiring dugaan-dugaan yang akan kita hadapi, sangat pasti Allah akan menghantarkan bantuan dengan cara yang kita tidak sangka-sangka. Mungkin bantuan Allah itu dalam bentuk kita diberikan kawan-kawan yang baik, dan mungkin kita dilibatkan dalam hal-hal kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…” HR. Tirmizi dan Ibn Majah

Segala kepayahan, kesakitan dan airmata sepanjang mahu berubah di jalan Allah, pasti Allah akan mengganjarinya sama ada kita sedar atau tidak. Airmata yang tumpah kerana Allah, mana mungkin Allah Ta’ala akan biarkan menitis tanpa dipandang-Nya.

Sebab itu wahai sahabat, tetaplah dalam perjuanganmu. Jangan berhenti! Menangislah kalau perlu, tapi jangan berputus asa. Mana ada kejayaan yang besar tanpa melalui pelbagai rintangan, bukan? Itu sunnatullah (aturan alam). Tabahlah, sahabat.

*peluk kamu erat-erat*

Menjadi Hamba Yang Disayangi Tuhannya

Antara matlamat terbesar orang-orang Islam selain mahu melihat wajah Allah Ta’ala diakhirat nanti, pastilah objektif terbesar dalam kehidupannya adalah untuk disayangi oleh Tuhannya. Mahu dipandang dirinya itu oleh Tuhannya dengan pandangan kasih dan rahmat, dan bukan pula mahu dipandang dengan pandangan kemurkaan.

Membayangkan saja kehidupan kita ini dipayungi dengan rahmat kasih-sayang Allah Ta’ala pun sudah membuatkan kita bahagia, apatahlagi kalau itu adalah kenyataan.

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” Surah al-Hasyr: 18

Dan kerana kita ini mahu menjadi hamba yang disayangi oleh Allah Ta’ala, kita perlu beringat dan memperingatkan diri sendiri dan orang lain akan hari-hari akhirat. Dan kerana kita ini bukanlah diciptakan untuk menjadi orang yang tidak berguna, maka kita perlu menjadi orang yang bermanfaat untuk manusia lain amnya.

Orang-orang Islam hidup ada matlamat dan tujuan. Dan semoga kita tidak lupa akan tujuan utama kita berada di dunia. Bukan untuk bersuka-suka. Kerana tempat bersuka-suka dan bersenang-lenang adalah di syurga sana. Bukan di sini, bukan di dunia.

Tanamkanlah dalam-dalam, dalam jiwa; kita adalah hamba yang sentiasa mahu menyucikan diri! Dan kita bukanlah manusia yang terus mahu bergelumang dalam dosa.

Hamba Allah yang disayangi-Nya, itu antara objektif kita.
Bukankah? Senyum.

Semoga ALLAh merahmati.

One thought on “Jatuh Dan Bangun Dalam Dosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *