Jangan Mengeluh Dengan Kehidupan

Assalamu’alaikum wbt.

Lokasi : Sandakan Pada suatu ketika ketika senja menjengah.
Lokasi : Sandakan
Pada suatu ketika, ketika senja menjengah.

Kita terkenangkan kehidupan kita ini, memang banyak kekurangannya. Bahkan, banyak pula cacat celanya di sana-sini. Tidak sempurna, sesempurna kehidupan yang kita kehendaki. Apa yang kita lihat, hanya kekurangan demi kekurangan. Kadang-kadang, kita pun bertanya kepada diri sendiri, kehidupan dan kesempurnaan yang bagaimanakah yang kita mahukan?

Mahu mengharap kehidupan yang terlalu sempurna itu, kita sendiri tahu bahawa perkara itu juga mustahil. Kerana kita sedar, kita hanyalah hamba Allah, orang-orang biasa, orang kebanyakan. Kita jadi sedar diri. Namun, tetap jiwa kita masih tercari-cari sesuatu dalam kehidupan ini. Kufur nikmatkah kita? Bukan, tapi ada yang seperti tidak cukup.

Kebanyakan orang dalam hidup ini, akan bermula dari bawah barulah akan ke atas. Seperti itu jugalah fitrah kita. Dikandung ibu kita selama 9 bulan dan dilahirkan ke dunia. Lalu kita membesar sehingga merangkak dan barulah berjalan dengan stabil. Sesudah itu barulah kita pandai berlari-lari ke sana ke sini. See? Dalam hidup ini, ada tingkatan demi tingkatan yang perlu kita tempuhi dan kita belajar menerimanya sesuai fitrah.

Jadi, apakah yang menggangu jiwa kita sebenarnya?

Kehidupan Yang Didamba

Dalam hidup ini, kawan.. Kita akan bertemu saat-saat yang kita sendiri tidak fahami. Kita pasti akan tertanya-tanya, kenapa aku mesti hidup begini? Kenapa aku mesti berhadapan dengan perkara tersebut? Kenapa aku tidak diterima? Kenapa aku tidak sekaya si fulan dan fulanah? Kenapa itu, kenapa ini? Soalan seperti ini, pasti akan menjengah.

Namun kita perlu sedar bahawa, kehidupan mereka yang kita lihat itu, bukan kehidupan kita. Kesenangan mereka orang-orang yang senang itu, bukan kesenangan kita. Kehidupan kita, ya kehidupan kita. Susah senang kita, itu adalah kita. Kalau kita sering melihat orang lain dan mencemburui mereka, kita akan jadi orang yang tidak bersyukur dengan kehidupan kita. Malah, sampai satu tahap nanti, kita boleh jadi membenci kehidupan kita.

Kalau kita selalu fikirkan bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara, dan kita sedar dengan hakikat bahawa orang-orang yang mempunyai harta yang banyak serta duit yang berkepuk itu banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan di dunia dan perlu dijawab di hadapan Allah Ta’ala, maka pasti kita tidak akan hairan dengan orang yang jutawan di dunia. Pun begitu, Islam sangat menggalakkan kita semua untuk mempunyai harta dan mempunyai duit. Kerana tanpanya, kita pasti kesulitan untuk merasa selesa beribadat.

Apa kaitannya? Banyak.

Kita ada duit, kita dapat beli makanan untuk memenuhi tanggungjawab kita kepada badan kita. Dengan duit, kita akan ada tempat berteduh untuk beribadat kepada Allah. Dengan duit, kita akan memenuhi keperluan kehidupan sehari-hari kita. Dengan duit, kita dapat menolong orang-orang yang memerlukan dan kurang upaya dalam kehidupan. Dan jika kita ada semua itu, kesihatan kita terjamin dan kita dapat menjalankan amanah kita kepada Allah.

Dari mana datangnya duit tersebut? Bekerja. Ya, bekerja. Tidak bolehkah kalau kita tidak bekerja dan hanya menunggu duit kunjung tiba kepada kita? Kawan, Allah SWT benci kepada perbuatan seseorang yang malas untuk mencari rezeki. Kita miskin, kita pula malas untuk mencari duit. Sedangkan orang yang jutawan juga bekerja keras setiap hari.

Bagaimana kita ini?

Semoga Allah Mencukupkan

Saya teringat seorang kawan saya ini. Zaman sekolah dulu saya pernah bertanya kepadanya, adakah dia mahu menjadi orang yang paling kaya? Sekurang-kurangnya di kampungnya sendiri? Saya ingat waktu itu.. Dia senyum dan menggelengkan kepala.

Jawabnya, dia tidak meminta hal itu. Tapi dia berdoa kepada Allah SWT, semoga Allah SWT mencukupkan rezeki baginya dan kehidupan keluarganya kelak. Kerana alasannya, kaya tidak semestinya cukup. Dan tidak kaya, tidak semestinya tidak cukup.

Saya kira, sangat betul apa yang dia katakan. Selama hidup, saya pernah melihat orang kaya yang selalu tidak cukup meskipun kaya. Dan saya juga melihat orang miskin yang merasa cukup dan gembira dengan apa yang ada.

Apa-apa sahaja dalam kehidupan ini, bukankah kita memohon redha daripada Allah SWT? Iya, kan? Dan kunci puas kepada apa yang Allah SWT beri dalam hidup kita ini adalah merasa cukupnya dengan rezeki yang Allah SWT beri. Sifat qana’ah. Kalau kita tiada sifat itu, harta dan wang bergunung tinggi pun mesti tidak akan pernah cukup. Berbeza pula dengan orang yang sentiasa merasa cukup keranan yakin Allah SWT tidak akan membiarkan dirinya.

Sangat berbeza, bukan? Maka, kita sebenarnya yang mana?

Hidup ini, sebenarnya banyak waktu kita tak payah layan keluhan nafsu. Makin kita mengeluh, makin kita tidak bersyukur. Sesekali mengeluh mengadu kepada Allah SWT itu tidak mengapa. Tapi kalau mengeluh lalu melihat kehidupan orang lain yang lebih dari kita, itu yang bahaya.

Kata alim ulama :

dunia itu di tangan boleh,
dihati jangan.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *