Jangan Hilang Percaya Diri

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit Picture :  http://www.picturequotes.com/
Credit Picture : http://www.picturequotes.com/

Ketika sedang mahu melangkah keluar dari rumah semalam, saya mendapat satu mesej di aplikasi whatsapp. Ada seseorang yang bertanya perihal percaya kepada diri sendiri. Saya yang takut akan terabaikan mesej tersebut secara tidak sengaja nanti, maka saya duduk sebentar dan dengan tenang melayani pertanyaan demi pertanyaan.

“Gagal.. Rasanya dah hilang percaya pada diri sendiri.”

Saya menarik dan menghembus nafas perlahan. Saya memahami hal itu meskipun tidak merasa sebenar-benarnya perasaan orang itu. Dan tidak mudah sebenarnya mahu make deal dengan jiwa seseorang yang bertemu kegagalan. Tapi saya juga tidak setuju sekiranya seseorang itu menjadi orang yang putus harapan dan tidak percaya kepada diri sendiri.

Kegagalan memang terasa pedih. Tapi sebenarnya, kepedihan itu bergantung kepada bagaimana kita berdepan dengan kegagalan. Jika kita hilang percaya kepada diri sendiri, maka pedih itu semakin sakit. Dan jika kita masih boleh hidup seperti biasa, merasai kepedihan akibat kegagalan itu tetapi menerimanya dan berdamai dengannya untuk sesuatu yang lebih baik, maka kepedihan yang kita rasai itu akan bertukar menjadi semangat!

Percaya?

Gagal Itu Adalah Ramuan Hidup

Entah berapa kali sudah dalam hidup ini kita pernah mengikuti kem motivasi, kem jati diri, tamrin, forum motivasi atau seminar pemantapan diri, yang mengajarkan kepada kita mengenai berhadapan dengan kegagalan. Dan berkali-kali diingatkan kepada kita, bahawa kegagalan itu bukan penghujung kehidupan. Bahkan, entah ke berapa kali saya menulis mengenai kegagalan di blog saya ini yang tercatat kemas di dalam buku ATPJ.

Pun begitu, masih.. Kegagalan itu selalu melemahkan kita.

Akhirnya, semuanya berbalik kepada bagaimana corak berfikir kita. Bagaimana motivasi kehidupan kita. Dan bagaimana sebenarnya penerimaan kita terhadap kegagalan supaya keyakinan diri kita tidak tergugat. Kerana kegagalan itu, bukan melumpuhkan. Melainkan bakal membuatkan kita semakin kuat dan bersemangat.

Dengan syarat! JANGAN BERHENTI. *flip hujung tudung*

Kalau tiada kegagalan, seseorang tidak akan tahu mengenai potensi dirinya. Dan hanya akan menjadikan seseorang itu menjadi syok sendiri terhadap setiap satu pekerjaan yang dilakukan. Setiap gerak kerjanya sama, tiada berubah dan beza. Kerana dia merasakan bahawa apa yang dilakukannya adalah sempurna. Tapi kegagalan, dengan izin Allah, akan membuatkan kita lebih matang dalam berfikir. Dan akan membuatkan kita mencari-cari kekurangan kita sehingga kita boleh membaikinya untuk kejayaan di masa depan.

Mana yang lebih menyenangkan hati? Antara terima kegagalan dan terus putus harapan, dengan terima kegagalan tapi terus berusaha mencari kelemahan dan memperbaiki lalu terus jalan dan berusaha sehingga berjaya. Nah, pasti yang kedua itu lebih mendamaikan bukan? Jadi kenapa kita selalu memilih untuk lebih mempersulitkan kehidupan ini?

Belajarlah Dengan Kegagalan

Kepedihan dan kesakitan, dapat diubati. Itu pun sekiranya kita mahu menjadi orang yang sembuh dari kesakitan dan kepedihan akibat dari kegagalan dalam hidup. Dan percayalah, kegagalan itu bukanlah selamanya menjadi pengukur atas ketidakmampuan seseorang. Tapi mungkin kerana ada terlepas pandang di mana-mana, maka Allah mahu kita belajar dari kesilapan kita, lalu diuji kita dengan kegagalan.

Mungkin saja kegagalan dalam hidup kita hadir kerana pengurusan masa yang kurang baik, langkah-langkah yang tidak teratur, bahkan mungkin juga kerana kurangnya usaha kita yang berada di tahap minima. Atau juga mungkin kita terlalu gopoh ingin mencapai apa yang kita hajati sehingga kita lupa untuk menyedari bahawa mungkin kita ada terlupa.

“Tapi aku rasa aku dah patah semangat.. Aku dah malas nak buat apa-apa!”

Jangan begitu. Hey, tengok sini. Sini, tengok sini! Setiap orang di dunia ini, pernah merasa kesakitan dari sebuah kegagalan. Dan secara tanpa berselindung lagi, semua orang pernah merasa gagal dalam hidupnya. Tidak kiralah kegagalan kecil atau besar, faktanya, semua orang pernah gagal! Jadi kalau semua orang boleh hidup seperti biasa dan meneruskan kehidupan serta usaha untuk lebih baik, maka kenapa kamu perlu merasa lemah dan berputus asa seakan-akan dunia ini sudah berakhir bagi kamu?

Hey, cuba lihat sekeliling kamu. Apakah peluang untuk kamu hidup itu sudah tiada? Cuba lihat pula orang yang lebih susah dari kamu. Adakah mereka berhenti sahaja tanpa berusaha?

Kalau kamu rasa patahnya semangat, rasa pedih dan sakitnya kegagalan, rasa malunya terhadap orang sekeliling, maka percayalah.. Semua perkara itu akan berlalu. Dan kamu mempunyai pilihan sama ada mahu mengubati jiwa atau tidak. Jangan sesekali hilang kepercayaan terhadap diri sendiri walhal selama ini kamu hidup baik-baik sahaja di atas dunia.

Tapi ini nasihat saya.. Berdamailah dengan kegagalan. Dan kesakitan itu, dapat diatasi dengan perlahan-lahan. Belajar dari kegagalan tersebut, analisa setiap langkah yang telah dibuat, rancang pergerakan, perbaiki pengurusan masa sekiranya hal tersebut memang sangat mementingkan ketepatan masa, cari penyelesaian terhadap persoalan yang timbul. Dan akhirnya sekali, jangan jemuh untuk mencuba!

Rasa sakit, rasa malu dan pedih kerana segan dengan pandangan manusia sekeliling? Mari saya beritahu satu perkara. Orang sekeliling tidak kisah dengan kegagalan mahupun kejayaanmu. Apatah lagi mahu sibuk-sibuk mengambil tahu tentang percaya dirimu. Tetapi kamu akan dapat tahu siapa dia yang mengambil berat terhadapmu apabila ada yang datang memberi pertolongan kepadamu, hatta sekecil-kecil nasihat dan dorongan.

Percaya Diri Jangan Meninggi Diri!

Kita ini, hidup di dunia.. Semakin berisi, sepatutnya semakin kita merendah hati. Kerana semakin kita belajar banyak perkara, semakin kita tahu bahawa orang yang terbaik dan berjaya itu adalah orang-orang yang baik, jauh sekali dari sifat bongkak dan sombong. Dan sebenarnya, secara automatiknya, kita akan tahu bahawa sifat sombong atau besar diri itu hanyalah satu kehinaan buat si pelakunya. Bukan sahaja di mata manusia, tapi pada pandangan Allah Ta’ala sendiri. Buruk benar kesan dan akibatnya.

Justeru, apabila kita diseru untuk yakin dan mempercayai diri sendiri, bukanlah bermaksud kita menjadi seseorang yang hidung tinggi. Tetapi sebenarnya, untuk kita lebih mengenali siapa Pencipta kita dan kenapa kita harus bertawakkal kepada-Nya.

Saya ada seorang sahabat. Yang hidupnya sedari kami berkawan dari peringkat sekolah rendah sehingga sekolah menengah sehingga kini, orang yang melihat kehidupannya dari jauh, pasti akan mengatakan bahawa hidupnya seakan-akan terumbang-ambing, dicampak ke sana ke mari. Mata zahir, pastinya akan memandang begitu. Tapi saya kagum dengan semangatnya dalam kehidupan. Beliau sentiasa positif dalam apa jua situasi. Dan saya berdoa semoga saya juga mendapat tempias kekuatan daripadanya.Dan saya mendoakan kejayaan beliau, inshaAllah.

Kesimpulannya, kalau kita terasa bahawa kita kehilangan punca untuk hidup akibat kegagalan, maka cepat-cepatlah istighfar dan pandanglah kehidupan orang lain. Ada orang, hidupnya diuji dengan dugaan yang mencabar berbanding kita. Ada orang, hidupnya lebih susah daripada kita. Tapi mereka masih terus hidup dan berusaha.

Jadi apa alasan kita untuk tidak mencontohi semangat mereka?

Nikmat Allah sangat banyak, kawan.
Jom jadi orang yang bersyukur.

Sabar ya.
*tepuk-tepuk belakang kamu dari sini~

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *