Jangan Dihukum Kerana Luaran

Bismillahirrahmaanirrahiim.

do-not-judge-001

Sangkaan yang baik, membawa kepada kebaikan. Sangkaan yang buruk, membawa keburukan. Dan manusia, ialah makhluk yang tidak boleh lari dari bersangka-sangka terhadap setiap sesuatu yang ada. Bezanya, sama ada sangkaannya baik atau sebaliknya. Kadang-kadang sangkaan itu membawa kepada silaturrahim yang baru, atau akan memutuskan silaturrahim. Kuasa bersangka-sangka, agak dahsyat, bukan?

Saya sendiri juga tidak terlepas dalam perkara ini.

Ada waktu, kita baru pertama kali berjumpa dengan seseorang. Kita tidak mengenali, atau kita sudah terserempak beberapa kali, kita tahu namanya, kita tahu dia dari mana, pekerjaan apa atau sedang belajar dalam bidang apa, tetapi kita langsung belum pernah bersembang atau pun menyapanya sesekali berselisih jalan. Dan timbul di benak kita macam-macam.

Kadang-kadang, ada timbul sangkaan; dia itu seorang yang sombonglah, dia itu muka garang dan ganaslah, dia itu cuma bergaul dengan kawan-kawan sebilik dia, si dia itu takbur dan riyak mentang-mentang ada kebolehan menulis sekian sekian. Chuppp! Dan sangkaan itu berangkai sehingga banyaknya sangkaan yang timbul. Walhal, kita belum pernah mengenalinya secara peribadi, jauh sekali untuk duduk semeja, berbual-bual. Tapi benak kita yang berupa sangka-sangka yang buruk, jauh mendahului sangka-sangka kita yang baik.

Kenapa? Hati kita belum bersih rupanya.

Jadi Diri Sendiri Demi Allah

Seorang sahabat sepengajian saya pernah menanyakan soalan kepada saya, “Su, apa pendapat awak terhadap diri saya? Saya sombongkah? Saya takbur? Sebab saya dapat tahu ada orang yang berkata demikian. Hmm, selalu juga tengok cermin saya ni..”

Persoalannya, adakah orang itu kenal diri beliau dengan baik? Atau tidak pernah bersua muka dan duduk semeja borak-borak? Ternyata tidak. Orang yang menghukum beliau itu adalah pemerhati dari jauh, yang sentiasa mencari salah dan silap serta kekurangan sahabat tadi.

Maka nasihat saya, buat apa hendak risau dengan cakap-cakap manusia yang berisi negatif? Buat apa perlu memikirkan ayat-ayat manusia yang hanya menghukum seseorang itu dari luaran? Teruslah menjadi diri sendiri dan usah pedulikan cakap-cakap belakang manusia.

Kita hanya menghargai dan menghormati orang yang datang menegur kita secara berdepan muka dan menyatakan kalau ada kesilapan kita dan kesalahan kita mahupun kelakukan kita yang kurang manis. Kita menyayangi orang yang datang berjumpa dengan kita, kerana mengenali kita dan menegur kita kerana Allah atas perkara-perkara yang kita terlepas pandang. Dan maksudnya menegur kita adalah untuk menjaga keaiban kita agar tidak terlihat oleh orang lain. Moga-moga kita cuba juga menjadi orang yang begini.

Refleksi Diri Kita Kerana Allah

Saya tidak akan berat sebelah. Mahupun kepada diri saya sendiri.

Saya selalu cakap kepada diri sendiri bahawa sekiranya ada orang lain berkata-kata di belakang atau mengumpat dan saya dapat tahu, maka saya terus muhasabah diri.

Langkah yang elok adalah, kita bertanya kepada diri kita sendiri. Apakah yang telah kita lakukan sehingga orang lain kedengaran bercakap-cakap belakang? Adakah kita sudah melakukan kesilapan dan kita terlepas pandang? Maka kalau ada, perbaikilah diri kita. Dan teruskanlah hidup. Dan sekiranya kita tidak mendapati sebarang masalah dalam diri kita, dan kita tidak pernah menyakiti orang yang bercakap-cakap di belakang atau mengumpat kita itu, maka biarkanlah. Usah didengarkan. Doakan mereka dan doakan diri kita sendiri semoga Allah sentiasa menuntun langkah kita ke arah kebaikan sepanjang hidup.

Kita kena selalu beringat bahawa hidup ini adalah untuk impress Allah, bukan mahu impress manusia dan meraih penghargaan dari manusia semata-mata. Tapi kasih sayang dan rahmat Allah itu lebih utama dari seisi dunia.

Kita dapat rahmat Allah, kita dapat semuanya.
Kita dapat kemurkaan Allah, kita hilang semuanya.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *