Jagalah DIA, DIA Akan Jaga Manusia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Walau berada di mana, ALLAh tetap ada dihati.

Satu keyakinan yang tertanam didalam hati seluruh manusia adalah, apabila berbuat baik, pasti ada ganjaran yang baik. Dan apabila berbuat jahat, pasti ada ganjaran yang tidak elok. Nah, ini keyakinan.

Jadi bagaimana dengan keyakinan terhadap ALLAh?

Apabila kita menjaga ALLAh, maka ALLAh akan menjaga kita. Kerana, ALLAh itu Maha Adil. Sesiapa yang mengorbankan keselesaannya dalam menjalani hidup di dunia, pasti ALLAh SWT juga akan beri ganjaran. Dan bagi sesiapa yang sentiasa berada di zon selesa, ALLAh juga akan bagi yang sepatutnya.

Hebat, kan.

ALLAh Maha Besar, Manusia Tersangat Kerdil

Kenapa nak jaga ALLAh? Sedangkan ALLAh Maha Kuat, Maha Gagah? Bukankah ALLAh yang menjaga dan mentadbir seluruh alam. Apa perlukah manusia menjaga ALLAh SWT?

Pelik? Senyum.

Betullah. ALLAh SWT yang mentadbir seluruh alam. Dan DIA Maha Kuasa atas segala ciptaannya. Namun istilah manusia menjaga ALLAh itu bukanlah seperti manusia menjaga manusia yang lain. Tidak. ALLAh tidak perlukan itu semua, sikit sebezar zarah pun tidak. Bahkan manusia yang sangat perlu akan jagaan ALLAh.

Rasulullah SAW pernah berkata kepada seorang sahabat,

‘Wahai anak kecil sesungguhnya aku ingin mengajarimu beberapa kata, jagalah Allah, maka pasti Allah menjagamu, jagalah Allah pasti kau akan menjumpai-Nya dihadapanmu. Apabila engkau meminta maka mintalah kepada Allah dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah….” – Hadis Riwayat – Tirmidzi

Nah, menjaga ALLAh itu bermaksud menjaga haq ALLAh. Iaitu menunaikan segala apa yang telah ALLAh perintahkan dan manusia wajib mengerjakan. Mendekatinya, tidak kira semasa anda susah dan senang. Mendahulukan ALLAh tidak kira di mana anda berada.

Persoalannya, sudahkah kita menjaga ALLAh SWT?

Dan, layakkah kita dijaga oleh ALLAh?

Tepuk dada, tanya iman.

Semoga ALLAh merahmati.

One thought on “Jagalah DIA, DIA Akan Jaga Manusia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *