Hijrah Jiwa Dan Jasad

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Hijrah = Kesungguhan. Itu saja bezanya.

Hati kecil berkata, “Kita sentiasa perlu berhijrah. Sentiasa. Perbaiki niat sentiasa. Hanya Dia yang tahu tentang kita luar dan dalam. Jadi, jujurlah menjadi diri sendiri. Jujur pada Tuhan..” Seruan oleh hati kecil itu, cukup membuat saya sentap.

Semua manusia tidak dilahirkan sempurna. Saya berpegang pada kata-kata ini. Dan oleh sebab manusia tidak sempurnalah, manusia perlu sentiasa berhijrah. Kita hari ini, adalah berpunca dari faktor kedua orang tua, persekitaran, pendidikan, kawan-kawan, dan faktor terbesar adalah diri kita sendiri.

Hijrah jiwa dan jasad itu tidak mengenal kamu siapa pada masa silam kamu. Penghijrahan itu sendiri tidak menghukum kamu atas gerangan siapakah kamu dulu dan apakah yang telah kamu lakukan sebelum ini.

Memang. Hijrah itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Menuding Jari Bukan Penyelesaian

Dikala hati disapa angin seruan perubahan, diri sendiri berdalih. Mencari-cari pelbagai alasan kenapa diri begini, diri ini jadi begini atas sebab ini dan itu. Diri ini tidak bersalah. Yang bersalah adalah ibu bapa yang tidak memberikan diri ini pendidikan mengenai ilmu agama, dan tidak pula mengajar diri ini untuk mempraktikkannya.

Jangan begitu, sahabat. Sikap orang yang mencari-cari alasan dengan menuding jari kepada orang lain adalah sikap orang-orang yang suka berdalih.

Mengapa tidak menyahut seruan hati untuk berhijrah kepada kebaikan?
Sikit, sikit. Dan istiqamah.

Dan dalam proses perubahan itu, berdampinglah dengan orang baik-baik.

Hati Itu Berkiblatkan Apa

Ada masanya dalam proses perubahan, terasa sangat susah. Ada yang tidak mendapat sokongan daripada ibu bapa, dipulaukan oleh kawan-kawan. Diejek-ejek, malahan. Memang semua itu sedikit sebanyak membuat dada merasa sesak.

Saya faham.

Tapi wahai kamu, dengarkanlah. Mulut manusia yang tidak suka atas apa yang kamu buat semasa dalam proses penghijrahan itu, memang tidak dapat dihentikan. Suka duka perjalanan hidup kamu juga selama ini, kamu sendiri yang tanggung. Dan orang lain hanya dapat memberikan rasa simpati. Jadi, mengapa mengalah dengan dugaan itu semua sedangkan kamu ada pilihan untuk terus bertahan?

Dan sekurang-kurangnya, dalam proses itu, kamu akan tahu;
siapa kawan, siapa lawan.

Dan kadang-kadang, sebenarnya hati kita ini berkiblatkan dunia. Sebab itu hatta berapa banyak kali pun bisikan hati menyeru kepada perubahan kebaikan, manusia sering mengendahkannya. Dengan alasan, “aku hidup dan beragama dalam kesederhanaan, cukuplah.” Dan saya masih tidak faham maksud sederhana di situ dalam dunia yang sekarang ini.

Sebab berkiblatkan dunia inilah, manusia sibuk mengejar kebendaan dan lupa pada Tuhan. Sedangkan, seorang Muslim yang baik itu adalah seorang pengejar dunia untuk akhiratnya. Bukan mengejar dunia, untuk keduniaannya. Berbeza, kan?

Berada di takuk yang lama bukanlah ciri-ciri orang yang mahukan kebaikan.

Pssst! Mahukah diri sendiri sentiasa statik begitu sahaja? Sedangkan banyak peluang kebaikan untuk dikerjakan oleh orang-orang yang mahu kebaikan dari Tuhannya. Dan untuk itu, kamu perlu bersaing. Bersaing dengan diri sendiri!

Hei kamu! Kamu kena yakin, dalam kamu melakukan perubahan itu, kamu tidak bersendiri. Yakin, oke? Doa-doa orang-orang Muslim yang baik, sentiasa bersama kamu.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *