Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Hidup Ini Cabaran Dan Pengorbanan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Suhana_Amiril

Mahu bahas soal kehidupan, tidak senang.

Kadang-kadang, ada debar didada bila memikirkan masa hadapan. Bila memikirkan apa diri ini bakal jadi nanti. Bila memikirkan kita akan tercampak di mana-mana untuk belajar erti hidup. Tapi cepat-cepat positifkan diri semula. Ada getar dijiwa itu tidak mengapa, asal kita masih terus tetap melangkah. Maka kita tidak akan pernah gagal dalam hidup kita.

Kita tidak boleh berhenti hanya kerana kita merasa berdebar atau kita merasa sedikit takut dalam apa jua hal. Kadang-kadang apa yang kita perlukan itu kita akan dapat hanya apabila kita mengatasi rasa ketakutan dalam jiwa untuk mengharungi kehidupan sesuai dengan fitrah. Kita masih menjadi hamba Allah. Kita masih mahu menjadi manusia seadanya.

Takut? Semua orang akan rasa takut. Berdebar? Bimbang? Risau? Semua orang akan ada perasaan itu. Yang berbeza hanyalah langkah kita, tindakan yang kita ambil, risiko yang kita hadap untuk sebuah kehidupan yang lebih baik. Untuk jadi seorang manusia yang berdikari.

Kita mahu terus melangkah, kita berjaya (inshaAllah).
Kita duduk diam saja, maka kita tidak akan pernah ke mana.

Cabaran Itu Perlu

Dalam hidup ini, memanglah akan ada situasi-situasi yang membuatkan kita kecut perut. Atau istilah yang selalu dipakai sekarang, ‘rama-rama dalam perut’! Yang serasanya, mahu sahaja kita lari dari dalam keadaan tersebut, atau mahu sahaja kita untuk tidak meneruskan langkah. Kerana fikir kita, kita tidak boleh. Kita tidak mampu untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Tapi, saat yang manisnya adalah apabila kita terus kekal disitu, walau macam-macam yang kita hadapi, dan kita sudahkan pekerjaan kita. Dan akhirnya, kita menarik nafas lega. Dan kita akan cakap, “Hmm. Takdalah teruk sangat pun. Hihi!”

Untuk menjadi seseorang yang lebih baik, maka cabaran itu perlu. Tidak kisahlah cabaran itu bakal melukakan kita, atau membuat kita menangis sehingga teresak-esak, yang pasti kita akan berterima kasih kepada Allah SWT atas apa yang kita pernah lalui. Dan semua itu, mematangkan pemikiran kita dan cara kita melihat atau memandang kehidupan dari satu sudut yang lain. Believe me, cara pandang kita selepas itu, tidak akan sama.

Hidup tidak akan indah jika hanya statik pada satu keadaan sahaja. Aturan Allah, malam akan bertukar jadi siang. Bulan akan berganti tugas dengan matahari. Ada ketika, air akan pasang. Ada ketika pula, air akan surut. Perempuan, fitrahnya dengan lelaki.

See?
Alam ini, aturan Allah, saling ada temannya.

Maka hidup, antara temannya adalah cabaran.

“Saya takutlah. Rasa tak mampu. Macam mana kalau saya tak mampu nanti? Takutlah!” Mungkin kita sekurang-kurangnya pernah berfikiran seperti ini. Takut tidak mampu untuk meneruskan langkah kaki. Ini normal. Asbab kerana tidak yakin dengan diri sendiri. Kalau ditanya kepada saya solusinya, maka jawab saya.

“Stay positive dan keep struggle. Berusaha. Allah, kita jangan lupa!”

Hidup Juga Tentang Pengorbanan

Kalau ada cabaran untuk menempuh hari-hari yang kita pilih untuk hadapi, maka pengorbanan juga tidak pernah ketinggalan dalam kehidupan kita. Sedar atau tidak, kita sebenarnya berkorban setiap hari dalam hidup kita? Mungkin pada hal-hal yang kecil. Seseorang yang sedang melawan sifat kemalasan untuk solat diawal waktu itu juga, dipanggil pengorbanan. Untuk bangun solat subuh ketika tilam dan selimut lebih sedap untuk dijadikan pilihan, maka itu juga adalah pengorbanan. Untuk melatih diri sentiasa tersenyum dan bersikap ramah kerana mahu mendidik diri menyebarkan dakwah, itu adalah pengorbanan.

Semasa baca ini, cuba kita tanya diri kita sendiri semua. Cuba kita fikir – kalau kita takut berkorban, bukanlah selama ini dalam kehidupan, kita sentiasa berkorban?

Untuk mahukan kejayaan yang besar,
maka pengorbanan yang besar juga perlu kau lakukan.

Ada waktu-waktu, saya juga seperti orang lain – yang kadang-kadang merasa tidak mampu dengan apa yang sedang dilakukan. Bahkan ada ketika, saya tersenyum dan gelak apabila bersama dengan sahabat-sahabat. Tapi akan ada detiknya, saya bersendiri dalam bilik menekup muka dengan telapak tangan dan mengeluarkan airmata seketika (tolong jangan bayang). Tapi selepas itu, saya akan cakap kepada diir sendiri, Allah sedang memerhati, Allah takkan membiarkan diri ini, Allah akan bantu. Saya akan ingat kembali firman Allah ini,

“Hai sekalian manusia, sesungguhnya janji Allah itu adalah benar. Maka dari itu, janganlah engkau semua tertipu oleh kehidupan dunia ini dan janganlah sekali-kali kepercayaanmu kepada Allah itu tertipu oleh sesuatu yang amat pandai menipu.” (Fathir: 5)

Kamu tahu, adakalanya bila merasa lemah itu, adalah normal. Yang penting, saya berusaha. Maka saya akan kembali bersemangat semula.

Teruskan Melangkah Dengan Bergaya

Kita jangan selalu pandang orang lain dan berkata, “Ah dia! Untunglah dia hidup sentiasa berjaya. Tak macam aku.” atau “Hidup dia sentiasa happy ke sana ke sini. Kan best kalau aku dapat jadi macam dia? Huh!” atau “Malangnya nasib aku tak macam dia..”

Kamu tahu, bila kita selalu melihat kejayaan orang, tetapi tidak bersyukur dengan kehidupan kita, maka kita hanya akan dapat hati yang luka. Luka kerana tidak bersyukur. Dan akan bernanah kerana tidak pernah menghargai nikmat kehidupan sendiri.

Kerapkali kita akan memandang kejayaan seseorang yang lain hanya ketika dia sudah berjaya. Tetapi tidak ketika dia sedang berusaha. Begitulah manusia. Manusia hanya akan nampak manis kejayaan orang lain sahaja, tidak tidak merasai segala jerih payah dan kepahitan sebelum mencapat kejayaannya tersebut.

Betul, bukan?

Instead of WOW-ing of someone else’s successful, kenapa tidak kita mengambil pengajaran dari kepahitan seseorang itu untuk berjaya? Itu bagi saya, lebih wow!

Kalau kita sudah berusaha tanpa keculasan, maka selepas itu, serahkan sahaja kepada Allah SWT. Tawakal. Kita sudah usaha seiring doa, maka keputusan akhirnya adalah dalam keputusan Allah SWT. Apapun selepas itu, jika kita tawakal, kita tidak akan pernah lemah.

Firman Allah SWT,

“Dan Allah memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri (bertawakal) sepenuhnya kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melaksanakan segala perkara yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Thalaq 65; Ayat 3)

Imam al-Ghazali mendefiniskan ‘Tawakal’ sebagai, “Tawakal ialah menyandarkan kepada Allah tatkala menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepadaNya dalam waktu kesukaran, teguh hati ketika ditimpa bencana disertai jiwa yang tenang dan hati yang tenteram.”

Indahnya. Subhanallah. MashaAllah, tabaarakallah!

Sebab itu saya katakan, biar kita terus melangkah dengan penuh bergaya. Lari dari realiti cabaran dan pengorbanan serta masalah? Bukan satu penyelesaian yang baik, malah satu keputusan yang agak kurang baik. Anda tidak mahu menyesal, kan?

Senyum.

Seberat-berat kehidupan kita yang kita rasa, lagi banyak sebenarnya nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita. Sesusah mana pun kita rasa diri kita, banyak waktu sebenarnya Allah SWT selalu memudahkan kita. Just think about it.

Diri saya ini, dan kamu, kamu serta kamu.. Kita sama. Masih hidup atas izin Allah. Masih banyak peluang lagi sebenarnya. Kita hanya perlu buat semampu kita dengan jujur. Jangan merasa kitalah yang paling berhadapan dengan suatu masalah, sedangkan masih ramai orang lain yang lebih berat situasi yang dirinya hadapi. Jangan hiba dan berduka, Allah SWT ada.

Jangan sedih, okey?
Senyum sikit.

Semoga ALLAh merahmati.

2 Comments

  1. Azizi Aliaspar says:

    Kita berkongsi penjelasan/fahaman yang sama tentang idea cabaran dalam kehidupan.

    Dalam menjalani kehidupan, setiap kita akan mengalami cabaran berupa masalah yang minta diselesaikan. Bezanya cuma pada situasi dan cara kita menghadapinya.

    Pernah beberapa kali mencuba untuk lari dari masalah. Nyata, ia bukan perlumbaan yang ada garis penamatnya. Tiada siapa yang menang, masalah dan cabaran masih harus dihadapi dan diselesaikan.

    Kadang, kebergantungan kepada kudrat manusia semata-mata sahaja tidak mampu membantu kita untuk menghadapi dan seterusnya menyelesaikan cabaran/masalah. Sebab itu, selaku manusia yang beragama, kita diberikan keistimewaan untuk berdoa dan memohon pertolongan daripada tuhan.

    Pertolongan tuhan itu pula, terkadang tidak terjadi dalam bentuk penyelesaian masalah itu secara serta-merta. Terkadang ianya dalam bentuk yang lebih seni, yakni dalam bentuk rasa. Rasa tidak bermasalah sewaktu menghadapi masalah. Rasa pasrah bertukar redha. Hebatnya tuhan.

    Terima kasih diatas penulisan saudari. Rasa sedikit lega bila sedar akan hakikat setiap manusia akan menghadapi cabaran.

    P/s: sedang menghadapi beberapa fasa kehidupan yang tidak menyeronokan. Doakan supayaa doa baik kita semua dimakbulkan.

    [Balas Komen]

    Suhana Amiril Reply:

    Terima kasih sudi singgah dan meninggalkan tinta di sini, tuan. Semoga Allah memudahkan dirimu dan memberi kelapangan kepada jiwamu.

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *