Hati Tidak Berdamai Dengan Kemungkaran

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Fitrah hati itu adalah suci dari sebarang kekotoran. Dan apabila manusia bertindak mengotorinya, maka manusia tidak akan pernah tenang dengannya! Credit Picture : http://mylifethroughthelens.deviantart.com/
Fitrah hati itu adalah suci dari sebarang kekotoran. Dan apabila manusia bertindak mengotorinya, maka manusia tidak akan pernah tenang dengannya!
Credit Picture : http://mylifethroughthelens.deviantart.com/

Hati. Selalu rumit untuk berbicara soal hati. Kerana apabila soal hati, seakan-akan ia adalah tabung bagi seluruh jasad. Kalau terusik hati itu, maka terusiklah seluruh jasad. Kerana itu, bila berurusan tentang soal hati, selalu sahaja langkah diri ini mengambil pendekatan yang sangat berhati-hati. Dan ada waktu juga, membuat diri ini terdiam lama.

Kamu tahu? Hati itu sepertinya juga adalah sesuatu yang abstrak.

Semua manusia itu dicipta dengan fitrah kebenaran. Ada rasa dalam hati tentang mencintai kebenaran. Dan sudah pasti, Allah Ta’ala tidak ciptakan kita dengan kekosongan. Kerana itu, apabila dalam perjalanan hidup kita ini, kita melakukan kemungkaran, hati kita sendirinya akan memberikan amaran-amaran atau peringatan tentang bahana perbuatan kita. Percaya? Cuba tanyakan kepada diri kita masing-masing. Pernah tidak kita merasa tenang apabila melakukan suatu kesalahan? Pastilah kita akan diburu rasa bersalah, bukan?

Atau pernahkah kita melihat orang yang melakukan kesalahan dan jenayah kecil atau besar mengaku dengan megahnya bahawa dirinya tenang-tenang sahaja? Atau paling contoh paling mudah, semasa waktu sekolah dahulu, apabila seorang murid melakukan vandalisme, maka hatinya diulit ketenangan dan tidak takut akan hukuman. Pernahkah?

Namun saya sangat pasti. Kalaupun ada orang yang mengaku bahawa hatinya tenang selepas melakukan semua perkara-perkara yang jelas Allah Ta’ala tidak redha, pastilah sebenarnya dia sedang menipu diri sendiri. Kerana kita ini, diciptakan dengan hati yang suci yang sentiasa menginginkan kebaikan dan kedamaian. Itu, saya sangat pasti!

Hati Menolak Kemungkaran

Saya selalu percaya bahawa hati bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Macam saya katakan tadi, hati itu ibarat tabung atau sumber utama bagi maslahat seluruh jasad. Jika ia terusik dengan kejahatan, pastilah hati akan berkata TIDAK. Namun sering kali manusia mengendahkan rintihan sedih hati mereka. Hati yang merintih untuk berkata TIDAK dan JANGAN apabila melakukan dosa, akhirnya akan melemah kerana tangan-tangan manusia.

Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad ini ada segumpal daging. Apabila ia (segumpal daging) tersebut baik, baiklah seluruh jasadnya.Dan apabila ia (segumpal daging) tersebut rosak (buruk), maka rosaklah (buruklah) seluruh jasadnya. Ketahuilah, segumpal daging tersebut adalah hati.” (HR. Bukhari, Muslim dll)

Kita maklum dan tahu mengenai hadis dari Baginda SAW ini. Dan kita maklum bahawa, apabila hati kita sudah rosak, maka hati kita tidak akan merasa apa-apa. Sehinggakan apabila kita berbuat satu kemungkaran, hati kita tidak akan terusik dan menganggap perbuatan mungkar itu suatu perkara yang biasa. Masa itu, hati kita juga tidak merasa sensitif atas perbuatan-perbuatan dosa yang kita lakukan. Dan sungguh, itu adalah bala bagi kita sebagai orang Islam! Tanda hati kita sudah tertutup dengan noda-noda hitam.

Maka, bagaimana mungkin cahaya dari Allah SWT akan memasuki hati orang-orang yang hatinya gelap dan tidak merasa sensitif dengan setiap dosa-dosa yang dilakukannya? Dan bagaimana mungkin kita akan kembali ke jalan-Nya jika hati kita sudah gelap dan kita sendiri tidak mahu menerima cahaya? Hati kita ini, tidak akan pernah berdamai dengan kemungkaran. Sebolehnya hati kita yang secara fitrah dicipta atas kebenaran dan mencintai kebaikan, akan menolak dan menidakkan kejahatan. Tetapi, apabila hati kita sudah gelap; maka itu adalah tanda-tanda kematian hati kita sehingga kita boleh jadi buta mata hatinya.

Sungguhlah, wahai kawan.. Hati kita ini urusan yang rumit sebenarnya.
Maka jagalah ia.
Jangan kotori.
Dan bersihkanlah selalu.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *