Hati Kita Akan Buta

Bismillah.

Memaknakan kehidupan selagi hayat dikandung badan. Credit Picture : http://heggen.be/
Memaknakan kehidupan selagi hayat dikandung badan.
Credit Picture : http://heggen.be/

Cekap dan pantas jari-jemarinya memetik tali gitar. Walhal matanya tidaklah sesempurna mata orang lain yang boleh melihat alam ini. Saya berhenti seketika, mendengarkan irama yang dimainkannya. Oh, irama lagu tahun 90-an! Pernah juga saya bertemu dengan seorang insan yang kurang dari segi penglihatan tetapi memiliki suara yang merdu apabila melantunkan bacaan alQuran. Dan ramai lagi sebenarnya yang ada kelebihan tersendiri. Mereka buta mata. Tetapi hati mereka terang dan sempurna.

Dan sebenarnya, saya bukan hendak bercakap mengenai mata yang buta. Sebaliknya saya hendak bercerita mengenai hati yang buta. Apa yang kita faham tentang hati yang buta? Tetapi sebenarnya, mata yang buta itu adalah lebih baik daripada hati yang buta. Jika hati seseorang itu sudah buta, maka gelaplah hidupnya walaupun dia masih bernafas di dunia ini, berjalan ke sana sini tetapi hakikatnya macam mayat hidup.

Eh?

Kita Akan Buta Jika Nafsi Nafsi

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada dalam dada.” (Surah al-Hajj: Ayat 46)

Pernah dengar istilah nafsi nafsi? Istilah ini sebenarnya boleh membawa maksud ‘hal aku, hal aku. hal kau, hal kaulah!’ Haaa, begitu senang cerita. Atau pun dalam erti kata lain, nafsi nafsi itu bermaksud sendiri-sendiri. Dunia ini hanya mengenai diri kita sendiri. Kita tidak kisah tentang orang lain. Kerana pada kita, kita tidak mahu menyibuk hal orang lain. Begitu juga pada diri kita, kita tidak mahu orang lain sibuk pasal hidup kita walau apapun yang kita buat. Baik, sudah dapat tangkap maksudnya?

Bagus, bagus. Maka, baikkah sifat yang sebegitu? Tidak!

Kita ini kadang-kadang ego terlalu tinggi tidak bertempat. Tahu ego? Kita semua ada ego. Dan perbezaan ego diantara kita semua adalah siapa ego dia yang paling tinggi dan besar sehingga merasakan dirinya sempurna tanpa cacat celah. Jadi ingin saya bertanya, bolehkah seseorang itu hidup bersendirian sepanjang hayatnya? Iyalah, jika dunia kita hanyalah diri kita sendiri.. Dapatkah kita hidup tanpa perlu berkomunikasi dengan orang lain? Dan saya maksudkan, LANGSUNG TIDAK berkomunikasi dengan orang lain. Boleh?

Orang yang suka hidup secara nafsi nafsi ini tidak akan menghiraukan orang lain. Meskipun orang lain itu dikenalinya dan mungkin sedang berbuat kejahatan, dosa dan maksiat. Dia hanya akan berkata, ‘aku jaga hal aku dahlah’. Mungkin dari sudut pandangan kita, baik juga sifat sebegini. Sifat yang tidak suka menyibuk. Tetapi bila fikir-fikir kembali, sifat sebegini sebenarnya hanyalah wabak penyakit yang hanya mematikan hati dan perasaan kasih-sayang sesama manusia.

Tiada lagi sifat ambil berat. Tiada lagi kebaikan.

Tidak Nampak Jalan Menuju Akhirat

Pssst! Cuba bayangkan ini; andaikan seseorang itu sudah tidak ambil peduli soal ajaran agama. Hidupnya bebas, sebebas-bebasnya. Baik buruk yang berlaku di sekelilingnya tidak akan sesekali menganggu hidupnya selagi mana dirinya tidak terlibat. Telinganya sudah kebal, jiwanya keras dan tidak merasa apa-apa sedikit pun apabila mendengar firman-firman Allah SWT.

Hatinya sedikit pun tidak tersentuh oleh nasihat-nasihat agama. Padanya masjid hanyalah sebuah bangunan yang tiada makna. Kiblat hanyalah sebutan. Solat bukanlah pilihan dalam hidupnya lagi. Syurga dan neraka baginya hanyalah dongengan semata-mata. Tutup aurat? Pada dirinya tutup aurat itu hanyalah melanggar kebebasan manusia. Kerana katanya, hidup yang sebenar adalah hidup yang sekarang, dan hidup yang sekarang ini perlu dinikmati puas-puas. Hatinya sudah tidak tersentuh dengan kebaikan. Apatah lagi hendak tersentuh dengan dengan dakwah atau tarbiyah.

Jauh panggang dari api. Hidupnya kosong, bebas, dan tiada arah.

Keluarga? Peduli apa dengan keluarga? Dia sudah tiada keluarga sejak mengambil keputusan untuk hidup sendiri dengan caranya yang tersendiri. Keluarga itu bukanlah apa-apa, melainkan orang yang melahirkan dan pernah membesar bersama-sama suatu masa dahulu. Dia sudah dewasa, maka dia perlu hidup sendiri.

Dan cuba bayangkan pula ciri-ciri orang yang di atas ini adalah diri kita. Wallahi! Saya jadi seram sejuk. Wujudkah orang yang begini, Suhana? Wallahu ta’ala a’lam bissowab. Tiada mustahil bagi Allah SWT untuk mengizinkannya terjadi kerana kekhilafan dan keegoan manusia itu sendiri. Allah SWT berfirman,

“Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).” (Surah al-Isra’: Ayat 72)

Saya pasti, takut sangat sebenarnya kita apabila Allah SWT menarik nikmat hidup berTuhan dari dalam hidup kita. Betul, kan? Tidak tergambar rasanya apabila hidup kita seperti mayat hidup. Tiada tujuan, tiada pegangan, tiada agama.

Tiada rasa kasih dan sayang dalam jiwa.

Penyebab Matinya Hati Manusia

Terlalu mencintai dunia hanya akan membuatkan hati kita berat untuk meninggalkan dunia, dan terasa berat pula untuk pulang ke tempat kita pada hari akhirat nanti. Pada pemilik hati yang mati, dunia ini adalah segala-galanya. Dia akan hidup bersungguh-sungguh untuk kesenangan di bumi ini. Perlahan-lahan akan terhakis keimanan kepada hari Kiamat dan kehidupan selepas berada di dunia ini. Kerana apa? Kerana hati dan jiwanya, hanyalah untuk kesenangan di dunia (bumi) ini sahaja.

Kawan, mahukah kamu mendengar jika saya beritahukan seperkara ini? Orang-orang yang tidak suka menerima nasihat kebaikan agama baik secara berbisik kepadanya atau nasihat umum kepada semua orang, akan menyebabkan hatinya mati secara perlahan-lahan tanpa disedari. Sehingga pada suatu saat nanti, telinganya jadi alah kepada perkataan ‘nasihat kebaikan’.

Ayuh! Beranilah kita mengaku kepada diri kita sendiri bahawa sebenarnya kita telah banyak menyaksikan selama hidup di dunia ini. Wujudnya orang-orang yang tidak suka kepada orang yang memberi nasihat agama, atau nasihat kebaikan amnya. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa orang yang suka menasihat itu hanyalah merimaskan. Walhal, nasihat itu disampaikan secara baik kepadanya. Tetapi, apalah daya hati yang sudah buta untuk melihat?

Kawan, buta mata itu masih boleh jalan di dunia. Tetapi buta hati? Sesat di akhirat sana.

Masih Belum Terlambat Sebenarnya

Adakah kita masih ingat doa-doa kita kepada Allah SWT, “Ya Allah, janganlah Kau tarik hidayah-Mu setelah Engkau telah memberikannya kepadaku…” Apakah kita masih ingat bagaimana hati kita mengharap untuk tidak jatuh ke lembah kerugian? Bukankah sebenarnya tidak terbayang oleh kita sekiranya Allah SWT akan melupakan kita kerana kesilapan kita terlalu mencintai dunia. Takkan mahu berHUHU pula, kan.

Ustaz saya pernah memberi peringatan, “Jika kamu berdosa, dan kamu rasa getaran dalam jiwa bahawa apa yang kamu lakukan itu adalah berdosa, ingatlah hati kamu masih hidup. Dan bersyukurlah, jangan futur kepada Allah lagi!”

Masih terngiang-ngiang ayat itu di telinga ini.

Saya tidak suka membunuh harapan. Apatah lagi dalam hal agama dan ketuhanan. Dalam hal apabila kembali kepada Allah SWT, saya beriman dan yakin bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun, Maha Pemurah. Selagi seseorang itu masih hidup dan dunia ini masih belum kiamat, jalan menuju Allah itu masih ada dan tidak tertutup, wahai kawan. Tiada yang sempurna diantara kita semua, maka dalam soal memperbaiki diri itu adalah kemestian kepada kita. Dan itu adalah tanggungjawab kita.

Kadang-kadang tu kita sedar iman kita sedang turun, hati kita sedang merana. Ada sebahagian dari kita hanya membiarkan sahaja, sehinggalah melarat. Sama-samalah kita cari jalan. Saya juga sedang belajar banyak dalam hidup ini. Jadi, apakah yang perlu kita lakukan? Antaranya, ialah :

i. Niat Bersungguh-sungguh Memperbaiki Hati
Bila kita kondisi hati dan iman kita sedang menurun, janganlah tunggu sehingga ia jatuh ke paras yang sangat bahaya. Bertuahlah bagi sesiapa yang tahu kondisi imannya, dan bersungguh-sungguh pula untuk memperbaiki diri, amalan dan kehidupan.

Allah SWT berfirman,

“Dan orang-orang yang bermujahadah untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami.” (Surah al-Ankabut: Ayat 69)

Untuk ke sekian kalinya, dan saya takkan pernah jemu berkata atau menulis bahawa; baik kan Allah SWT? Dia, Allah SWT akan sentiasa memberi selagi manusia itu berusaha.

ii. Berkawan Dengan Orang-orang Soleh
Kawan adalah cerminan peribadi kita. Betullah kata orang, kita cepat terpedaya dengan kawan kita. Apabila kawan kita itu baik, kita yang kurang baik pun akan menjadi baik.

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka,” (Surah Hud: Ayat 113)

Hidup ini, sentialah berazamlah untuk bertemu dan bersahabat dengan orang-orang yang baik lagi soleh. Kerana kawan-kawan yang begini tidak akan pernah jemu untuk menyebut-nyebut tentang Allah SWT dan mengingatkan diri kita mengenai akhirat.

Benarlah sabda Nabi SAW,

“Perumpamaan teman duduk yang baik dengan teman duduk yang jelek adalah seperti penjual minyak wangi dan pandai besi. Adapun penjual minyak wangi, maka mungkin dia akan memberikannya kepadamu atau mungkin juga kamu akan membeli darinya atau paling tidak kamu mencium bau wangi di sekitarmu. Adapun pandai besi, maka kalau dia tidak membakar pakaianmu maka paling tidak kamu mencium bau busuk di sekitarmu”. (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

iii. Sentiasa Berzikir Kepada Allah
Zaman ini adalah zaman fitnah. Di laman-laman sosial, media massa, media cetak dan dunia di luar sana, boleh jadi penyebab kepada kita untuk ingat kepada Allah SWT, dan boleh jadi juga sebaliknya. Macam mana hendak berusaha untuk tidak terjebak dengan segala penyakit hati dan fitnah pada zaman ini? Banyakkan mengingati Allah SWT.

Dengan itu, apabila kita mahu melakukan sesuatu atau bertindak dalam hal-hal lainnya, ingatakan akan terus ingat kepada Allah SWT. Kita akan terus berfikir, adakah betul apa yang kita lakukan ini? Apakah betul tindakan kita ini pada pandangan Allah SWT?

Nasihat ini mungkin kedengaran agak cliche. Tapi.. siapa kisah cliche atau tidak? Selagi mana cara ini boleh membuatkan kita jadi seseorang yang sentiasa mendahulukan Allah SWT, mengapa tidak? Sekurang-kurangnya kita berusaha dan mencuba kerana Allah.

Senyum.

Bersyukurlah Masih Ada Hati

Kita jangan sesekali suka untuk merasa selesa dengan kehidupan kita. Meskipun ada yang mendakwa bahawa dia sedang berada dalam dunia dakwah dan tarbiyah, pun wajib untuk menjaga hati dan memperbaiki amalan.

Sebenarnya perlu lebih menjaga hati, malahan!

Berterima kasihlah kepada Allah SWT dengan tindakan kita dan amalan kita sebagai seorang hamba. Dan berdoa selalu untuk diri sendiri, keluarga serta ummah ini agar dijaga dan diberikan petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT. Diri kita sendiri ini pun, kita tidak dapat jamin bahawa kita akan kekal mengingati Allah SWT.

Kerana itu, kita tidak boleh bersifat ego dan sombong.

Tidaklah hati manusia itu kotor, hitam dan menjadi buta melainkan kerana manusia itu sendiri. Moga-moga, kita semua menjadi manusia yang sentiasa membersihkan hatinya.

Salam kekuatan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *