Fahamilah Mereka Wahai Sahabat

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Ayah dan Ibu.

Mereka ini adalah dua insan yang sangat berjasa dalam kehidupan manusia. Tanpa mereka, maka tiadalah kita di dunia ini. Iya, mungkin akan ada yang berkata, kalau bukan kehendak Allah, kita dan mereka tiada di alam fana ini. Namun, perantaraan kita berada di dunia adalah mereka. Mereka yang sangat banyak berkorban dalam melahirkan dan membesarkan kita sehingga mengenal erti dunia, dugaan dan sebagainya.

Bagi mereka, kita adalah racun dan penawar. Kitalah duri kitalah intan. Kita dibelai, dimanja dan dipenuhi segala permintaan selagi termampu. Biarlah mereka mengikat perut, asal bahagia dan gembira melihat kita tersenyum mendapatkan apa yang diingini. Indahnya masa itu. Senyum, gelak dan tawa kita menjadi kebahagiaan buat mereka.

Namun, sedikit-sedikit perubahan terjadi apabila kita sudah dewasa.

Anak-anak Mula Mengenal

Apabila kita meningkat ke alam kanak dan remaja.. Kita mulai belajar banyak benda di sekolah. Kita mula memahami apa yang guru ajar. Kita mulai memahami apa ajaran Islam. Dan kita sudah tahu yang mana dosa dan pahala, seterusnya tahu apakah perbuatan yang mengundang dosa dan begitu juga perbuatan yang membuahkan pahala.

Saya seringkali terdengar perbualan orang lain ataupun dari rakan-rakan sendiri, bahawasanya mereka dihantar ke sekolah agama untuk menjadi orang yang lebih baik. Tetapi, apabila mereka mengamalkan apa yang mereka pelajari, sebahagian daripada ibu bapa menentang dan melarang mereka serta ada sampai satu tahap di mana ibu bapa takut anak mereka telah dididik dengan ajaran sesat. Saya tumpang simpati.

Ada juga rakan-rakan yang lain, tertekan dengan keluarga sendiri yang tidak memahami Islam dan tidak mengamalkan ajaran Islam. Sering meniti di bibir mereka, dan bukan seorang dua berkata bahawa berdakwah kepada keluarga berbanding orang lain lebih susah. Iya, saya sendiri akuinya.

Sekiranya anda berasal daripada sekolah agama, maka anda bertuah. Lihat hikmah perancangan ALLAh. ALLAh telah mengizinkan hati kedua ibu bapa kamu dengan menghantar kamu ke sekolah berpendidikan agama, sedangkan kedua orang tua kamu tidak mengamalkan atau lebih tepat, jahil mengenai ajaran Islam. Wahai sahabat, sila buka mata dan hati!

Jangan Sampai Membenci

Saya faham tekanan dan cubaan yang dihadapi oleh sebahagian sahabat yang berada di tempat seperti ini. Tidak perlu melihat contoh jauh, apa yang ada di sekeliling saya juga sudah ada.

Jika dakwah anda tidak berjaya setelah beberapa lama anda berdakwah, maka sabarlah. Berdakwah selagi anda mampu berdakwah. Jangan berputus asa kerana melihat hasil dakwah anda yang tidak berbunga. Jangan rasa penat dan lenguh, kerana merasa penat itu boleh membawa kepada putus asa. Maka, berehatlah anda seketika.

Saya juga pernah melihat seseorang yang berdakwah kepada keluarganya, namun mungkin boleh dikatakan dia belum berjaya memikat hati keluarganya sendiri. Lalu, timbul rasa kurang tidak senang terhadap keluarga sendiri lalu tidak menghiraukan mereka. Jangan! Tidakkah anda ingat bahawa bapa saudara Rasulullah SAW yang tidak memeluk Islam? Hatta Nabi adalah seorang yang sudah diakui pada waktu itu.

Ada juga anak yang seakan-akan sampai membenci kedua ibu bapa mereka. Nasihat saya, anda muhasabahlah diri anda kembali, juga peringatan buat diri saya sendiri. Untuk apa kita berdakwah sebenarnya?

Jangan sampai lahir kebencian di dalam jiwa kamu. Kerana, ingatlah. Kerja kita hanya memberi contoh yang baik dan menyampaikan serta mengajak kepada kebaikan, namun yang memegang hati-hati manusia adalah ALLAH, Tuan Punya Dunia!

Bersabarlah Dalam Hikmah

Semakin kita dewasa, semakin banyak kita mengenal dan memikul tanggungjawab. Semakin banyak perkara yang kita perlu fikirkan. Semakin banyak tugas yang menanti untuk dilaksanakan. Semakin sesak terasa otak yang kecil ini.

Kita pejuang, maka kerja kita adalah berjuang!

Bersabarlah dalam menyentuh hati kedua ibu bapa kita, wahai Sahabat. Tunjukkanlah yang baik-baik buat mereka. Jangan pernah kamu tertinggalkan doa buat mereka dalam hidup kamu, setiap kali selepas solat dan waktu-waktu berdoa. Minta ALLAH penuhi hati mereka dengan cahaya kebenaran. Ingatlah jua, mereka juga insan biasa. Di mana akan berubah. Dan mohon agar perubahan mereka itu lebih dekat kepada ALLAh.

Kita hanya mampu mengajak. Selain itu, serahkan kepada DIA.

Sekali lagi pesanan buat saya dan kamu, kamu dan kamu. Mereka berdua itu adalah insan yang sanggup bertarung dan menggadaikan nyawa demi kita. Terlalu banyak jasa dan pengorbanan mereka terhadap kita, dan walau berjuta-juta duit sekalipun jika dibandingkan dengan segala apa yang mereka buat sedari kita kecil, maka nilai wang itu hanya ibarat sebutir pasir di pantai.

Mereka dengan ALLAH. Kita dengan mereka dan ALLAH.

Teruslah mendoakan mereka, duhai Sahabat! Wallahu’alam.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *