Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Erti Pengorbanan Itu Pahit

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Dari sudut mana sebenarnya kita melihat erti pengorbanan itu.

Di padang yang luas dan tiada sumber air yang boleh didapati. Dia berlalu, demi mematuhi Tuhannya. Maka si isteri bertanya tatkala dia mahu berlalu pergi, “Adakah Allah yang memerintahkan kamu untuk berbuat demikian?” Penuh yakin.

Dengan tenang dia menjawab, “Ya.”
Si isteri redha, tanpa rasa terpaksa, “Kalau begitu, Allah takkan abaikan kita”.

Oh crap! Isteri dia biar betul? Apakah ada seorang isteri yang dengan redha ditinggalkan oleh si suami dengan khabaran pulangnya yang tidak dijanjikan padanya? Are she out from her mind? Rela ditinggalkan macam tu sahaja.

Si isteri, dia hanya seorang ibu muda yang ditinggalkan di padang pasir dengan seorang anak kecil yang masih menyusu. Ditinggalkan dengan sedikit bekal kurma dan air. Selain bayi kecil itu, dia keseorangan. Dan dia sendiri tidak pasti apakah suaminya akan kembali atau tidak. Kerana suaminya sendiri tidak langsung menyebut soal itu.

Saat itu, betapa dia telah melakukan dan merelakan sebuah pengorbanan.

Pengorbanan Itu Menuntut Kepahitan

Selain kisah Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah menyembelih anak lelakinya Ismail untuk menguji keimanannya, kisah Hajar yang ditinggalkan di padang pasir itu sangat membuat manusia berfikir dalam. Telah banyak kisah-kisah orang terdahulu yang tidak ditelan dek zaman dan masih menjadi perkara relevan sepanjang zaman untuk dihayati.

Cuba bayangkan seorang wanita yang ditinggalkan seperti kisah Hajar. Agaknya kalau kita berada di tempat beliau, maka sudah pasti bercucuran sahajalah airmata kita. Terasa dizalimi oleh suami sendiri dengan ditinggalkan bersama anak yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa selain menangis jika lapar.

Tapi apakah yang ditanyakan olehnya kepada suami?

“Adakah Allah yang memerintahkan kamu untuk pergi?”
“Maka Allah tidak akan mengabaikan kita.”

Tabaarakallah.

Dari mana keyakinan setinggi itu diperolehi? Apa yang mendorongnya untuk tenang dan redha? ‘Hajar memanglah boleh. Hajar kan isteri Nabi. No wonder la..’ Eh, sesiapa yang berkata begini, ketahuilah sesungguhnya isteri Nabi Nuh tidak beriman dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Nuh sendiri. Dan pada kisah Nabi Nuh a.s itu juga terdapat pengorbanan yang besar di dalamnya. Kesedihan Nabi Nuh a.s juga terasa.

Menghayati Pengorbanan Melembutkan Hati

Mahu melembutkan hati, salah satunya, hayatilah pengorbanan orang-orang terdahulu dan orang-orang di sekelilingmu. Nescaya hatimu akan terketuk dan kamu akan mensyukuri nikmat yang kamu ada sekarang. Setiap orang ada cerita dan pengorbanan yang telah dibuat masing-masing.

Betullah, menyelami kisah kehidupan seseorang dapat memberi kesedaran akan erti sebuah pengorbanan kepada diri sendiri. Kamu akan tahu bahawa pengorbanan itu bukanlah mudah. Pengorbanan itu bukanlah manis tetapi pahit. Namun, setiap pengorbanan yang dilakukan dengan tujuan kebaikan pasti akan terserlah dengan kebaikan jua akhirnya. Kepahitan dibalas dengan kebahagiaan.

Meneliti mahu pun membaca kisah pengorbanan orang-orang yang telah berkorban, akan membuat dirimu berfikir dalam mengenai kehidupann bertuhan. Dan kamu akan lebih menghargai hidup kamu seadanya. Seseorang itu, bukan mudah mahu sampai ke suatu tahap tanpa sebuah pengorbanan. Pasti banyak cerita di sebaliknya. Pasti!

Pada lipatan sejarah, ramai kisah orang-orang yang telah berkorban dengan jasad dan jiwa raga mereka. Ada yang sanggup terseksa demi mempertahankan sebuah syahadah. Ada yang sanggup terbunuh kerana mempertahankan keimanan. Ada juga yang rela kehilangan semua hartanya demi pengorbanan untuk agama.

Saya pasti, kita tidak lagi teruji dengan ujian yang sedemikian.

Justeru, kita mungkin lebih perlu fahami bahawa pengorbanan itu bukan sekadar pengorbanan. Tetapi apabila kamu rela berkorban, bermakna kamu menelan kepahitan dan kesakitan. Tangis duka dan lara mungkin menjadi teman setia.

Semoga ALLAH merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *