Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Dosa Yang Pertama Kali Dalam Sejarah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit Picture : www.quickmeme.com/ Sombong bukan milik sekalian manusia di dunia. Sebab itu, pada siapa sombong, Allah akan murka.

Credit Picture : www.quickmeme.com/
Sombong bukan milik sekalian manusia di dunia. Sebab itu, pada siapa sombong, Allah akan murka.

Selama saya hidup, saya belajar bahawa, orang yang sombong tidak akan mendapat kebahagiaan dan ketenangan. Saya belajar bahawa, orang yang sombong boleh bergembira tetapi tidak mendapatkan kedamaian. Kerana dalam hatinya sentiasa merasakan kekurangan dan kebimbangan yang tanpa dijemput. Resah sepanjang masa.

Fikirannya sentiasa kusut dan negatif!

Justeru, saya jadi tidak faham kenapa ada orang berjalan dengan lagak sombong di dunia ini. Kerana saya tahu, kesombongan itu tidak memberikan ketenangan dan merosakkan hati!

Sejarah kesombongan pertama, tidak pernah luput dari ingatan orang-orang Islam. Kesombongan yang membawa kepada kebinasaan dan murka Allah. Kesombongan yang menjanjikan api neraka adalah tempat kembali. Kesombongan pertama kali yang tanpa disusuli taubat, telah merugikan si pelakunya! Kesombongan yang tidak akan dilupakan!

Siapa si sombong pertama? Iblis.

Kesombongan Iblis

Di dalam al-Quran, Allah Ta’ala telah menceritakan dalam surah al-Baqarah, ayat 34 (cepat ambil tafsir or terjemahan, buka dan baca ayat tersebut). Bahawa Allah Ta’ala telah menyuruh sekalian malaikat termasuk iblis untuk sujud kepada Nabi Adam a.s sebagai tanda penghormatan dan kemuliaan kepadanya. Semuanya menurut kecuali iblis.

Kalau ditanyakan, dosa pertama kali dalam sejarah dunia itu apa? Jawapannya adalah sombong. Siapa pelaku akan kesombongan itu? Iblis.

Sebelum itu, pencerahan; sujud yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepada Nabi Adam a.s itu bukanlah sujud untuk menganggap Nabi Adam a.s adalah Tuhan. Tapi sebagai sujud memuliakan dan kerana Allah Ta’ala yang memerintahkan.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud, “Maka sujudlah meraka kecuali iblis; ia enggan dan takabbur dan ia termasuk orang-orang yang kafir.” al-Baqarah : 34

Di dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir, Qatadah berkata, “Musuh Allah, iblis, merasa iri kepada Adam a.s kerana kemuliaan yang diberikan kepadanya. Dia mengatakan, ‘Aku diciptakan dari api dan ia diciptakan dari tanah’. Dan dosa yang pertama kali terjadi adalah kesombongan musuh Allah, iblis yang menolak untuk sujud kepada Adam a.s”.

Maka secara tidak langsung, orang-orang yang berjalan dengan kesombongan di atas muka bumi ini adalah pengikut iblis dan juga pengulang kembali kepada dosa pertama dalam sejarah dunia; iaitu kesombongan! Too harsh? No, ini hakikat.

Milik Allah Semuanya

Waktu kecil dahulu, saya banyak memerhati. Dan pemerhatian saya itu, saya masih ingat sampai ke hari ini. Dan seperkara yang saya tertanya-tanya, apakah perasaan orang-orang yang sombong di atas muka bumi ini? Firaun juga merupakan seorang yang sombong yang mempunyai kuasa memerintah kerajaan sehingga membawa kepada pengakuan bahawa diri Firaun itu adalah tuhan. Sesiapa yang ingkar kepada dirinya akan mati. Sesiapa yang tidak mengakuinya sebagai tuhan, akan mati. Sesiapa yang memberontak kepadanya, akan mati. Padanya, dia berkuasa memegang nyawa manusia.

Beberapa hari lepas, saya menonton tv. Ada dialog seorang watak dalam cerita tersebut berkata, “Kau beruntung aku tak bunuh sebab aku masih maafkan kau. Kalau aku dah marah, nyawa kau berada dalam genggamannya. Bahkan tuhan yang kau sembah sekalipun tidak dapat menolongmu!” Dan saya macam… oh ini firaun moden rupanya.

Sesombong manapun manusia berada di atas muka bumi ini berjalan dengan kesombongan seberat gunung, hakikatnya tiada satu pun di dunia adalah miliknya. Pemilik dunia ini dan segala-gala yang ada didalamnya, adalah milik Allah Ta’ala mutlak.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim menyebut, “Tidak akan masuk sorga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan, meskipun hanya sebesar biji sawi.”

Jangan dilakukan dosa yang pertama kali dalam sejarah.
Tidak akan pernah beruntung orang yang sedemikian.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *