DIAM itu Adakalanya Kekuatan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Ada perkara yang kita tidak perlu membuka mulut. Kerana cukup diam kita itu adalah jawapan yang benar. Credit Picture by Abhinav
Ada perkara yang kita tidak perlu membuka mulut. Kerana cukup diam kita itu adalah jawapan yang benar.
Credit Picture by Abhinav

Dunia sekarang, medan media sosial sangat luas dan bebas digunakan oleh sesiapa sahaja. Saya teringat bagaimana saya pernah terbaca dan mencoroti komen demi komen yang berbaur amarah dan hasutan mengenai satu-satu isu serta merendah-rendahkan diri orang lain. Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan menyentuh isu-isu peribadi yang merupakan kelemahan dan keaiban.

Sedih untuk saya katakan bahawa seiring teknologi yang canggih dan bebas digunakan, maka sebahagian orang semakin kehilangan akhlak yang baik. Saya jadi sedar, hakikat ini adalah zaman yang sedang kita diami sekarang. Saya percaya kalian mesti setuju, bukan.

Justeru sekarang, mari kita berbalik kepada diri sendiri wahai kawan. Cuba kita bertanya kepada diri sendiri. Pernahkah kita terjebak dengan perdebatan di media sosial yang hanya membangkitkan amarah dan nafsu perdebatan yang membawa pada permusuhan? Kalau tidak pernah, alhamdulillah. Kekalkan untuk berusaha menjaga akhlak yang baik dan menjadi contoh kepada masyarakat.

Siapa pernah berhadapan dengan situasi dan orang-orang yang suka provok atau cucuk seseorang supaya bangkit kemarahannya? Saya mungkin boleh mengatakan bahawa kita semua pernah melaluinya. Iyalah, hidup di dunia ini macam-macam ada.

Mungkin juga orang pernah salah faham dengan kita. Atau mungkin kita tersilap sehingga orang menyangka yang bukan-bukan.

Adakalanya Diam Itu Menang

Tidak semua bidasan kata-kata itu adalah kemenangan dan kekuatan. Dan tidak semua diam itu adalah kekalahan dan kelemahan. Umumnya, semakin kita dewasa dan mempunyai daya fikir yang sihat, semakin kita tahu bahawa tidak semua perkara kita harus memberikan reaksi. Ada perkara yang kita perlu ambil tahu dan menjelaskan diri kita. Dan banyak perkara juga, yang kita ambil tahu tapi tidak perlu menjelaskan apa-apa kerana cara itu adalah yang terbaik.

Sebagai contoh, apabila berhadapan dengan fitnah. Apa yang kita perlu lakukan? Adakah perlu merayu-rayu memberi penjelasan kepada semua orang? Tidak! Tetapi kita perlu bertenang dan berfikir dengan waras. Kerana apa? Kerana walaupun kita difitnah sebenarnya, tetapi respon yang kita berikan terhadap fitnah itu tersalah langkah, boleh jadi mengeruhkan keadaan sahaja. Maka oleh hal yang demikian, tenangkan diri dan perhatikan dugaan yang menimpa diri anda.

Atau apabila kita kena provok oleh pihak-pihak yang tertentu yang kita sendiri tidak tahu apa masalah mereka. Maka bersabarlah. Diam itu adalah jalan pilihan pertama yang terbaik. Kita diam, tidak bererti kita ini salah. Malah sebenarnya, diam itu sendiri boleh menjadi jawapan dan penjelasan terhadap fitnah-fitnah dan provokasi dari manusia yang mendengki.

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya),

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Yang penting adalah anda tidak bersalah sebenar-benarnya!

Jauhi Perdebatan Yang Sia-Sia

Berdebat atau berhujah itu bagus. Dalam ilmu, hujah dibalas dengan hujah. Dengan izin Allah SWT, akan bertemu jawapan kepada persoalan yang didebatkan. Itu kalau memang masing-masing berhujah dengan lapang dada disertai dengan ilmu dan fakta-fakta. Kalau tidak, perdebatan hanya akan menjadi satu titik permulaan kepada sebuah permusuhan. Percaya atau tidak, terpulang.

Kadang-kadang ada orang yang mahu berdebat hanya kerana mahu kelihatan dirinyalah yang paling pandai dan berilmu. Malah tidak mahu dibidas oleh sebarang hujah yang lain kerana tidak mahu kelihatan seorang yang kalah. Kepuasan tertinggi bagi orang yang begini adalah apabila pihak yang satu lagi diam dan tidak memberikan reaksi terhadap hujah-hujahnya. Persoalannya, elokkah begini? Orang yang berilmu dan menyedari hakikat diri, tidak akan pernah mendabik dada.

Orang yang cepat melenting dan hanya suka untuk berdebat apabila berhadapan dengan situasi yang baginya salah, tidak akan pernah dapat melaksanakan tugas sebagai seorang da’i. Hal ini kerana, mad’u (orang yang didakwah) itu pelbagai. Dari mereka itu boleh jadi ada yang setuju dengan perkataan kita, dan tidak kurang juga ada yang kurang bersetuju dan akan mengajukan banyak persoalan. Cuba bayangkan kalau seorang da’i itu cepat melenting apabila menerima persoalan atau pertanyaan-pertanyaan mengenai akidah atau pegangan, adakah mad’u tadi akan kekal atau cabut lari? Adakah kita mahu bawa mad’u kita berdebat tanpa perlu menyantuni jiwanya terlebih dahulu?

Senyum.

Allah SWT berfirman,

“Serulah (manusia) kepada jalan Rabb-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl: 125)

“Doh pertandingan debat tu gane pulop?” Hahaha. Tiba-tiba loghat klate. Halalkan sajalah, ramai kawan dari klate, maka saya jadi suka loghat klate. Baik, kalau pertandingan debat, itu tidak mengapa. Tidak termasuk dalam perdebatan yang sia-sia. Jelasnya, pertandingan debat yang disertai oleh budak-budak sekolah atau para mahasiswa adalah untuk mengasah bakat kepimpinan.

Ada juga yang bertanya kepada saya, “Hang ni.. hang tau dak hang ambik kos yang paling suka berdebat? Nanti hang masuk kerja, hang duk berdebat dalam mahkamah tu tau!”

Kata orang muda macam kita, “Chillax lah!” Yang jadi peguam dan berhujjah di mahkamah itu tidak termasuk dalam perdebatan kerana memang mereka nak mencari kebenaran. Siapakah yang benar-benar tidak bersalah, dan siapakah yang sebenar-benarnya patut diberikan hukuman.

Jelas? Baik! Tepuk tangan untuk diri sendiri. Sengih!

Dewasa Mengajar Kita

Pssst! Sahabat, percaya atau tidak.. Semakin kita dewasa, semakin kita tahu bahawa hakikat kehidupan yang sedang kita tempuh tidak sama seperti apa yang kita fikirkan semasa umur kita 15 tahun dahulu. Kita semakin malas untuk melayan perkara-perkara yang hanya mendatangkan sia-sia dan permusuhan. Apatah lagi apabila perkara itu tidaklah bermanfaat dan bersifat peribadi.

Saya sendiri pernah menjadi seseorang yang darah mudanya mudah membuak-buak. Pantang ada peluang untuk saya menegakkan keadilan dan kebenaran pada pandangan mata saya, maka saya akan mengutarakan pandangan. Kadang-kadang tu, tanpa memikirkan perasaan orang lain. Astaghfirullahal’adzim. Mungkin apa yang saya tegakkan dan pertahankan itu betul. Tetapi impak dari kesan perbuatan itu, saya akui tidak menyenangkan.

Kebenaran itu tetap menjadi kebenaran, walau disenyapkan. Kebatilan itu tetap akan menjadi kebatilan walau dilaung-laungkan. Dan janganlah menjadi seseorang yang menyebabkan kebenaran itu dipandang sebagai kebatilan hanyak kerana sifat tidak sabar dalam diri kita.

Akan ada manusia yang tidak senang duduk melihat dan mengetahui pegangan atau ilmu seseorang, lalu memancing untuk berhujah dan mengeluarkan pendapat-pendapat masing-masing. Maka, nasihat saya sebagai seorang sahabat.. berhati-hatilah dengan orang sebegini. Dan jika kita pernah termakan umpannya, memohon ampunlah kepada Allah SWT.

“Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri.”

(Surah al-Baqarah : Ayat 222)

Diam itu, ada hikmah yang banyak. Sedang hujah itu, boleh jadi ada salah yang banyak.

Ambil Sebagai Pengajaran

Kita ini, hidup dan berada di dunia sampai umur manalah sangat. Esok atau lusa, tiada siapa tahu apakah kita masih hidup atau sudah berada di liang lahad. Kita tidak tahu adakah masih ada hari esok untuk kita. Atau adakah hari ini adalah hari terakhir untuk kita berada di dunia dan berinteraksi dengan keluarga dan sahabat-sahabat kita. Kematian itu misteri, bukan?

Saya sejujurnya apabila mengingati kematian, jiwa saya ada suatu rasa yang sukar diungkapkan. Takut nanti mati tidak langsung membawa bekal apa-apa semasa hidup di dunia. Yang dibawa dosa-dosa yang banyak, malahan! Allahuakbar. Semoga Engkau memberi rahmat-Mu, ya Allah.

Oleh hal yang demikian, kerana lidah kita ini berperanang sangat penting dalam kehidupan, maka jagalah lisan selalu. Jangan menyakiti orang lain dengan lidah kita. Jika kita merasa telah dikasari jiwa kita, janganlah kita pula bertindak dengan perbuatan yang sama. Jadilah orang yang menyantuni manusia. Semoga sifat sabar itu jadi asbab kepada kebaikan.

Seperti mana dalam maksud hadis,

“Ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Siapakah orang muslim yang paling baik?’ Baginda SAW menjawab, ‘Dia adalah yang apabila orang-orang muslim lainnya selamat dari gangguan lisan dan tangannya.’” (Hadis Riwayat Muslim)

Tidak keterlaluan jika saya mengajak kita semua berfikir mengenai perbuatan kita pada hari ini. Mahu percaya atau tidak, terpulang kepada kalian. Tetapi, cuba fikirkan apa yang kita lakukan hari ini akan memberi impak di masa hadapan. Maksudnya? Setiap satu-satu perbuatan kita pada hari ini, fikirkan anak-anak kita di masa hadapan. Apakah kita mahu anak kita menjadi seperti diri kita hari ini jika kita seorang yang panas baran dan tidak menjaga lidah?

Sudah tentu kita tidak mahu, bukan?
Senyum.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *