Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Dai’e : Apabila Berlari Kencang Menuju Allah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Ada orang sudah berlari kencang. Ada pula orang sedang berjalan santai. Ada juga orang yang masih diam merenung masa depan. Credit Picture : Devianart

Ada orang sudah berlari kencang. Ada pula orang sedang berjalan santai.
Ada juga orang yang masih diam merenung masa depan.
Credit Picture : Devianart

Salah satu kegembiraan bagi orang Islam yang benar-benar mengharap keredhaan Tuhannya adalah apabila dirinya disibukkan dengan kerja-kerja agama, atau kerja-kerja yang bermanfaat untuk orang lain. Tidak kiralah apa jenis pekerjaan, asalkan pekerjaan atau perkara tersebut diredhai oleh Allah Ta’ala dan tidak menyalahi syara’.

Perasaan sebegitu, sungguh ‘rare’ rasanya. Tapi tidak mustahil, kan.

Justeru itu ramai orang sekarang kelihatan sungguh-sungguh dalam mahu mencapai maksud redha Allah. Kalau dulu, mungkin ramai remaja atau orang-orang sekeliling tidak peka dengan hal-hal agama, hanya cukup untuk ambil tahu perkara asas sahaja. Maka sekarang, ramai juga yang sudah bertemu cara tarbiyah diri dek disentuh hidayah dari Allah Ta’ala.
Saya sangat mengagumi semangat orang yang disentuh hatinya oleh Allah untuk lebih mendekat kepada agama. Dan saya sangat pasti, saat jiwa menerima tarbiyah bagaikan air yang dialirkan dicelahan batu yang sudah lama kering, pasti momen itu adalah yang termanis. Namun, tidak semua orang menerima tarbiyah seperti itu sebenarnya.

Masih ramai yang meraba-raba, wahai dai’e.

Berlari Kencang Menuju Allah

Kawan baik saya pernah berkata begini, “Fuh! Ramai dah sekarang orang sebaya kita berlari kencang menuju Allah. Tak pakai gear 5 dah, tapi gear 6 terus!” Kata-katanya kami sambut dengan anggukan sahaja. Memuhasabah diri barangkali pada saat itu.

Tiba-tiba seseorang pula bersuara, “Betul ramai yang berlari kencang menuju Allah. Tapi ramai juga yang lupa bahawa bukan semua orang sedang berlari kencang seperti itu. Masih ada lagi yang merangkak-rangkak sambil meraba-raba untuk mencari jalan pulang.”

Suasana jadi jeda seketika. Sepi.

Apa yang dimaksudkan berlari kencang menuju Allah? Itu adalah tamsilan atau perumpamaan kepada mereka yang aktif di jalan Allah – aktif dalam menyebarkan dakwah mengajak orang lain mengenal Allah Ta’ala, sibuk dengan hal-hal kebaikan dan menghindari keburukan, mencintai sesama sendiri kerana Allah, saling bahu-membahu sesama manusia dan mengasihi manusia sekelilingnya hanya kerana Allah Ta’ala.

Dari jiwa-jiwa yang mencintai kebaikan-kebaikan tersebut, maka lahirlah dalam jiwa untuk mahu menyeru orang lain yang jauh sedikit dari jalan Tuhan untuk berada di jalan yang lurus. Matlamat hanya satu, sama-sama mendapat sentuhan tarbiyah dan mencintai Allah.

Itu perkara yang menggembirakan. Berlari kencang di atas jalan dakwah menuju Tuhan. Siapa tidak mahu dikasihi dan dicintai oleh Tuan Punya Dunia, kan?

Namun dari keghairahan tersebut, berlaku perkara dimana sesetengah dari para dai’e yang berkobar-kobar semangatnya untuk menyampaikan dakwah, dan mahu mad’unya terus menjadi seperti apa yang dia inginkan. Atau seorang dai’e yang terlalu berharap agar manusia terus berubah hasil dari dakwahnya, lalu kecewa apabila manusia tiada perubahan pada jiwa dan tingkahnya. Maka ini adalah satu ‘keghairahan’ yang perlu dijauhi.

Perkara asas yang perlu kita tahu dalam berdakwah kepada orang ramai adalah; keikhlasan hati kita itu bagaimana? Berdakwah itu tidak boleh dengan cara yang memaksa. Berdakwah itu sendiri adalah mengajak atau menyeru. Maka, sekiranya orang terima dakwah yang kita jalankan dan sama-sama mahu mengenali agama Allah, Alhamdulillah. Tapi jika sebaliknya yang berlaku, tidak mengapa. Kita teruskan sahaja dengan kerja-kerja kita. Jangan pula singgah rasa kecewa teramat dihati dan kecewa dengan mereka yang hatinya tidak tersentuh. Kerana pemberi hidayah itu adalah mutlak dari Allah Ta’ala. Kita hanya ‘abid.

Saya jadi teringat firman Allah Ta’ala ini,

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru (manusia) kepada Allah dan beramal soleh dan berkata, ‘Bahwasanya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (muslim)’.” – Surah Fushilat : 33

Oleh itu, jangan cepat melatah apabila berhadapan dengan orang-orang yang tidak bertindak balas dengan apa yang kita bawakan. Hati manusia itu, Allah yang pegang. Bukankah?

Masih Ada Yang Mencari Jalan Pulang

Ketika ada dikalangan kita berlari kencang dalam jalan dakwah menuju Tuhan, ingatlah masih ada yang sebenarnya lembut jiwanya tapi masih meraba-raba untuk menjumpai jalan menuju Tuhan. Mereka ini walaupun perlahan dan lambat, tapi dalam fasa berusaha sungguh-sungguh dengan cara mereka sendiri.

Dalam kes-kes terpencil, saya sedih sebenarnya dengan sikap para du’at yang tidak sabar dalam gerak kerja dakwahnya. Dimana dia mahu orang ramai terus berubah apabila dirinya berdakwah. Lalu marah kepada orang lain kerana kononnya orang lain itu jahil dan keras jiwanya dan buta mata hatinya. Lantas orang lain dipandang serong.

Kawan, bukan begitu caranya. Bagaimana mungkin dakwah boleh menimbulkan kebencian sedangkan dakwah itu adalah kasih sayang? Dakwah itu adalah cinta?

Allah berfirman,

“Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang beriman.” (Surah Adz-Dzariyat : 55)

Peringatan itu adalah sesuatu yang bermanfaat. Dan perkara yang bermanfaat itu tidak datang melalui orang yang tidak sabar dan memandang serong pada manusia lain. Tidak pula manfaat yang baik itu datang dari orang yang hanya mahu syurga untuk dirinya sahaja. Manfaat itu juga perlu dibuahkan dengan akhlak dan tutur kata yang baik sesama manusia.

Saling Bahu-Membahu Sesama Kita

Saya pernah terbaca kata-kata ini, “Jika kita berada di atas, maka janganlah pula lupa terhadap orang yang berada di bawah.” Kata-kata ini serasa saya, memang sesuai diambil ibrah oleh mereka yang mengaku dan menggelarkan diri mereka sebagai seorang dai’e atau pendakwah. Kerana dai’e perlu faham, tidak semua orang berfikiran seperti mereka.

Kerana itu tugas sebagai dai’e itu menjadi beban tanggungjawab di bahu para dai’e.

Kalau kita lihat para sahabat-sahabat Nabi SAW yang telah Allah jaminkan syurga untuk mereka, mereka tetap terus hebat beribadah, malah terus kencang dalam gerakan dakwah. Terus gagah mempertahankan agama, malahan! Mereka tahu mereka akan masuk syurga. Kalau mereka mahu dan mereka berfikiran bahawasanya tidak perlu untuk bersusah-payah berdakwah dan menyampaikan kepada masyarakat asbab mereka tempatnya nanti di syurga, maka tidaklah sampai Islam kepada kita. Sebab apa? Sebab hasil-hasil dakwah dari Nabi SAW dan para sahabatlah hari ini kita tahu tentang agama kita, Islam.

Kalaulah para sahabat berfikir mementingkan diri sepertimana sesetengah dai’e yang ada sekarang, maka apa akan jadi agaknya? Sebab itu, saya mengatakan bahawa dakwah itu adalah jalan-jalan kecintaan. Dakwah itu adalah sebuah kasih dan sayang.

Saya kadang-kadang kecewa melihat sesetengah pihak yang lebih suka ‘kondem’ orang lain yang mahu berubah hanya kerana mereka itu – seperti yang mereka sangkakan – sudah berada di jalan Tuhan lebih lama. Atau mereka yang mengaku mereka itu golongan intelek. Mereka ‘membantu’, tapi dengan cara makian dan kejian terhadap orang yang keliru dan hilang arah tujuan dalam hidup. Perasaan benci yang mereka lemparkan itu, seolah-olah orang lain yang berbuat dosa sudah pasti neraka tempatnya. Sungguh saya kecewa!

Ternyata ‘golongan intelek’ ini masih tidak faham erti kehidupan sesama manusia yang sebenarnya. Kerana jika mereka faham, mereka sudah pasti tidak akan menghina orang-orang yang masih bertatih untuk menuju jalan Tuhan, apatah lagi mencaci keji. Kerana Islam tidak mengajarkan sifat-sifat buruk yang begitu. Tetapi Islam mengajarkan bahawa, tunjukkan jalan bagi mereka yang mencari jalan, dan jalanlah bersama-sama.

Dakwah itu bukanlah bererti mengkhabarkan kepada seluruh alam bahawa kitalah yang terbaik. Tapi dakwah itu adalah seperti ajakan atau seruan yang mengatakan, “mari, kita sama-sama keluar dari dalam bilik yang gelap ini ke luar sana yang lebih bercahaya.”

Maka jika ada yang masih merangkak juga masih meraba-raba, kita bantu mereka. Kita bantu bukan sebab mahu tunjuk kitalah yang paling tahu, kitalah yang paling pandai. No, tidak! Tapi kita saling bantu-membantu, bahu-membahu adalah kerana kita mempunyai matlamat yang satu. Dan dengan matlamat itulah kita harus bersatu. Bersatu dalam mengenal dan lebih tahu mengenai agama sendiri, sama-sama belajar dalam mengenal Allah Ta’ala.

Kata-kata pengasas Ikhwanul Muslimin, Imam Hasan al-Banna ini selalu menjadi inspirasi buat diri saya sendiri, “Sesungguhnya aku amat merindui seorang pemuda/pemudi yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummah.”

Sentiasa memikirkan masalah ummah?
Kitakah orang itu?

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *