Bukan Masa Untuk Main-main

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit picture : http://savedart.deviantart.com/
Credit picture : http://savedart.deviantart.com/

Hidup di dunia hanyalah persinggahan. Sebuah persinggahan yang pada waktunya terkandung suka dan duka, pahit dan manis. Yang padanya ada hasad dan dengki, juga ada kejayaan dan kegagalan. Yang pada persinggahan ini ada perhitungan amalan pahala dan dosa. Dan setiap manusia akan berhadapan dengan soalan demi soalan dari Rabbul ‘Izzati.

Dan untuk itu, waktu untuk bermain-main dalam kehidupan tidaklah termasuk dalam kamus kehidupan seseorang yang tahu dirinya bukanlah hidup lama di dunia atau tidaklah akan hidup selama-lamanya di dunia dengan limpahan nikmat-nikmat yang menguji. Kerana waktu yang sesingkat ini di dunia tidaklah cukup untuk agenda bermain-main.

Seringkali persoalan bermain-main ini menerjah minda dan lubuk jiwa apabila jiwa ini lagho atau lalai dalam suatu perbuatan. Apatah lagi perbuatan itu hanyalah untuk memuaskan diri sendiri yang tengah bosan atau diri sendiri yang tidak mempunyai kerja yang banyak pada masa itu – dan ya, memang patut malu pada diri sendiri sebenarnya. Hal ini kerana, mana mungkin orang yang sedang berjihad dan berperang dengan diri sendiri ada waktu-waktu yang banyak untuk dibazirkan begitu sahaja, bukan? *jeling-jeling folder game dalam laptop*

Kita semua, patut menangisi diri sebenarnya.

Serius Terhadap Kehidupan Akhirat

Jika tidak kerana Allah SWT yang ‘menarik dan memaksa’ diri ini untuk jatuh dalam lembah hidayah-Nya, mana mungkin saya akan berfikir mengenai kehidupan akhirat. Mana mungkin saya akan berfikir mengenai amalan-amalan ibadah yang dilakukan untuk meraih rahmat dan redha Allah Ta’ala. Dan mana mungkin saya hari ini akan bercakap dengan nama Allah. Kerana itu, ada waktu-waktunya diri ini terasa sayu dan dalam masa yang sama bersyukur; tertanya-tanya sendiri, bagaimana keadaan diri ini apabila Allah Ta’ala tidak menarik diri ini?

Dan saya rasa, kita semua pernah merasakan hal yang sedemikian.

Jika hari ini kita boleh membaca alQuran, kita minat membaca buku-buku agama, kita tertarik dengan kuliah-kuliah agama, kita senang dengan sahabat-sahabat yang berusaha mendekat kepada-Nya, kita menutup aurat dan cuba menyempurnakannya, kita berusaha berakhlak baik sesama manusia — maka itu semua, tidaklah tidak bukan; hanyalah kerana rahmat dari Allah Ta’ala kepada kita semua.

Pernah tidak kita semua berfikir mengenai hal ini?

Apa yang dimaksudkan hidup ini bukan untuk main-main? Apakah tidak boleh untuk bergurau senda serta menikmati kehidupan yang Allah Ta’ala pinjamkan ini? Adakah perlu untuk kelihatan serius dan tidak endah kepada dunia? Adakah perlu duduk di gua dan beribadat sahaja?

Maka jawapan kepada semua soalan di atas ini ialah, TIDAK.

Serius terhadap hal kehidupan akhirat bukanlah bermakna mengenepikan hal-hal fitrah seorang manusia seperti; menghiburkan diri, mencari keseronokan dan juga langsung tidak menunaikan hak bergaya untuk diri sendiri. Perlu kita fahami, apabila kita melakukan kesemua fitrah tersebut, maka tidak bermakna pula kita tidak serius dan tidak mengambil tahu terhadap kepentingan akhirat.

Lihat bagaimana kehidupan Rasulullah SAW. Ada masa baginda Rasulullah SAW berhibur bersama para sahabat. Tapi bila waktu untuk beribadat, maka baginda akan beribadat sungguh-sungguh. Saya sebenarnya segan dengan baginda Rasulullah SAW. Baginda yang dijanjikan syurga itu pun beribadat dengan ibadat yang sungguh-sungguh, maka saya ini bagaimana? Terkadang culas dalam kejujuran untuk beribadah kepada Allah Ta’ala.

Astaghfirullahal’adzim.

– serius menginsafi diri
– mempelajari agama
– menambahbaik amalan ibadah
– buat sebanyak mungkin kebaikan

Keseronokan Dalam Keredhaan Allah

Kita tahu kalau apa yang kita buat itu kerana Allah dan perkara itu sesuatu yang diredhai-Nya; adalah apabila jiwa kita senang dan tenang apabila selepas melakukannya. Pernahkah kamu merasa yang sedemikian? Rasa yang tiada ternoda dengan penyakit yang berbangga diri, tiada terdetik untuk riak, malahan!

Tapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan berseronok dalam keredhaan Allah? Okey, look! Benda ini umum sebenarnya. Terpulang kepada cara kita berseronok dengan cara apa; naik bukit, melancong ke negara lain, konvoi musafir dengan kawan-kawan, mandi air laut atau buat sebarang aktiviti berjemaah dan banyak lagi! Dan sebenarnya keseornokan yang diredhai oleh Allah adalah bergantung atas niat kita dan juga perkara apa yang kita lakukan.

Justeru, perlu juga kita faham. Apakah kesan dari setiap perbuatan kita tersebut. Apakah kesan diakhirnya baik atau sebaliknya?

Saya tinggalkan kita semua dengan persoalan ini. Mungkin kita boleh tanya kepada diri kita sendiri dengan sejujur habis tanpa perlu menipu atau membohongi diri sendiri.

Apakah senyum dan tawa kita diredhai oleh Allah SWT? Apakah apa yang kita ada sehingga ke saat ini membuat Allah SWT suka kepada kita. Dan apakah setiap kebaikan yang kita lakukan, kita niatkan benar-benar untuk Allah SWT kasih kepada kita di dunia dan akhirat? Ataukah kita hanya sekadar mendamba pujian dunia semata-mata?

Dan tanyakan kepada diri kita. Apakah niat kita sebenarnya?

Persoalan yang ringan namun berat natijahnya;
mungkin ya, dan mungkin tidak.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *