Bukan ALLAH Yang Jemu

Bismillah.

Allah tidak pernah jemu walaupun berkali-kali hamba-Nya memungkiri janji. Cuma kita ini. Kita ini yang bagaimana sebenarnya? Jangan jemu terhadap taubat kita.
Allah tidak pernah jemu walaupun berkali-kali hamba-Nya memungkiri janji. Cuma kita ini. Kita ini yang bagaimana sebenarnya? Jangan jemu terhadap taubat kita.

Apa perasaan kita kalau saya katakan bahawa Allah SWT tidak pernah jemu terhadap kita? Adakah hati kita akan menjadi lembut atau sebaliknya? Atau adakah hati kita akan rasa hancur luluh beserta malu kepada Allah SWT, atau terasa tiada apa-apa? Jawapannya, saya tidak tahu. Hanya saya, kamu dan kamu sahaja yang tahu jawapan akan persoalan-persoalan ini. Carilah jawapan didalam hatimu.

Cuba bayangkan ini. Bilamana seseorang manusia sering kali menipu kita dan menyusahkan kita, malah membuat kita turut serta terjatuh dalam lembah masalah berkali-kali walaupun sebenarnya kita tiada kena mengena dengan perbuatannya kerana perbuatannya itu adalah pilihannya sendiri. Kita pastinya akan mula hilang sabar dan jemu dengan perangai orang itu. Saya yakin! Kerana alasan kita, tahap kesabaran seseorang itu akan tercabar juga kalau keadaan sedemikian.

Maka apakah kita akan terus bertahan untuk berkawan dengan orang yang sedemikian setelah sekian lama kita nasihati dirinya dan mengasihi dirinya sepertimana kita mengasihi orang lain? Saya boleh katakan, akan sampai waktu yang kita akan membiarkan kawan kita itu untuk merasai kesan perbuatannya sendiri dan berharap serta berdoa dia cepat-cepat sedar. Bukan kerana mahu memutuskan silaturrahim dengannya, tapi memberinya waktu untuk sedar dan rasa sendiri kesan perbuatannya.

Tetapi Maha Suci Allah SWT, Dia tidak begitu terhadap kita. Hitunglah banyak mana dosa yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita, maka kita sendiri akan merasa malu. Tetapi tetap sahaja sehingga hari ini kita masih hidup dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Itu belum lagi kita kira bagaimana Allah SWT memelihara aib kita supaya kita tidak malu di hadapan ribuan manusia. Nikmat manakah lagi yang mahu kita dustakan?

Bukan Allah Yang Jemu Terhadap Kita

Pernah kita mengalami saat-saat dulu bilamana kita sedar kita melakukan dosa yang banyak, kita mohon kepada Allah SWT supaya diampunkan dan diterima oleh-Nya kita yang hina ini, kan? Atau pernah terdengar keluhan orang lain mengenai penyesalannya, dan memohon dengan sangat supaya diampuni oleh Allah SWT. Tapi hari demi hari, katanya kita semakin malu kepada Allah SWT sehingga merasa tidak layak lagi untuk memohon diampuni. Biasa dengar? Biasa, kan.

Saya ada persoalan kepada diri saya sendiri, dan kepada kalian semuanya. Pada saat kita yakin bahawa Allah SWT akan mengampuni kita dan kita datang kepada-Nya, mengadukan segala hal dan dosa-dosa serta aib-aib kita, adakah kita berharap akan diampuni secepatnya? Ibarat baru sejam berlalu tadi kita menadah tangan untuk berdoa, lalu kita mengharap akan diampuni sejam kemudian? Tapi tetap hati kita masih rasa bersalah. Dan tanpa disedari kita semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT, sebab kita mahu diampuni. Kita mahu nanti Allah reda terhadap kita.

Tetapi dalam masa yang sama, kita masih tetap melakukan dosa-dosa. Kita tidak boleh mengawal diri sendiri. Sehingga sampai satu tahap kita maki diri sendiri dan berkata, “Kenapa saya tak boleh kawal diri dari melakukan dosa?” Kita kesal. Kita menangis. Sehingga mungkin kita berkata-kata dan membodohkan diri sendiri, benci diri sendiri.

Kita rasa macam hilang harapan.

Akhirnya kita berkata lagi kepada diri sendiri, “Mungkin Allah SWT tidak sudi mengampunkan aku. Kalau Allah dah ampunkan aku, mesti aku tak buat lagi dosa ni. Hinanya aku. Sehingga Allah SWT pun tak mengampuni aku..” Kita sudah mulai jemu terhadap doa-doa kita. Nampak tidak permainannya di situ?

Kita mulai jemu dan penat dengan taubat kita. Tambahan lagi, kita masih melakukan dosa-dosa yang lain. Bahkan, kita merasa bahawa Allah SWT memang tidak mengampuni dan takkan mengampuni kita. Dan sampai satu saat, kita jemu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kerana kita berfikir, apa guna lagi taubat dan segala pengaduan kepada Allah SWT kalau diri kita itu masih juga terus-terus melakukan dosa. Baik berhenti jadi orang baik, dan terus jadi orang jahat.

Nah! Melalui situasi ini, siapakah yang bersalah sebenarnya? Adakah Allah SWT yang bersalah. Atau kita sendiri yang bersalah kerana kurang sabar dalam bertaubat? Saya pasti, anda yang sedang membaca juga pasti tahu jawapannya;

siapa yang salah dalam situasi ini.

Kita Yang Selalu Culas

Jangan marah jika saya katakan bahawa kita sebenarnya banyak alasan. Sentiasa banyak alasan! Banyak alasan apa? Banyak alasan untuk solat awal waktu. Banyak alasan meninggalkan solat. Banyak alasan untuk melakukan kebaikan. Banyak alasan untuk memberi ihsan. Malah, kita masih banyak alasan ketika mana kita mahu bertaubat memohon ampun daripada Allah SWT. Sentap? Silakan.

Saya sendiri pun sentap dengan tulisan sendiri.

Berapa ramai daripada kita apabila memohon ampun daripada Allah SWT dan bertaubat kepada-Nya, tetapi masih tetap juga mencari perhatian manusia? Kenapa tidak kita bertindak dan berkelakuan seperti biasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dan melakukan perubahan, yang mana kita lebih tahu dosa apa yang telah kita lakukan. Tetapi, ya ada tetapi. Tetapi, kenapa perlu untuk kita merintih bahawa Allah SWT tidak mengampuni kita? Sedangkan kita tahu Allah SWT itu Maha Pengampun kepada seluruh hamba-Nya yang benar-benar ingin bertaubat.

Firman Allah SWT,

“Katakanlah, ‘wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada tuhanmu, dan patuhlah kamu kepadaNya sebelum tiba seksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan” (Surah az-Zumar : Ayat 53-54)

Kawan.. Mari sini. *pegang bahu kamu*

Saya, dia, mereka, kalian dan kamu adalah mereka yang pernah dan sentiasa berbuat dosa. Dosa besar dan kecil sahaja bezanya, namun tetap sahaja namanya itu adalah dosa. Cuba fikirkan, apakah kita yang berbuat dosa ini tidak layak mendapat ampunan daripada Allah SWT sedangkan Dia sendiri mengatakan bahawa Dia itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani?

Allah SWT tidak akan menolak seorang hamba yang datang kepada-Nya dengan penuh penyesalan. Malah, tidak keterlaluan kalau kita diberitahu bahawa Allah SWT tidak pernah jemu untuk menerima taubat seorang hamba walau berkali-kali kita melanggar janji kepada-Nya. Kerana apa?

Kerana Maha Mengasihinya Allah SWT itu, wahai kawan.

Tetapi kitalah, kitalah yang sebenarnya selalu sahaja mengambil kesempatan atas sifat penyayang Allah SWT itu dan meletakkan dosa-dosa kita kepada-Nya. “Opsss! Apa ni, Suhana? Kenapa cakap macam ni?” Baik, silakan bertenang. Biar saya jelaskan. Kenapa saya kata sedemikian? Kerana kita mengambil kesempatan atas nama taubat kita dan sifat pemurah Allah SWT, kita merasa jemu dengan taubat kita lalu kita cuba meletakkan salah kepada Allah SWT dan mengatakan bahawa Dia tidak akan menerima taubat kita dan kita kembali kepada diri kita yang selalu melakukan dosa dahulu.

Kita sehingga menjadi lupa bagaimana perasaan kita supaya diampuni oleh Allah SWT ketika mula-mula bertaubat dulu. Kita tinggalkan semua ketenangan hati yang kita rasai pada masa itu. Ibaratnya, kita sedang membunuh diri sendiri.

Allah SWT Tidak Zalim Terhadap Kita

Kita ini, ya Allah.. Kalau difikir-fikirkan semula, apalah sangat amalan yang akan kita bawa untuk ditunjukkan kepada Allah SWT. Apalah sangat kebaikan yang telah kita lakukan untuk menenggelamkan dosa-dosa yang pernah kita buat sepanjang hayat ini? Amalan kita koyak di sana sini. Ibadah kita rompang di situ dan di sana.

Cukupkah sebenarnya?

Manusia itu, selalu take for granted atau selalu ambil kesempatan terhadap suatu keadaan atau kebaikan yang ada di sekeliling hidupnya. Termasuklah ambil kesempatan terhadap sifat yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih Allah SWT. Kita selalu beri alasan terhadap diri sendiri. Hari ini kita buat dosa, esok-esok nanti kita bertaubat, nanti Allah SWT ampunkanlah. Dan begitulah berterusan sejak sekian lamanya. Tetapi kita terlupa, bahawa mati itu kita tidak ketahui bila datangnya.

Dan kita terlupa, bahawa Allah SWT tidak boleh ditipu oleh kita sebenarnya.

Bila tiba masanya nanti Allah SWT hendak beri pengajaran kepada kita, maka itu bukanlah tanda bahawa Allah SWT itu zalim kepada kita. Melainkan, semuanya adalah kerana angkara tangan-tangan kita sendiri yang tidak kasih dan cinta kepada diri sendiri.

Bertaubatlah Tanpa Jemu

Seseorang pernah menasihatkan saya, “Kita pergi ke sebuah restoran, dan dengan yakin kita pesan makanan yang kita nak makan. Dan dengan yakin juga makanan yang kita pesan itulah yang akan sampai kepada kita. Maka itu boleh disebut sebagai tawakkal.”

Saya tersenyum sebaris.

Eh kalian ini! Bukan hendak bayangkan situasi yang kawan saya katakan itu. Tetapi tengah membayangkan pula macam mana rupanya senyum sebaris itu. Sengih.

Sudah. Baiklah, serius. Saya faham apa maksud beliau sebenarnya. Dan saya masukkan kata-kata itu di sini. Biar kena pada konsep kita bertaubat kepada Allah SWT. Kita ini, kalau bertaubat, kena yakin dengan taubat kita serta kena yakin dengan sifat kemurahan Allah SWT. Apa yang perlu kita lakukan? Jadi baik, dan teruskan bertaubat. Lazimi taubat dengan kapasiti atau kemampuan kita.

Untuk hal-hal seperti persoalan adakah Allah SWT menerima taubat kita, itu jangan ditanyakan kepada manusia. Kerana manusia tidak tahu mengenai taubatmu. Dan manusia takkan pernah tahu tahap taubat kita bagaimana. Sudah diterima oleh Allah SWT atau belum? Tetapi terus-teruslah menjadi hamba Allah SWT. Sampai waktu kita merasakan ketenangan di dalam hati kita.

Semoga taubat itu sentiasa dilazimi oleh kita dan keturunan kita. Kerana kita mahu berhimpun semuanya di syurga Allah SWT.

Semoga, kawan.
Semoga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *