Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Bila Rasa Keikhlasan Itu Teruji

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Bila rasa keikhlasan itu teruji, bolehlah rasa macam nak ambil batu sebesar alam dan hempap atas kepala sendiri.

Bila rasa keikhlasan itu teruji, bolehlah rasa macam nak ambil batu sebesar alam dan hempap atas kepala sendiri.

Mungkin kita sering ingatkan kepada diri sendiri, bahawa dalam hidup ini kita berurusan dengan manusia dalam hal-hal mualamat yang ada. Dan berurusan dengan manusia itu boleh menjadi sesuatu yang misteri, dan sebenarnya agak tidak mudah di situ.

Kadang-kadang sebelum tidur malam, kita sudah tetapkan di minda bahawa kerana Allah Ta’ala, kita mahu mengikhlaskan diri untuk berbuat kebaikan – menolong orang lain memudahkan urusannya, belajar sungguh-sungguh dan tidak lalai dalam menuntut ilmu, berakhlak yang baik dengan sesiapa sahaja – lalu kita pejam mata kita dalam mati yang sementara. Semuanya kerana, hanya satu sahaja — ALLAh Ta’ala.

Dan apabila hidup pada keesokan harinya, segala niat yang kita sudah tanamkan semalam dan diniatkan semuanya keran ALLAh Ta’ala, kita lakukan sungguh-sungguh. Walaupun ada juga sesetengah perkara atau orang lain kurang senang dengan apa yang kita lakukan, kita masih tetap bertahan. Dan santai-santai sahaja, buat ‘rilek’ sudah.

Sehinggalah satu tahap, keikhlasan hati itu teruji.

Kerana Kau Perlu Memberi Lebih

Dan sehinggalah tiba saat waktu yang mana niat keikhlasan kita teruji, dan itu bukan sesuatu yang senang. Sangat menyakiti jiwa, tahu? Serasa, mahu saja mengambil batu sebesar-besar alam dan menghempapnya ke atas kepala sendiri. Dan bila kita tersedar yang kita dah pasang niat awal-awal, perlu lakukannya semua kerana ALLAh.

Dan bilamana kita memerlukan perisai SABAR.

Macam contoh paling mudah kehidupan kita sebagai seorang pelajar apabila diberi tugasan yang memerlukan untuk menjalankan dan menyiapkan tugasan dalam berkumpulan. Kalau ahli yang rajin dan sering memberi kerjasama, itu sangat cantik. Tapi, akuilah.. Wujud juga ahli yang hanya tahu goyang kaki dan hanya akan bertanya khabar, “Tugasan kita dah siap ke? Dah siap nanti bagitau aku, okey?. Nanti aku tolong hantar je.”

Saat itu, apa yang kamu rasa? Jujurlah.

Seriously, semua orang bekerja keras nak dapat carry mark yang bagus dan siapkan tugasan dengan berjayanya, tapi ada ahli kumpulan yang buat tak tahu. Apakah?

Niat yang kita tanam dalam jiwa untuk buat tugasan kerana ALLAh Ta’ala, akan tergugah. Rasa sakit hati, mungkin. Rasa sakit jiwa macam nak drop sahaja nama dia dari dalam kumpulan pun ada, kan? Rasa perasaan camni, “Aku nak drop nama kau. Biar kau tahu!”

Atau pun apabila berhadapan dengan seseorang yang sentiasa mencari-cari kesalahan dan kelemahan orang lain walaupun orang lain tidak berbuat apa-apa yang tidak baik kepadanya. Apa sahaja tingkah kita, maka akan dicarinya yang buruk-buruk sahaja. Sudah begitu, difitnah pula dibelakang. Kita akn rasa apa, sakit hati? Sedih?

Tapi sebenarnya berbalik kepada diri kita sendiri.
Dan niat yang kita telah tanam dalam jiwa tu. *tunjuk kat dada

Kenapa berlaku demikian? Kenapa kita berada dalam situasi yang sangat-sangat menguji keikhlasan dan kesabaran? Kenapa bila kita dah pasang niat baik, baru nak muncul segala ujian bagai? Kenapa tak muncul masa kita tak ambil endah tentang soal ikhlas dan sabar?

Pernah terfikir?
Pernah terfikir kenapa perlu berlaku seperti itu?

Sebab kita perlu MEMBERI lebih BANYAK!

Saat diuji dengan perkara-perkara yang menggugah keikhasan itulah saat kita nak tengok sejauh mana apa yang kita niatkan kerana ALLAh Ta’ala. Sejauh mana kita mempertahankan rasa-rasa dijiwa yang telah diniatkan untuk meraih redha ALLAh Ta’ala.

Mungkin saja ALLAh Ta’ala sengaja menguji kita berhadapan dengan rakan sekumpulan yang begitu, dan berhadapan pula dengan orang yang begini — adalah disebabkan kita ini kurang MEMBERI sebenarnya. Kita hanya banyak menerima, namun sesekali tidak pernah untuk melebihkan dalam memberi untuk apa jua perkara pun.

Mana mungkin ada sesuatu yang besar mahu dicapai, tanpa menuntut pengorbanan yang besar, kan? Kita semua mengakui hakikat itu. Mahu mencapai kejayaan yang besar, maka banyak dan besar juga pengorbanan yang diperlukan!

Memberi Sehingga Merasa Kemanisan

Bila tilik-tilik kembali hati kita ini, ya hati ini. Rupanya hati kita ini, fizikal kita ini, masih merasa sangat selesa dari mujahadah (perjuangan) untuk memperolehi rasa ikhlas yang diterjemahkan ke dalam perbuatan dan tingkah kita sehari-harian.

Bila kita memberi, dan kita belum merasa apa-apa, maka kita sebenarnya belum bertemu dengan suatu rasa yang kita sebut sebagai, “lillahi ta’ala.” Bila kita memberi, dan kita masih mengungkit-ungkit hatta dalam hati sekalipun, maka jauh sekali rasa ikhlas itu akan menjadi penghuni jiwa. Apatah lagi kita menjadi seorang yang ikhlas.

Mungkin kita perlu belajar banyak mengenai memberi sebanyak-banyaknya, sebab itu erti hidup ini ialah pada memberi kan? Bila kita semakin banyak memberi dan memberi, secara tak langsungnya rasa kerendahan hati itu akan kita pelajari.

Kita akan belajar erti rasa cukup dalam kehidupan.
Kita akan belajar erti rasa mengasihi sesama makhluk sekalian.

Dan bila sampai waktu kita rasa asyik dalam memberi banyak dalam bentuk apapun, maka disaat itulah kita akan merasa kemanisan keikhlasan — jiwa ini hanya untuk ALLAh Ta’ala.

Memang benar, ikhlas itu adalah rahsia antara hamba dengan Dia – Mutlak.

Tapi kita sering terlupa, bahawa rasa ikhlas itu bukan datang dengan sendirinya. Tapi hadirnya ikhlas itu adalah hasil dari latihan dan mujahadah dalam diri seseorang untuk melatih dirinya erti rasa cukup dan erti rasa kekurangan dalam kehidupan.

Akan ada waktunya, keikhlasan dan kesabaran akan bergelut dalam diri. Kita akan teruji dengan perkara-perkara dahsyat yang kita takkan pernah terbayangkan sekarang ini, kita akan teruji dengan perkara-perkara yang kita tidak pernah sangka-sangka pun.

Saat itu, barulah kita tahu akan kebergantungan kita kepada ALLAh Ta’ala.

Hidup ini hanya bererti apabila kita ikhlas memaknai erti hidup dengan memberi. Kerana apa yang kita beri itu, itulah bahagian kita sebenarnya. Dan kita di dunia ini, tidak ALLAh Ta’ala ciptakan untuk hidup selesa sahaja. Tidak ALLAh ciptakan untuk main-main sahaja.

Mendidik hati untuk ikhlas itu memang tidak senang,
tapi bukankah ALLAh telah memberi jalan?

Persetankan halangan yang mendatang,
tapi tetaplah pada niat yang telah ditatang.
Ujian itu bukannya halangan,
melainkan satu latihan.

Untuk menjadi tegar dalam beramal,
perlu seiring niat dan amal,
agar tiada hisab dihari kemudian,
diri akan gembira dalam dakapan Tuhan!

Semoga ALLAh merahmati.

2 Comments

  1. Pelangi says:

    memang sedih bila apa yg kita usahakan tak dihargai tapi kita harus terus dan terus memberi sehingga akan hadir satu perasaan ‘halus’ di hati mereka yang menerima itu. nawaitu lillahita’ala 🙂

    [Balas Komen]

  2. ikhwana (k wana) says:

    Benar dik, bila kita niat barulah kita rasa ujian… segalanya kita bergantung kpd Allah dan juga kita sandarkan kpd Allah…

    Ikhlas itu umpama semut yang gelap berjalan di malam yang gelap di atas batu yang gelap..

    wallahualam..

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *