Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Bila Kebaikan Itu Rasa Tidak Bermakna

Bismillahirrahmaanirrahiim.

im_give

Subuh-subuh begini, dengan hujan renyai-renyai yang menghiasi cuaca, tiba-tiba terfikir tentang rasa tiada makna untuk menyampai dan mengajak kepada kebaikan.

Saya jadi terfikir, berapa lamakah tegarnya seseorang mengajak dan menyampaikan kebaikan dalam kesabaran? Kalaulah hanya ganjaran dunia yang didambakan semata, maka pastilah dia akan berputus asa dengan mudah.

Dalam jiwa manusia itu, apabila dia melakukan sesuatu yang tidak melanggar moral dan melampaui batas-batas syariah dalam agama, ada satu kebahagiaan didalam jiwanya. Bukanlah sesuatu perbuatan itu adalah kerana mahu menginginkan pujian manusia, jauh sekali untuk mendapat sanjungan segala.

Dan sudah menjadi fitrah seorang manusia, apabila melakukan satu kebaikan, maka dia akan mengajak orang lain juga untuk melakukan kebaikan. Walaupun kebaikan yang dilakukan itu tidak serupa, kerana kebaikan itu sendiri adalah pelbagai yang tiada had.

Tapi bagaimanakah jika semangat kebaikan itu tidak bersahut?
Akan jemukah hati? Akan putus asakah jiwa?

Kadang-Kadang Manusia Terlupa

Ada masanya jiwa akan berkobar-kobar berkongsi mengenai kebaikan, ada rasa semangat yang luar biasa berkongsi sirah-sirah para anbiya’, ada keinginan yang besar melihat orang-orang yang disayangi mendekat kepada kebaikan.

Betul. Niat itu murni. Sangat.

Tapi bila berhadapan dengan manusia, sudah tentu pelbagai ragam yang ada. Dan sudah semestinya, pasti ada yang menerima, dan pastilah ada yang akan menolak atau tidak mengendahkan ajakan kita. Untung-untung sahaja kalau ajakan itu disambut dengan kebaikan. Tapi bagaimana jika ajakan itu disambut dengan kedinginan dan cacian? Agak-agak apa rasa hati itu?

Kecewa? Putus asa? Berhenti dari mengajak manusia?
Apa pilihan anda?

Sudahlah, kawan. Jangan dilayan perasaan yang singgah dijiwa. Nanti jadi racun yang tidak terlihat dek mata, tapi membunuh hati, seterusnya mempengaruhi semangat untuk menjalani kehidupan. Teruslah melangkah sampaikan kebaikan.

Kadang-kadang terasa lemah, dan rasa tidak bermakna untuk menyampai dan mengajak kepada kebaikan, kerana merasa tidak mampu mengubah apa-apa. Sedangkan perubahan itu sebenarnya bukanlah sekejap cuma, tapi kadang-kadang memakan masa yang bertahun-tahun lamanya. Tidak berlaku dalam sekelip mata sahaja!

Sebenarnya, ada masa manusia lupa untuk bersabar.
..lupa untuk bersabar.

Terus dan teruslah memberi kebaikan. Meskipun dibalas dengan kejahatan.
Bukan redha manusia jadi dambaan. Tapi redha Tuhan sebagai ganjaran.

Apabila kau mendapat redha Tuhan,
maka itu lebih berharga dari dunia dan segala isi di dalamnya.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *