Berubah : Kenapa Aku Rasa Lebih Teruk

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Tiada siapa pernah menjanjikan bahawa perubahan itu begitu mudah~

Perubahan. Berubah. Perubahan. Berubah.

Siapa yang tidak mahu melakukan perubahan? Semua orang ingin berubah. Hatta seseorang itu sejahat mana pun, pasti pernah terdetik dihatinya untuk melakukan perubahan. Sekurang-kurang sedikit. Berubah untuk menjadi baik.

Di luar sana, saya sangat percaya pasti ada orang yang sedang semangat membara untuk melakukan transformasi diri. Mahu perbaiki itu dan ini.

Sudah merancang begitu dan begini. Semangat dikepilkan di dada. Lalu perubahan sedikit demi sedikit dilakukan mengikut kemampuan diri.

Dan tiba-tiba, dalam proses melakukan perubahan, perjalanan hidup bertemu dengan sesuatu perkara yang agak membuntukan jiwa. Akhirnya semangat perubahan yang membara itu, sedikit demi sedikit terpadam. Hilang dan terbang entah ke mana. Diri menyesali keadaan sendiri, tapi hanya mampu membiarkan semuanya berlalu.

Pernah merasa hal yang sedemikian?

Perubahan Yang Ghaib

Kadang kala, kita memang tekad melakukan perubahan. Niat hanya satu; mahu berubah demi meraih redha-Nya. Tapi sering kali dalam titian menuju perubahan itu, kita tergelincir. Akhirnya, terleka apabila sudah terjatuh. Hanya, berhenti setakat di situ.

Dan ada masanya, kita sudah melakukan perubahan. Tetapi perubahan yang baik itu pula tiba-tiba digantikan dengan keburukan yang lalu. Ada sahaja mulut-mulut manusia yang dengki yang akan mengungkit dan tidak senang dengan perubahan pada diri.

Dan akhirnya, semuanya benar-benar hilang.

Kita merasakan diri lebih teruk dari sebelumnya. Oleh kerana merasa tidak punya kekuatan untuk melakukan perubahan, maka kita lebih rela mengikut arus zaman yang sememangnya bertentang dengan keinginan jiwa yang mahu kepada kebaikan.

Apa yang terjadi pada diri kita sebenarnya?

Iman Yang Turun Naik

Di mana iman yang tadi sedang menaik.
Dan menurun dengan mendadak secara tiba-tiba?

Memang benar iman itu ada waktu turun dan naiknya. Waktu naiknya adalah ketika kita melakukan sesuatu yang berkaitan dengan hal mendekatkan diri kepada ALLAh Ta’ala. Dan iman akan menurun apabila kita melakukan sesuatu yang menyebabkan kita jauh dari ALLAh Ta’ala. Kerana, sumber kekuatan iman itu ada pada Dia!

Dimanakah silapnya pada tindakan kita?

Berubah ke arah kebaikan memang digalakkan dalam Islam. Apatah lagi perubahan itu adalah penghijrahan kepada seseorang yang ingin menjadi hamba ALLAh Ta’ala yang lebih baik. Tetapi, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk berubah secara drastik.

Islam menganjurkan kesederhanaan; wasatiyyah!

Berubah. Perubahan biarlah dilakukan secara berperingkat-peringkat atau perlahan-lahan. Dan itu tidaklah menjadi tiket untuk kita tetap melakukan perkara-perkara yang kurang baik. Berubah secara perlahan-lahan. Dalam masa yang sama, menyental karat jahiliyyah dalam diri. Perlahan tapi istiqamah itu lagi baik.

Dan memang perubahan tidak pernah mudah. Bukan mudah mahu menggantikan tabiat yang lama dengan tabiat yang baru. Yang belum menjadi sebahagian daripada diri berbanding tabiat yang lama. Tapi berusahalah. Hanya orang yang berusaha yang sentiasa menemukan jalan selamat baginya.

Cuba, gantikan sesuatu yang kita suka tonton, tengok, lakukan dan cakap dengan sesuatu yang mendekatkan diri kita kepada ALLAh Ta’ala.

Berubah mendekatkan diri kepada ALLAh Ta’ala bukan bererti meninggalkan dunia dan segala keseronokan diwaktu alam remaja. Islam tidaklah begitu ‘kencang’ sehingga mengekang fitrah manusia yang sukakan kepada benda-benda hiburan yang menyenangkan hati. Dan membungakan jiwa.

Berubahlah, hanya kerana redha ALLAh.
Berubahlah, kerana kau memang perlu berubah.
Berubahlah, kerana memang inilah masanya kau untuk berubah.

Langkah demi langkah. Perlahan-lahan. Dan istiqamah.

Kita lebih kenal diri kita masing-masing bagaimana. Maka, kuncinya adalah diri kita sendiri. Biarlah sikit tapi berterusan, amalan begitu lebih ALLAh Ta’ala sukai!

Untuk diriku,
dan diri kamu serta kamu.

Semoga ALLAh merahmati.

14 thoughts on “Berubah : Kenapa Aku Rasa Lebih Teruk

  1. Perubahan itu, harus istiqamah. Biar perlahan, tapi berterusan.
    Semoga kekuatan dari Tuan Punya Dunia sentiasa bersama.

    :’)

      (Quote)

  2. Itulah hakikat kejadian manusia. Di dunia, manusia diuji dengan iman yang sentiasa berubah. Bila menang ujian ini, di akhirat adalah balasannya yang amat membahagiakan. Tiada lagi ujian.

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *