Bertuhan Itu Tiada Tempoh

Assalamu’alaikum w.b.t

allahu_akbar_by_black_and_silver-d5d5f8v
Allah itu adalah sumber kekuatan. Kita menjauh, kita jatuh. Credit to : http://black-and-silver.deviantart.com/

Bila sebenarnya kita sedar bahawa hidup kita ini perlu bertuhan? Bila kita mulai sedar bahawa setiap apa yang kita lakukan, kita kena fikir keredhaan Tuhan? Dan sejak bila kita mulai sedar bahawa diri kita ini bukan milik kita sepenuhnya, melainkan hanya dipinjamkan roh dan jasad untuk kita jalankan amanah dari Tuhan? Pertanyaan-pertanyaan ini untuk diri kita khasnya.

Ada yang sedar hakikat bertuhan ketika umur menginjak belasan tahun. Ada juga yang sedar hakikat kehidupan bertuhan ketika umur sudah senja. Itu kita tidak akan persoalkan. Kerana hidayat dan taufiq yang boleh diberikan mutlak oleh Allah SWT sahaja. Satu kesyukuran yang sangat besar apabila kita merasa indahnya hidup bertuhankan Allah SWT.

Namun cuba tanya diri kita, bagaimana keadaan iman kita dalam hidup ini?

Hidup Yang Selalu Menyimpang

Namun dalam kehidupan ini, bukan sekali kita pernah terbabas, malahan berkali-kali. Terbabas apa? Terbabas daripada sentiasa mengingati bahawa kita ini sebenarnya hanyalah hamba Allah SWT. Dan kita wajib mengingati Dia dalam setiap saat kehidupan kita.

Kita ini, kadang-kadang kerana terlalu terpesona dengan keindahan dunia dan kejayaan serta sibuknya kehidupan, kita terasa bahawa hidup kita hanyalah berfungsi untuk memenuhi tuntutan dan pandangan manusia semata-mata. Sehingga kita lupa kepada Allah SWT. Siapa-siapa pun mungkin pernah berada dalam situasi yang sebegini. Mengejar kejayaan di dunia itu tidak salah, malah Allah SWT menyuruh para hamba-Nya untuk menjadi seseorang yang selalu berusaha. Dan hanya orang-orang yang berusahaja sahaja akan merasai kejayaan.

Namun kerana kelemahan diri kita, kita menjadi seperti membelakangkan Allah SWT. Kita mengejar dunia, sehingga kita terlupa bahawa mengejar redha Allah SWT itu yang utama. Nama sahaja kita berada dalam agama yang mengesakan Tuhan, tetapi jiwa kita tidak bertuhan.

Nah! Salah siapa? Salah kita sebenarnya.

Bertuhan On dan Off

Hari ini bila kita rasa kita mahu jadi baik, kita terus menjadi hamba Allah SWT yang paling baik. Solat di awal waktu. Bersedekah. Memperbanyakkan amalan kebaikan di sana sini. Pendek kata, kita bersungguh-sungguh kerana Allah SWT. Tapi lain pula cerita bila kita terasa malas untuk mengerjakan apa yang Allah SWT perintahkan. Solat kita ambil endah tidak endah, amalan lain apatah lagi. Kebaikan-kebaikan lain pula hanya menjadi tayangan di mata manusia.

Kenapa?

Sebab sebenarnya kita ikut kata hati kita. Kita terus kalah kepada nafsu kita. Hari ini bila kita rasa kita mahu bertuhan, maka kita buat apa yang Allah SWT suruh. Hari esok bila kita rasa kita malas nak bertuhan, maka kita tinggalkan segala amalan iaitu perintah dari Allah SWT. Astaghfirullah.

Kita menipu diri sendiri. Kita berdusta kepada Allah SWT.

Kita sedar hakikat perbuatan kita, namun kita tetap dengan kedegilan kita. Kita menuruti nafsu jahat yang ada dalam diri kita yang sepatutnya kitalah yang menundukkan nafsu itu. Tetapi kita malah menurut kemahuan tersebut dan mahu membohongi Allah SWT? Firman Allah SWT,

“Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa. Dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya kemudian dia tetap menyombongkan diri seakan-akan dia tidak mendengarnya..” (Surah al-Jatsiyah : Ayat 7)

Kita semua sama, ada salah dan silapnya dalam kehidupan. Malah bukan sekali dua kita membuat kesilapan. Banyak kali. Saya ulangi, banyak kali! Tapi, bukankah kita ada Allah SWT, tuhan untuk didatangi bila-bila masa kita berdosa. Dan tanpa teragak-agak, kita mohon ampun dari-Nya?

Hidup Ini Bukan Sekadar Ikut Suka

Hidup ini bukan main-main. Kalau kita rasa nak beribadat, kita beribadat. Kalau kita rasa tak nak beribadat, kita tidak akan buat. Allah SWT bukanlah boleh ditipu. Tapi hakikatnya, kitalah yang menipu diri kita sendiri. Kita menyangka bahawa kita dapat memperdaya Allah SWT dengan permainan kita, yang mana hari ini kita bertuhan, esok lusa kita bercuti daripada bertuhan. Perbuatan yang sedemikian hanya sia-sia sahaja, kawan.

Sayangnya Allah SWT kepada kita, wahai kawan wahai sahabat. Sehingga hari ini, walaupun kita ini selalu culas dan curang kepada kasih-sayang Allah SWT, Dia masih tetap melindungi kita daripada keaiban kita. Dia masih memberikan kita nikmat untuk hidup dan membuka mata setiap hari. Dia masih berlembut dengan kita, memberikan kita peluang. Apakah kita menyedari semua hal tersebut? Atau kita menyedari tetapi masih ego untuk menundukkan diri yang penuh dosa?

Bak kata seorang sahabat saya, “Kalau nak hidup sekadar suka-suka atau ikut suka hati, silalah menjadi tuhan kepada diri sendiri. Tengok sampai mana bertahan. Sebab orang yang bertuhankan Allah SWT, akan sentiasa sedar diri dia tidak punya apa-apa.” Pedas kata-kata sahabat saya itu.

Ingat, kawan. Allah SWT tidak dapat kita memperdayakan. Tetapi sebenarnya, diri kita sendirilah yang terpedaya. Perangai ego dalam diri akan menghinakan diri sendiri. Kadang-kadang ada yang memberi alasan. Tidak mahu beramal lebih sebab tidak mahu nanti dianggap riyak.

“Meninggalkan perkara sunnah kerana takut orang melihat, adalah tanda-tanda kepada sifat riyak.” (Imam Fudhail ibn Iyadh)

Allah SWT telah memberikan kepada kita nikmat terbesar untuk mengenali Allah SWT itu sebagai Tuhan kita. Dunia sebagai persinggahan kita, dan syurga adalah tempat tinggal kita. Maka, manakah lagi yang perlu kita dustakan? Perbanyakkanlah menyalahkan diri sendiri dan sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT. Kita ini bukan maksum, setiap hari ada sahaja dosa yang kita tambah. Pahala pula tidak banyak yang ditimba. Jadi, lagi mahu mendabik dada?

Kita semua sahaja sebenarnya. Tetapi yang membezakan diantara dua orang itu adalah bagaimana amalannya kepada Tuhan. Bagaimana kehidupannya yang dijalani ikhlas kerana Allah SWT. Dan akhirnya sekali, bagaimana pula amalan diri kita kepada Allah SWT?

Jeda.
Sepi.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *