Bertafakur Tentang Ciptaan dan Keagungan-Nya

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Akan terasa kekerdilan diri sendiri dan Kebesaran ALLAh Ta'ala pada dirinya bagi orang yang berfikir~

Guru saya kata, mentadabburi alam melembutkan jiwa. Betul?

Melihat kebesaran ALLAh Ta’ala pada setiap ciptaan-Nya boleh menyingkap rahsia kelemahan dan kekerdilan diri di sisi Tuan Punya Dunia. Apabila seseorang itu berfikir akan kekerdilannya, hakikat penciptaan dirinya sebagai manusia yang ALLAh Ta’ala benarkan singgah sementara di dunia, maka secara semulajadinya akan timbul di benaknya untuk melihat saudara-saudara seakidah atau pun sedarah turut merasai perkara yang sama agar dapat sama-sama berpimpin tangan menuju-Nya.

Kuncinya, mengenal ALLAh Ta’ala melalui ciptaan-Nya.

Nah, sebelum mahu melihat orang lain turut merasai hal yang sama, maka diri sendiri perlu lebih mengenal Tuhannya, apa tujuannya dan atas keperluan apa dia mahu melihat manusia lain untuk mengenal Tuhan. Diantara caranya adalah melihat diri pada alam ciptaan ALLAh ini. Bertafakur pada ciptaan ALLAh dan keagungan-Nya.

Bukankah setiap apa yang dibumi, terkandung tanda Kebesaran Tuan Punya Dunia?

Pada Alam Itu Ada Tanda Keagungan-Nya

Saya masih ingat kata-kata Guru Sains saya, “Kamu jangan fikir banyak mahu fikir tentang keagungan Tuhan. Cuba fikir satu-satu apa yang ada di alam ini dan hayatinya..”

Saya ini, boleh dikatakan antara pelajar yang akan termenguap dalam kelas sains. Terasa subjek itu tidak seronok seperti subjek sejarah. Sehinggalah satu hari bagaimana guru sains saya itu menceritakan kebesaran ALLAh Ta’ala melalui ciptaan-Nya; bintang-bintang, molekul dan atom, jarak antara bintang-bintang, pertukaran malam dan siang. Dan semuanya itu berada dalam orbitnya masing-masing.

Seakan-akan saya tersihir pada hari itu. *sengih*

Bukankah banyak firman ALLAh didalam alQuran menyeru manusia untuk berfikir?

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat ALLAh) bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAh…” – aali ‘Imran : 190

ALLAh berfirman lagi,

“..Perhatikan dan fikirkanlah tentang apa yang ada di langit dan bumi (daripada segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan ALLAh dan kekuasaan-Nya).” – Yunus : 101

Sungguh, kalau mahu memikirkan tentang kebesaran ALLAh yang ada pada alam semesta ini, sudah tentulah otak kita tidak boleh menggarap kesemuanya. Cukup melihat pada apa yang kita biasa dengannya. Contohnya sebagai bumi, matahari dan planet-planet lain. Matahari saiznya sahaja sudah 1.25 juta kali ganda saiz bumi. Walhal, kita berada di planet yang bernama bumi kita sudah merasa ianya besar. Dan, ada pula bintang-bintang dengan izin ALLAh Ta’ala yang saiznya lebih besar dari matahari. Subhanallah.

Menakjubkan apabila kesemuanya tidak berlanggar dan tetap pada putaran orbitnya.
Nah, adakah semuanya terjadi dengan sendiri? Mustahil. Tentu ada empunya!

Maka hayati kalam ini,

“Dan langit itu, Kami dirikannya dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Sesungguhnya Kami mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga. Dan bumi pula, Kami hamparkannya (untuk kemudahan kamu mendiaminya). Maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya.” – az Zariyat : 47-48

MashaAllah. Tabaarakallah.

Berfikirlah Walau Sejenak

Tidak rugi untuk diam dan berfikir sejenak. Paling dekat berfikir mengenai kejadian diri kita. Ibu bapa kita sendiri memulai bahtera cinta. Dan dengan bahtera itu lahirlah kita sebagai anaknya. Bagaimana mungkin orang yang berfikir tidak merasa apa-apa ketika memikirkan kejadian manusia itu sedari awal sebelum terbentuknya daging-daging yang menyeliputi tulang-temulang? Antara berjuta-juta sel sperma yang dikeluarkan oleh ayah kita, kita yang telah terpilih oleh ALLAh Ta’ala untuk diberikan nyawa.

Bukankah itu menimbulkan keinsafan? *tertunduk*
Jangan menjadi orang yang rugi dan ALLAh cela didalam alQura mengenai manusia yang langsung tidak berfikir mengenai kebesaran ALLAh walaupun tanda-tanda itu ada didepan mata mereka, ada pada bisikan deria pendengaran mereka. MashaAllah.

“..Kami telah jadikan untuk neraka jahannam itu ramai daripada kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati yang mereka tidak mahu memahami dengannya (akan ayat-ayat ALLAh). Mereka mempunyai mata, yang mereka tidak mahu melihat dengannya (akan bukti-bukti keesaan ALLAh). Mereka mempunyai telinga yang mereka tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak. Bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” – al A’araf : 179

“Betapa banyak tanda-tanda (tentang ALLAh) di langit dan bumi, yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” – Yusuf : 105

Berfikirlah. Semoga kita tidak termasuk orang-orang yang lalai.
InshaAllahu Ta’ala~

Saya suka melihat bintang-bintang di langit. Saya tidak akan jemu memandang langit diwaktu malam walaupun bintang-bintang itu tidak tersenyum kembali pada saya. Cukup saya tahu dan yakin, bahawa Pencipta bintang itu sedang melihat saya di bawah ini. Kerlipan bintang itu sudah cukup menggembirakan saya, inshaAllah.

*senyumbahagia*

Psssst! Sains sebenarnya, menyeru manusia kepada iman.
Mata sudah terbuka. Tinggal saja kita mahu membuka jiwa.

Semoga ALLAh merahmati.

5 thoughts on “Bertafakur Tentang Ciptaan dan Keagungan-Nya

  1. sebab tu la sepatutnya pelajar aliran sains,penyelidik,doktor2 menjadi lebih beriman berbanding masyarakat kebanyakan

      (Quote)

  2. Assalamua’laikum warahmtullaahi wabarakaatuh.

    Allah swt menciptakan otak pada manusia adalah bertujuan untuk berpikir tentang kebesaranya. Bahkan dalam alquran Allah berfiman ” bahwasanya dalam penciptaan langit dan bumi juga silih bergantinya antara siang dan malam adalah suatu pertanda kebesaran allah bagi orang-orang yang berpikir.

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *