Bersyukur Dengan Nikmat Seadanya

Bismillahirrahmaanirrahiim.

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkaan kepada kamu), tiadalah kamu dapat menghitungnya satu persatu…” – an Nahl : 18

Hidup dalam peredaran zaman yang menuntut manusia untuk sentiasa ‘up-to-date’, sering menggoda jiwa dan fikiran kita supaya sentiasa mahu merasa lebih atau setidak-tidaknya setanding dengan orang di sekeliling.

Kita tidak pernah merasa puas dengan apa yang kita ada kerana jiwa dan fikiran kita sentiasa melihat kelebihan orang lain. Orang lain itu begini, untungnya dia. Orang lain itu begitu, untunglah dia. Kita tidak lagi berminat untuk menjadi diri sendiri. Sebaliknya, sentiasa mengikut arus mood orang lain.

Perasaan serba kekurangan pada diri menyebabkan jiwa tidak damai dan tenang!

Nikmat Yang Kabur Pada Mata

Kita jarang sekali cuba menghitung nikmat-nikmat ALLAh Ta’ala kepada kita. Apa yang kita sering hitung adalah apa yang bukan milik kita. Kita tidak memberi kesempatan kepada diri sendiri untuk menghargai apa yang telah dianugerahkan dalam hidup ini. Apa jua yang kita tidak perolehi sering kita ungkit-ungkit. Sedangkan apa saja yang ada pada kita yang mungkin tiada pada orang lain, tidak pernah kita hitung dan hargai.

Agak buruk perangai di situ. Kan?

Sebenarnya, kedamaian jiwa akan kita perolehi apabila kita cuba untuk bersyukur dan merasa puas dan berbangga dengan apa sahaja nikmat yang ALLAh Ta’ala berikan kepada kita walaupun sedikit.

Sebagai contoh, kesihatan kita. Alangkah indahnya bila kita cuba berusaha untuk menghargai nikmat kesihatan dengan jasad ini dikerah untuk mengerjakan perintah ALLAh Ta’ala. Kerana, di luar sana, ada orang yang terlantar di katil melalui hari-hari dengan kesakitan. Menanti ketentuan ALLAh Ta’ala.

Ada orang, yang merintih dan merungut kerana rupa paras tidak cantik jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang ada di sekelilingnya. Tapi cubalah berfikir, di luar sana ada orang lain yang lebih buruk rupa paras dan tidak sempurna tubuh badan mereka akibat kecacatan semulajadi atau akibat kemalangan.

Jiwa hanya akan menjadi tenang apabila dalam hidup ini,
kita tidak bandingkan diri dengan orang lain,
jika itu hanya mendatangkan sifat kufur.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *