Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Bersahaja Dengan yang Namanya Kritikan

Bismillah.

critism

Kita ni manusia.

Walau positif macam mana pun kita ini orangnya, kalau ada kritikan yang sangat tajam menghina dan tidak berasas, terasa jugalah hati kecil kita. Kita akan rasa macam, eh apa hak orang itu kritik dan menghina kita? Kalau apa yang dia cakapkan itu betul, tidak mengapalah juga. Ini, hanyalah sekadar kritikan penghinaan dan mungkin kebencian.

Boleh jadi tergugahlah juga kesabaran kita yang tipis ini.

Tapi nanti dulu. Ambillah masa sejenak untuk berfikir mengenai banyak hal-hal kecil. Misalnya, berfikir tentang buat apa kita hendak tergugah dengan kritikan yang tidak membina yang kita tahu terang-terang hanya berlandaskan ketidakpuasan hati orang lain terhadap kita? Kerana saya percaya, orang yang memberi kritikan membina kepada seseorang yang lain, tidak disertai dengan rasa mahu pun pandangan kebencian.

Kritikan yang membina tidak akan memalukan seseorang yang lain dengan menyentuh perkara-perkara peribadi seseorang itu atau pun kelemahannya sebagai seorang manusia. Kritikan yang membina, adalah suatu pandangan dari seseorang kepada yang lain dengan tujuan membantu dan memberikan pendapatnya untuk memperbaiki suatu kelemahan atau pun perkara-perkara yang terlepas pandang. Dengan cara yang betul. Dan bukannya dengan cara menghina atau pun mengaibkan.

Jadi, bertenanglah dan teruskan membaca. 😀

Teruskan Sahaja Fokus

Bila ada orang yang mengkritik hasil kerja kita. Atau ada orang yang selalu tidak senang duduk dengan apa sahaja yang kita lakukan walhal, kita tidak pernah pun menyusahkan orang lain. Pertama-tama sekali, bertenanglah. Tenangkan diri sendiri.

Jangan risau tentang apa yang orang lain atau dunia ini katakan tentang diri kita. Kerana apa saya kata macam tu? Kerana dunia ini terisi dengan kewujudan manusia yang bermacam-macam. Ada yang perangainya seperti itu, ada yang perangainya seperti ini. Masing-masing mempunyai pandangan atau citarasa yang lain dan tidak sama.

Pun begitu, jangan langsung tidak memikirkan kritikan orang lain terhadap kita. Kerana kalau ada perkara dalam kritikan itu hal yang betul, dan perlu untuk kita baiki, maka ambillah kritikan itu sebagai nasihat atau dorongan. Ketepikan rasa tersinggung atau berkecil hati. Kerana dalam sisi yang lain, orang yang sihat mindanya dan posiitif serta jelas dengan kehidupannya pasti akan mengambil dan mengutip nasihat-nasihat kebaikan disepanjang perjalanan hidupnya. Begitulah sepatutnya.

Teruskan fokus dengan kerja kita.

Dalam banyak-banyak hal yang perlu kita lalui sepanjang berada di dunia, kebanyakannya adalah hal-hal yang berkaitan soal perasaan dan dengan manusia. Jadi, jangan lupa perkara ini. Apa yang penting, teruskan kerja dan sentiasa merendah hati.

Pada saat orang lain menghamburkan kata-kata yang pedih, dan pada saat kita merasa membara jiwa mendengar kata-kata tersebut, ingatlah syaitan itu sentiasa ada menanti untuk menjadi pendorong dan saksi pertelingkahan diantara manusia.

Tahu Keadaan Diri Sendiri

Saya pernah jumpa orang yang gembira menerima kritikan. Dan dia seseorang yang suka tanya pendapat atau nasihat orang lain tentang banyak hal. Kerana katanya, dengan cara itu sedikit sebanyak dia dapat memperbaiki hasil kerjanya dan tidak terperangkap dalam dunia syok sendiri. Dan yes! Dia ini seorang yang sentiasa cuba untuk positif.

Dan saya pernah jumpa juga orang yang cepat merasa hati atau bersedih dengan kritikan orang. Apatah lagi apabila kritikan itu bukanlah dengan penghayatan yang sebenar-benarnya kritikan. Tapi hanyalah sekadar pandangan kosong yang mahu menampakkan kehebatan diri semata-mata kerana tidak mahu orang lain melebihi dirinya.

Mestilah sakit untuk diterima, kan?

Perkara ini, saya terfikir-fikir juga ketika sedang memandu dalam perjalanan balik dari membeli kopi. Untuk sebuah nilaian dan pandangan yang tidak betul manusia terhadap diri kita, buat apa perlu kita bersedih hati? Buat apa mahu membuang masa dan memberikan ruang kepada rasa kesedihan itu didalam ruang perasaan?

Buat apa mahu bersedih hati, bila mana kita tahu tentang diri kita sendiri. Kita tahu tentang perkara yang diperkatakan itu terhadap diri kita adalah tidak betul. Malah kita tahu sebenarnya Allah SWT tahu yang sebenar-benarnya diri kita ini macam mana.

Apa yang penting pada diri kita adalah, sentiasa ada ruang untuk kita selalu memperbaiki diri. Tetapi sedaya upayalah jangan memberikan ruang untuk kita menzalimi diri kita.

Ambil Hikmah dan Pengajaran

Kita tahu? Zaman ini adalah zaman internet yang meluas. Internet itu bagaikan suatu kuasa tanpa batas. Semua orang boleh menggunakan internet dengan peranti yang mereka ada. Jadi apa maksudnya? Maksudnya semua orang boleh mengeluarkan pendapat atau komen sesuka hati mengenai sesuatu perkara. Justeru untuk hal ini, kita takkan dapat membuatkan orang lain diam. Atau kita takkan dapat halang mulut-mulut manusia atau tangan-tangan manusia. Manusia jadi bebas mahu berbicara!

Namun kita sentiasa ada pilihan.

Banyak perkara yang kita boleh ambil pengajaran dan hikmah dari apa yang berlaku di sekeliling kita. Termasuk dalam hal-hal kritikan yang membina atau kritikan yang hanya sekadar kritikan menjatuhkan. Kalau mahu bersedih juga, maka bersedihlah.

Tapi jangan lama-lama. Barang seminit dua tu, cukuplah.

Apa hikmah yang kita boleh ambil? Hikmahnya, kita kena merendah hati. Sebab kita sudah faham rasanya kesedihan dan kepedihan menerima kritikan seperti yang sudah disebutkan tadi. Bila kita pernah mengalami keadaan di mana orang bercakap macam-macam tentang diri kita, maka jangan diulangi perbuatan itu oleh kita kepada orang lain pula. Jangan menjadi perintis kepada generasi yang bebas memberikan komen tanpa pertimbangan yang rasional. Mohon hentikan budaya ini. Haha

Dan untuk diri saya, kalau ada diantara kalian yang mahu memberikan komen mengenai penulisan atau apapun, boleh saja. Tapi biarlah kita sama-sama berakhlak ya? Saya akan terima dengan hati terbuka. Dan teluslah dalam memberi kritikan atau pendapat.

Begitu lebih harmoni, dengan izin Tuhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *