Bersabarlah Dengan Dirimu

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit Picture : https://dawatussalafiyyah.wordpress.com Kita sedang mendidik diri. Kerana itu kita perlu besar dengan lebih. Diri kita ini, tanggungjawab kita.. Sabarlah, jangan membenci diri sendiri..
Credit Picture : https://dawatussalafiyyah.wordpress.com
Kita sedang mendidik diri. Kerana itu kita perlu besar dengan lebih. Diri kita ini, tanggungjawab kita.. Sabarlah, jangan membenci diri sendiri..

Pernah menjadi seseorang yang hidup dalam zaman jahiliyah sendiri, rasanya tidak semudah yang disangka. Apabila Allah Ta’ala sudi memilih kita untuk mengenal tempias tarbiah, kita akan menoleh ke belakang dan melihat betapa banyaknya masa yang telah terbuang oleh kita pada waktu dahulu. Dan sepatutnya rasa itu mendorong kita menjadi seseorang yang membantu orang lain untuk keluar dari zaman jahiliyah mereka.

Bila toleh kembali ke zaman-zaman yang penuh kelalaian, terasa sebak dijiwa. Banyaknya dosa. Banyaknya waktu terbuang begitu sahaja. Dan berapa tahun tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim terabai begitu sahaja. Allah.. Perit. Sungguh perit.

Pun begitu, kita sebenarnya sepanjang hayat ini masih tetap perlu berjuang untuk tidak terjerumus dengan hal-hal yang berkaitan dengan perkara-perkara yang lalai. Kerana orang Muslim yang sebenar-benarnya mengejar cinta Ilahi, bukanlah seseorang yang suka kepada hal-hal yang melalaikan. Apatah lagi berlama-lama dalam kelalaian tersebut.

Anda perlu percaya satu hal ini, syaitan banyak cara untuk menjatuhkan manusia.

Maka, dalam hal mendidik diri dan orang lain.. Kita perlu ada seni kesabaran. Sabar itu penting. Sabar juga boleh mengubah suatu keadaan. Percaya? Ya, saya percaya.

Dirimu Ada Hak Perlu Dipenuhi

Saya kenal dengan beberapa sosok manusia yang pernah meluahkan kekesalan mereka terhadap diri sendiri. Mereka merasakan, bahawa mereka sudah tidak layak untuk perkara-perkara kebaikan yang ada dalam dunia ini. Bahkan, mereka merasakan bahawa Allah Ta’ala pasti sudah tidak mahu memandang mereka ini. Saya terkelu lidah.

Perasaan menyesali diri sendiri itu bagus. Namun adakalanya menjadi sesuatu yang sangat buruk dan terkutuk sekiranya kita merasakan diri kita kurang bagus dan tidak baik, kita malah menjauhi perkara-perkara kebaikan dan memusuhi orang-orang baik yang ikhlas kerana Allah Ta’ala. Eh, adakah perkara seperti ini berlaku? Ada.

Kawan, ada beberapa perkara dalam dunia ini, yang memang bukan untuk kita. Maksud saya, mungkin dalam beberapa perkara itu, kita tidak diberi kelebihan untuk menjadi orang yang pandai dengannya, atau menjadi orang yang berurusan dengannya. Jadi, adakah kita perlu membenci perkara itu? No. Kita cuma perlu menjadi diri sendiri, dan buat sahaja perkara yang kita masih termampu dengan bersungguh-sungguh. Jika sebelum ini kita selalu buat maksiat, dan kita telah diberi kesedaran, maka jadilah kita seorang yang berusaha untuk menebus kesilapan-kesilapan kita. Buatlah perkara-perkara kebaikan yang kita boleh lakukan.

Jika kita berbuat dosa, maka ubatnya adalah kembali kepada Allah. Bertaubat kepada Allah. Itulah hak diri kita sendiri sebenarnya. Jangan mengatakan kepada diri kita bahawa kita tidak layak mendapat keampunan daripada Allah Ta’ala dan kita tenggelam dalam penyesalan tersebut lalu kita semakin menjauh dari Allah. Hey! Allah kasih terhadap orang-orang yang datang kepada-Nya walau dosa menggunung tinggi, tahu?!

Melarikan diri daripada Allah adalah satu bentuk penganiayaan terhadap diri kita.

Berlembutlah Kepada Jiwamu

Kita tidak sempurna, kawan. Bahkan kita tidak akan pernah sempurna. Maka, kekurangan itu sebati dengan diri kita. Tapi tidaklah kita menjadikan alasan kekurangan itu sebagai alasan untuk tidak memperbaiki diri. Bahkan kita sebenarnya perlu membaiki diri dari semasa ke semasa. Tapi, perlukah kita berkasar dengan jiwa sendiri?

Kita perlu menyediakan lebih banyak waktu berbicara dengan diri sendiri dan mengadukan kepada Allah Ta’ala. Disitu kita akan temui jawapannya. Saat berbicara dengan diri sendiri, adalah saat kita akan menemui jawapan yang jujur dari jiwa tanpa perlu berselindung dan bermuka-muka. Peruntukkan waktu untuk diri kita sendiri, ini perlu untuk memeriksa kembali keadaan jiwa kita. Biar kita tidak cepat selesa dengan keadaan jiwa yang kononnya sedang disentuh tarbiah. Bahkan, sepatutnya kita lebih kerap berdiskusi sendiri dengan jiwa kita.

Ada orang, tidak bersabar dengan diri sendiri dan menjadi seseorang yang murung dan tidak bergaul dengan orang-orang baik, malah menjauhkan diri daripada mereka. Hal ini kerana, dia merasakan dirinya tersangat hina dan tidak tahu bagaimana untuk memulakan langkah untuk menjadi seseorang yang baik pada pandangan Allah. Walhal, sebenarnya dia sedang menjauhkan diri sendiri darinya. Tidak mustahil hal ini berlaku. Sedih, kan?

Kenapa perlu mengkasari jiwa? Bukankah Allah berlembut dengan kita?

Teruslah Berubah Kerana Allah

To make this clear.. Jiwa kita akan lebih tenang sekiranya kita berubah dari kurang baik kepada seseorang yang mendahulukan Allah dalam hidupnya sentiasa sekiranya kita berubah mutlak kerana Allah. Titik! Bukan kerana manusia atau mahu dipandang baik oleh manusia. Kerana kalau itulah niat kita, maka kita akan selalu menemui jalan buntu untuk berubah sekiranya manusia yang memandang kita itu sudah tiada. Mudah bukan untuk memahami?

Kawan.. Di dunia ini, kita buat sesuatu kerana Allah, kita akan lebih tenang. Jika kita buat sesuatu kerana mahu meraih simpati dan penghargaan dari manusia semata-mata, jiwa kita akan berkecamuk dan cepat berputus asa.

Kita berada di zaman yang berlakunya macam-macam hal yang tidak kita sangka-sangka. Zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu. Bahaya zaman sekarang bukan hanya bahaya yang terlihat dek mata, malah bahaya yang tidak terzahir lebih banyak sebenarnya. Terpulang kepada anda untuk mentafsirkannya. Tapi saya pasti, anda akan bersetuju dengan apa yang saya tuliskan. Akuilah, zaman ini adalah zaman yang lebih mencabar. Wallahi.

Secara automatiknya, kesabaran itu perlu.

Kita tidak mahu kita menjadi seseorang yang hilang pedoman sesudah Allah berikan kesedaran. Walaupun ramai yang berkata bahawa semuanya di atas muka bumi ini adalah ujian, namun Allah bukanlah tidak adil. Padahal Allah telah memberi panduan dan mencipta Rasulullah SAW dari kalangan manusia untuk menjadi ikutan.

See?

Orang yang tidak bersabar dengan apa sekalipun akan tetap mencari-cari yang lain untuk disalahkan walaupun sebenarnya kesalahan itu adalah kesalahan dirinya. Jadi, kita tidak mahulah menjadi orang yang meletakkan kesalahan kita kepada orang lain, kan?

Senyum.

Kita di sini (dunia) kerana Allah,
maka semuanya mesti kerana Dia..

Semoga ALLAh merahmati.

One thought on “Bersabarlah Dengan Dirimu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *