Bermanja-manja Dengan Allah SWT

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Harus berfikir untuk lebih rapat dan manja dengan Allah.

Bermanja-manja dengan ALLAh Ta’ala. Sweet, huh?

Beberapa hari lepas, hello hello dengan kawan baik. Bila sudah hello hello seperti waktu itu, macam-macam mutiara kata yang keluar daripada mulutnya. Sesekali saya menyampuk. Tapi banyak detik, saya banyak diam berfikir mengenai kata-kata dia. Salah satunya mengenai ‘bermanja-manja dengan Allah’.

Mungkin ramai diantara kita, kurang bermanja-manja dengan Allah Ta’ala. Mungkin kurang mengadu kepada Dia, walaupun sememangnya aduan itu tidak perlu kerana Dia itu Maha Mendengar. Tapi sebagai seorang hamba, pengaduan itu adalah tanda rendah hati dan diri. Juga sebagai adab seorang hamba, kepada Tuhannya.

Tanda kita ini, seorang yang kerdil dan sentiasa memerlukan-Nya!

Mengadu dan Meminta daripada Allah

Kadang-kadang mungkin dalam kehidupan ini apabila ditimpa sebarang musibah atau sebarang masalah, kita kurang mengadu kepada Allah Ta’ala. Dan kita lebih banyak mengadu dan berkongsi dengan manusia. Dengan menyangka bahawa Dia mengetahui segalanya, maka tidak perlulah lagi untuk mengadu domba kepada-Nya.

Silap tu, wahai kawan!

Hakikatnya, apabila kita sering meminta dan sering mengadu kepada Allah Ta’ala, itu bukan tanda kehinaan. Malah diri kita ini akan lebih dekat dengan Dia. Dan antara hikmahnya adalah, Allah Ta’ala melapangkan jiwa untuk mencari penyelesaian dengan membuka jalan-jalan kepada permasalahan yang menjadi keresahan di hati.

Habis tu, langsung tak boleh nak kongsi dan luah pada manusiakah?

Bukan begitu, hai kawan. Boleh. Tidak dilarang. Adalah menjadi salah satu fitrah manusia untuk mencari orang-orang yang boleh dia berkongsi keresahan dihati, yang boleh meminjamkan telinga mendengarkan gelisahnya, yang boleh meminjamkan bahu untuk dia tumpahkan airmatanya. Dan Islam tidak melarang itu semua.

Cuma, pengaduan yang sebenar-benarnya adalah kepada ALLAh Ta’ala!

Begitu juga apabila manusia dihimpit kesulitan dan kesempitan. Dek kerana merasa terlalu sempitnya hidup dengan kesulitan yang ada, kadang-kadang manusia mudah lupa untuk mengadukan semuanya kepada Tuan Punya Dunia sehingga merasa Tuhan itu tidak ada untuknya. Sedangkan manusia yang menjauhkan diri sebenarnya.

Doa Adalah Tanda Iman, Juga Manja Dengan Allah

Salah satu fitrah yang ada dalam diri manusia itu, adalah meminta-minta. Dan manusia yang meminta-minta dalam doanya kepada Tuhannya, bermakna dia masih punya iman dalam hati. Dan sebenarnya, doa-doa yang manusia terbangkan ke atas untuk didengari oleh Tuan Punya Dunia, adalah tanda pengikat hubungan erat antara hamba dengan Tuhannya.

Malah, Allah Ta’ala sendiri pernah berfirman, “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas…” al A’raf : 55

Secara logiknya begini. Apakah apabila kamu mengadu kepada seorang manusia yang kamu kenal secara biasa-biasa, dan kamu langsung tidak rapat dengannya, tiba-tiba kamu datang meminta ehsan pertolongan darinya untuk menyelesaikan masalah kamu. Maka secara logik akal, mahukah dia menolong kamu sedangkan dia tidak mengenali kamu secara peribadi, juga tidak rapat dengan kamu?

Jawapannya tentulah peratus banyaknya, dia tidak akan tolong. Kan?

Maka begitulah juga sikap kita dengan Tuhan kita. Apakah kamu mengharapkan pertolongan dari Allah Ta’ala sedangkan hubungan kamu dengan Allah rompang di sana-sini. Bagaimana rahmat Allah mahu sampai kepada diri? Justeru, bermanja-manjalah dengan Allah Ta’ala. Bagaimana caranya?

Mendahulukan Allah Ta’ala dalam segala hal.
Mendahulukan Allah Ta’ala sebagai matlamat hidup.

Jiwa jadi bahagia bila membaca janji Allah Ta’ala yang ini, “..Dan Tuhan kamu berfirman, ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku menerima doa kamu’..” – Ghafir : 60

Mendidik Hati Dan Diri Bermanja Dengan Dia

Bermanja. Masih tak ‘clear’ dengan erti bermanja dengan Allah?

Secara ringkasnya begini; bermanja dengan Allah Ta’ala itu bermaksud kita sentiasa mengingati Dia dalam masa setiap susah dan senangnya kita. Juga dalam setiap senang, gembira dan suka kita dalam kehidupan seharian. Dan apa-apa jua nikmat serta musibah yang kita dapat dalam hidup ini, wajib kita percaya bahawa semuanya adalah daripada Allah Ta’ala.

Tiada sesuatu yang berlaku, melainkan dengan izin-Nya. Dan harus percaya, semua yang berlaku itu beserta dengan hikmah yang Allah Ta’ala ingin tunjukkan kepada kita.

Ambillah ibrah dari segala kejadian.

Amalan-amalan sunat, kalau mampu, perbanyakkanlah. Solat malam dirikanlah semahu dan semampumu. Akhlak dan tingkah, perbaikilah dengan sesungguhnya. Zikir dan tasbih itu, amalkanlah. Al-Quran itu, dampingilah sungguh-sungguh.

Perlahan-lahan dan konsisten, serta dengan kerendahan hati,
Allah Ta’ala lebih suka!

Semoga ALLAh merahmati.

One thought on “Bermanja-manja Dengan Allah SWT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *