Berkawan Dengan Semua

Bismillah.

Orang selalu berkata, bahawa hidup ini singkat untuk permusuhan dan kebencian. Hidup ini terlalu indah untuk dikotorkan dengan perkara-perkara kebinasaan dan peperangan. Hidup ini terlalu berharga untuk sentiasa bersangka buruk dengan orang lain. Hidup ini juga pasti akan tenang jika seluruh manusia berfikir dan mencintai kedamaian. Memang betul pun, damai itu lebih bahagia.

Semua yang selalu disebut-sebutkan itu, tidak lari dari satu perkara yang berkaitan dan tersangat penting. Tentang bagaimana keamanan dan kedamaian itu akan terjadi? Senang saja jawabnya. Semua hal di atas akan terjadi dengan adanya hati yang bersih. Hati yang sihat dan tidak dilumuri dengan penyakit kedengkian, amarah dan berburuk sangka. Bagaimana manusia boleh hidup dengan damai sekiranya didalam hati manusia ada penyakit yang tidak terlihat oleh mata?

Zaman Kita Perlu Terbuka

Sekitar seminggu dua yang sudah, saya bertemu dengan beberapa individu yang jelas dengan apa yang sedang diperjuangkan oleh mereka walau hanya bermula dari bawah. Bercerita dengan mereka yang tidak lokek untuk berbicara pelbagai perkongsian dan nasihat, tidak sedar sudah beberapa jam berlalu.

Begitulah selalunya. Kita akan banyak belajar hal dari situasi yang tidak disangka-sangka. Kita juga boleh belajar banyak perkara dari orang-orang yang tidak pernah kita terbayangkan untuk duduk semeja, tidak mengira umur dan jawatan.

Yang pastinya, saya belajar banyak perkara.

Bolehlah nak kata, kalau sebelum ini kita berkawan dalam lingkungan golongan yang kita senang sahaja, atau dalam lingkungan kawan-kawan sepengajian, se-program atau yang sama waktu dengannya. Maka silakan untuk berkawan dengan semua orang. Cuba keluar dari lingkungan kawan kebiasaan yang kita ada.

Ini adalah zaman yang bila kita terpandang orang yang berbeza dari segi pandangan, pakaian, pegangan atau falsafah hidup, orang itulah yang perlu kita approach untuk menjadi kawan. Pendek kata, sepatutnya kita perlu berkawan dengan semua orang. Kalau benar-benar kita mengaku bahawa kita mahu mencintai Allah, kita perlu sedar bahawa Allah pula meletakkan syarat untuk kita mengasihi manusia lain untuk sama-sama mencintai-Nya. Tidak akan sempurna pengakuan cinta seseorang kepada Allah, jika dia tidak pernah mengenal erti mencintai dan mengasihi manusia. Jika tidak, ia hanyalah pengakuan dusta semata.

Teringat saya firman Allah SWT ini,

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.
(Surah al-Hujurat: 13)

Jangan tertipu dengan pandangan mata dan mainan fikiran, kawan.

Suhana Amiril
Sedang menuntut dalam jurusan Syariah dan Undang-Undang. Aktif dalam penulisan di blog peribadi beliau (http://cintailahi.com). Merupakan seorang penulis buku amateur, dan telah mempunyai buku yang telah terbit. Antara matlamat beliau dalam hidup adalah berjihad melalui pena.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *