Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Berfikir dan Bersyukurlah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Bertafakkur akan nikmat ALLAh.

Sering kali manusia melihat kelebihan dan kepunyaan orang lain tanpa melihat diri sendiri. Sering kali manusia bangga akan bangsa lain tanpa melihat kebanggaan bangsa sendiri. Sering kali manusia akan merasa cemburu terhadap apa yang dia belum miliki, tetapi dimiliki oleh orang lain.

Manusia memang begitu.

Dan, jarang sekali manusia akan berfikir dan mensyukuri apa yang ada pada dirinya, tetapi tiada pada diri orang lain. Dan jarang sekali manusia akan menghitung nikmat yang ALLAh berikan pada dirinya, sebaliknya dia tegar menghitung nikmat-nikmat yang ALLAh berikan pada orang lain.

Kufur nikmat? Moga tidak begitu.

Berfikir dan Bersyukur

Saya pernah mendengar rintihan seorang kawan sepengajian yang berkata begini,

“Saya cemburu dengan keluarga si A. Semuanya alim belaka. Kenapa saya tidak dilahirkan dalam keluarga yang macam tu.”

Saya diam.

Saya cuma melihat melalui jendela akhirat. Dan saya sangat pasti, ada sebab mengapa ALLAh lahirkan seseorang dalam keluarga yang kurang memahami amalan-amalan Islam. Dan saya sangat yakin, mungkin anak yang mempunyai kesedaran beragama itu nanti akan membawa keluarganya mengenali apa itu Islam. Apa itu Cinta ALLAh. Apa itu kasih Rasulullah. Dan apa itu syurga.

Berfikir dan bersyukur, bermaksud anda sebagai manusia selalu ingat terhadap nikmat-nikmat ALLAh yang telah melimpah dalam kehidupan anda. Anda redha dengan apa yang ALLAh kurniakan. Dan jika menginginkan kehidupan yang lebih baik, anda berusaha sedaya upaya dijalan yang ALLAh restui.

Berfikir dan bersyukur, bermaksud.. Anda memandang orang yang tidak seperti anda. Orang yang dalam kekurangan, mungkin dari segi kewangan, dari segi muamalah, dari segi kehidupan kepada Tuhan. Maka anda patut bersyukur sekiranya anda ALLAh kurniakan dengan kurnia yang lebih baik.

Bersyukur disini bukan bererti bermegah mahupun menyombong diri.

Percayalah, apabila anda selalu bersyukur, maka anda akan tenggelam dalam setiap nikmat yang ALLAh berikan dengan penuh keredhaan. Meskipun rezeki anda sedikit, namun penuh barakah.

Anda pernah tidak menghitung segala nikmat yang ALLah kurniakna? Kalau anda berkata, hidup anda terlalu banyak penderitaan dari nikmat. Maka saya akan katakan anda berbohong. Cuba anda bandingkan nikmat dan penderitaan anda. Manakah yang lebih berat timbangannya dalam pemikiran anda.

Kenapa? Sebab saya yakin dengan ini,

“Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAh, nescaya tidaklah dapat kamu menghitungnya..” – Surah Ibrahim : 34

Lihat Orang Lain Pada Dirimu

Pernahkah anda berjalan di suatu tempat, dan anda terlihat manusia yang lain menggunakan daya tangannya untuk jalan? Dan selepas itu, pernah tidak anda melihat kedua belaha kaki anda lalu melafazkan syukur kepada ALLAh? Pernah tidak anda melihat orang lain yang tidak mempunyai batang kaki, lalu anda melihat batang kaki anda, lalu anda bersyukur kepada ALLAh?

Anda pernah melihat seseorang yang buta sambil berjalan meraba-raba dengan tangannya yang dilujurkan ke hadapan? Masa tu, pernahkah anda menyentuh kelopak mata anda. Dan anda melahirkan rasa syukur. Kerana anda ada penglihatan, manakala orang yang buta itu tadi punya dunia yang gelap.

Anda pernah bercakap dengan seseorang yang mempunyai masalah pendengaran? Anda bercakap dengannya, tetapi anda kena tinggikan suara kepadanya agar dirinya mudah mendengar apa yang anda katakan. Allahuakbar. Pernah? Dan pernah anda menyentuh telinga anda? Lalu anda bandingkan pula dengan orang yang mempunyai masalah pendengaran tadi.

Apabila melihat ketiga-tiga ciri orang tadi, pernahkah hati anda terasa lebih rendah dari rumput di bumi?

Ayat cinta ALLAh,

“Mereka mengetahui nikmat ALLAh, kemudian mereka mengingkarinya..” Surah al-Nahl : 83

Tepuk dada, tanya diri sendiri.

Terlalu Banyak Nikmat Yang Ada Padamu

Jangan sedih dengan apa yang ada pada dirimu tetapi pada diri orang lain, lebih dari dirimu. Kalau anda terus berasa sedih, maka cuma kedukaan yang akan menemani sang hati. Jangan pernah merasa ALLAh itu tidak adil, kerana anda akan kembali kepada ALLAh juga.

Oleh kerana kesedihan dan perasaan cemburu yang bersarang dihati anda, nikmat terbesar yang ALLAh kurniakan pun, anda tidak akan sedar. Kerana hati anda hanya bersedih dengan apa yang anda tidak ada. Sebaliknya, nikmat dan anugerah dari ALLAh akan mengalir bagaikan sungai tanpa anda sedari.

Jika manusia terus dengan sifat macam ni, maka percayalah.. Anda hanya akan sakit menderita. Anda akan meninggalkan dunia yang fana ini dengan satu perasaan yang hanya akan mengakibatkan anda terseksa di akhirat sana. Bukankah itu merupakan satu kerugian?

Siapa yang ingin termasuk dalam golongan orang yang rugi?

Anda mempunyai tempat berteduh, anda boleh makan makanan yang enak, anda boleh belajar setiap hari, anda boleh minum air melebih satu liter setiap hari, anda boleh tersenyum manis, anda boleh memakai apa yang anda inginkan. Tapi, pernahkah anda terfikirkan seseorang di tempat lain yang berada di bawah langit yang membuatkan dia tidak merasai apa yang anda rasai sekarang ini?

Mungkin orang itu, saat ini dan ketika ini sedang menangis memeluk lutut akibat perasaan lapar, sunyi dan sakit. Sedangkan anda, masih boleh berbual dengan seseorang, mengadu padanya apabila sakit, dan boleh makan apa sahaja yang anda idamkan.

Kasihan seseorang itu yang berada ditempat lain.

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” – al Rahman : 77

Semoga ALLAh merahmati.

3 Comments

  1. ejoncb says:

    huhu…terbaik lah Sis, manusia nih selalu tak bersyukur dgn apa yg ada. Sedangkan ramai lagi yg tak memperoleh nikmat yg telahkita dpt..huhu

    [Balas Komen]

  2. dnoBiz says:

    Thank,
    Perkongsiaan yang menarik dan amat berguna,
    cuma terpulang pada individu untuk guna atau pun sekadar jadi bahan bacaan semata mata

    [Balas Komen]

  3. ummu hurairah says:

    Great!!

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *