Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Bagaimana Jika Kita Gagal?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

"Bagaimana jika kita gagal?" Kawan, gagal itu bukan pengakhiran hidup!

“Bagaimana jika kita gagal?”
Kawan, gagal itu bukan pengakhiran hidup!

Semua orang akan pernah mengalami kegagalan dalam hidupnya. Cuma rupa dan bentuk kegagalan setiap dari orang di atas muka bumi ini sahaja yang berbeza. Persamaan terbesarnya, semuanya mengalami kegagalan, dan kegagalan.

Kegagalan adalah sesuatu yang mahu kita elakkan dalam hidup. Lantas kita membuat semampu yang boleh untuk berjaya. Namun sering sahaja Allah Ta’ala dengan perancangan-Nya tersendiri, melebihi usaha yang telah kita aturkan. Dan boleh jadi, apa yang terjadi itu adalah Allah Ta’ala mentakdirkan kita untuk menemui kegagalan sebelum kejayaan. Dan Allah Ta’ala membiarkan kita merasai bagaimana rasanya gagal itu.

Maka, adakah kegagalan itu adalah sesuatu yang negatif atau positif?

Jawapannya, terpulang kepada diri kita sendiri. Ada orang, menerima kegagalan seolah-olah hidupnya telah berakhir dan tidak bermakna. Ada orang, menerima kegagalan sebagai kejayaan yang tertangguh, lantas dia berusaha lagi dan lagi agar apa yang dia impikan atau usahakan itu membuahkan hasil. Sehingga dia akan merasa kebal dengan kegagalan.

Manusia, Kegagalan dan Kecewa

Manusia, jarang sekali apabila berhadapan dengan suatu kegagalan, dia akan tenang. Ya, sangat jarang. Kebiasaannya, manusia akan menjadi resah. Lalu fikirannya akan mula serabut, teringat kepada usaha yang telah dirinya laburkan dan dibandingkan pula dengan kegagalan. Baginya, dia merasa bahawa kegagalan itu bukanlah balasan atau imbalan yang terbaik atas usaha yang telah banyak dia lakukan. Maka mulailah dirinya merasakan semuanya tidak adil. Bahkan dia menjadi marah atas setiap apa yang berlaku.

*senyum*

Manusia memang begitu. Kadang kala tidak banyak fikir, terus sahaja membuat tindakan yang sia-sia. Dan manusia itu adalah saya sendiri, kamu, kamu dan kamu. Ya, kita.

Saya pernah ditanya, “Kenapa, Suhana? Kita tak boleh ke nak merasa kecewa? Mustahil ada manusia yang tidak kecewa.” Saya tersenyum. Siapa kata kita tidak boleh kecewa atau kita boleh mengelakkan rasa kecewa terhadap diri sendiri? Sekuat apapun kita memujuk diri sendiri untuk tidak kecewa, pasti akan ada saat, jiwa kita disapa dengan kekecewaan. Meskipun kita menyembunyikannya daripada khalayak ramai.

Kecewa itu boleh, tapi jangan berlama-lamaan. Jangan tenggelam dalam perasaan kecewa. Kerana kecewa yang melebih-lebih tidak akan membuahkan sebarang hasil yang baik, melainkan akan lebih mengundang lebih banyak kegagalan dalam hidup. Percaya? Maka, adalah lebih baik jika kita kecewa, kita akan cepat-cepat memujuk diri sendiri. Saat itu, usah pedulikan manusia sekeliling yang mungkin memandang kita sebagai seorang gagal. Atau manusia-manusia yang berkata-kata mengenai kita itu dan ini.

Tetapi, bangkitlah. Bangkit untuk sebuah kejayaan!

Persoalannya adalah, bagaimana untuk kita berhadapan dengan kekecewaan? Maka bersoal jawablah dengan diri sendiri. Adakah kekecewaan itu akan membuatkan kita berjaya. Kalau ya, dengan cara apa? Apakah kekecewaan itu akan membuatkan kita lebih menghargai sebuah kegagalan, lantas kita mencari jalan untuk meraih kemenangan? Atau adakah kekecewaan yang melampau akibat kegagalan hanya akan membuat kita menjadi manusia yang futur dan kufur akan nikmat Allah Ta’ala. Atau akan membuatkan kita manusia yang berkurang imannya mendadak terhadap Allah Ta’ala, malahan?

Sudah Berusaha Tapi Masih Gagal

Pernah juga mungkin diantara kita sudah berusaha bersungguh-sungguh, namun masih menemui jalan kegagalan. Kita mulai tertanya-tanya. Di mana silap kita? Apakah Allah Ta’ala tidak mahu membantu kita? Kenapa kita dibiarkan mengalami kegagalan? Kenapa kegagalan itu tidak menyapa orang lain yang usahanya tidak seberapa namun Allah Ta’ala berikan kejayaan? Kenapa, kenapa dan kenap?

Pernah tak diantara kita semua ini, mempunyai pemikiran yang begitu? Saya pasti, kalau tidak banyak pun, sedikit sebanyak itu ada. Kan?

*senyum-senyum*

Anda pernah main video game? Atau anda pemain video game yang tegar? Saya suka mengambil sikap positif golongan ini yang sungguh-sungguh dalam permainannya. Masakan tidak, apabila gagal melaksanakan satu-satu peringkat dalam game tersebut, si pemain sangat jarang berputus asa. Bahkan, apabila gagal melepasi satu-satu tahap. Dia akan memukul bantal atau apa-apa sahaja. Tetapi selepas itu dia akan main dan main lagi sehingga melepasi halangan untuk membolehkannya ke peringkat yang seterusnya.

Nah, apa yang dia rasakan? Kepuasan! Kepuasan setelah berusaha.

Maka begitu jualah dengan hidup ini. Kegagalan tidaklah terjadi hanya kerana kegagalan sahaja. Tetapi sebenarnya kegagalan itu jika kita fikirkan dengan fikiran yang waras dan berfikir panjang mengenainya.. Kegagalan itu sebenarnya membuka banyak jalan. Dan kita sebenarnya akan belajar lebih banyak hal. Setuju? Hal ini kerana, semakin kita mahu berjaya, semakin kita menemui pelbagai cara dan jalan yang berlainan. Dan dengan cara itu, kita menjadi seseorang yang mungkin semalam kurang tahu atau tidak tahu langsung mengenai sesuatu, tetapi menjadi seseorang yang tahu mengenai sesuatu.

Nampak tidak disitu bagaimana?

Ubat Kegagalan Hanyalah Terus Berusaha

Sebenarnya, kegagalan itu tidak perlu difikirkan. Cukup kita tahu bahawa kita sedang berhadapan dengan kejayaan yang tertangguh. Dan selepas itu, kita perlu berusaha lagi dan lagi, walaupun dengan seribu satu jalan-jalan untuk menuju kejayaan.

Kegagalan? Usah pedulikan!

Jangan menjadi orang yang Allah Ta’ala uji dengan kegagalan, tapi terus sahaja berputus asa. Kononnya kecewa. Persoalannya sekarang, kita mahu kecewa kepada siapa? Allah? No, kita tiada hak untuk itu! Baiklah, katakan kita kecewa kepada diri kita sendiri. Okey fine! Tapi kekecewaan itu harus digantikan dengan semangat dan azam yang membara selepasnya. Jangan statik tidak melakukan apa-apa perubahan dengan kaedah yang dibuat.

Kawan, hidup ini penuh misteri. Dan kita sendiri tidak tahu dimanakah misteri itu bermula dan berakhir. Yang kita cuma perlu tahu dan buat adalah menyedari bahawa kita ini adalah hamba Tuan Punya Dunia. Dan kita tiada hak sedikitpun untuk mempersoalkan mengenai diri kita kepada Allah Ta’ala. Dan biarlah kita merasa bahawa, Allah Ta’ala memilih kita untuk merasai dan singgah di dunia ini sebagai salah sebuah rahmat besar dari Allah SWT.

Jalan kejayaan itu banyak. Teruslah menempuhinya. Dan jangan dipandang kegagalan hari ini adalah sebuah pengakhiran hidup yang sudah tiada esoknya lagi. Malah, ambillah kegagalan hari ini sebagai sebuah batu lonjatan untuk menjadi seseoran yang Rasulullah SAW pasti akan berbangga memiliki diri kita sebagai umat baginda SAW.

Pssst! Yang paling pentingnya adalah, jadilah seseorang yang sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

*genggam tangan kamu dari jauh*
*senyum*

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *