Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Ayuh, Membaiki Jiwa!

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kadang-kadang kita tak sedarnya retaknya jiwa. Credit Picture : http://lieveheersbeestje.deviantart.com/

Kadang-kadang kita tak sedarnya retaknya jiwa.
Credit Picture : http://lieveheersbeestje.deviantart.com/

Selama ini, berapa banyak dosa yang kita buat? Berapa lama telah kita berada didalam kelalaian? Berapa waktu sudah kita membuatkan jiwa kita sendiri retak dengan sesuatu perbuatan? Berapa kali jiwa kita ini kita sakiti dengan menjauh dari Tuhan? Dan berapa lama lagikah, dengan semua itu kita akan bertahan?

Kerana lambat-laun, jiwa kita pasti akan mati. Masa itu, kita akan merasa sepi sendiri. Tidak mustahil jasad kita hidup, tapi jiwa kita mati. Jiwa kita ini, kalau kita sirami dengan banyak perbuatan-perbuatan baik, dan kita sentiasa isi dengan sangkaan baik, maka diri kita akan menjadi positif. Sebaliknya jika kita ini selalu membuat perbuatan-perbuatan yang kita sendiri tahu perkara itu tidak baik, ditambah pula selalu bersangka buruk dengan orang-orang di sekelilingnya, maka jiwa itu lama kelamaan akan menemui jalan kelam.

Dan tidakkah kita semua merasa sudah tiba masanya untuk kita membaiki jiwa-jiwa kita ini? Kerana jiwa kita ini, berhak mendapatkan kondisi yang baik. Dan kondisi yang baik itu akan terhasil sekiranya kita melakukan pelbagai perkara yang boleh membaikinya.

Mujahadahlah.

Kita Semua Melakukan Silap

Kita semua faham, kita yang manusia biasa ini tiada siapa yang sempurna. Bila tidak sempurna, pastinya sudah banyak kali kita melakukan kesilapan. Sudah banyak dosa yang kita buat. Tapi betapa Maha Pengasih dan Maha Baiknya Allah Ta’ala itu, Dia sentiasa menerima kita walau kita datang kepada Dia dengan bergunung-gunung dosa sekalipun – cukuplah ini sekadar tamsilan – Allah telah janji, ampunan lebih besar dari dosa-dosa kita.

Allah Maha Pengampun, Maha Bijaksana, Maha Lembut, Maha Penyayang. Allah tidak pernah meninggalkan kita para hamba-Nya, sekalipun kita ini penuh dosa. Dan jika diibaratkan dosa yang kita buat itu, kita boleh membayangkan seorang manusia yang pakaian dan badannya kehitaman pekat yang menggelikan, baunya pula busuk yang sangat meloyakan. Dan jika ada manusia di sekelilingnya, pastilah tiada manusia mahu mendekatinya orang yang busuk seperti bangkai – dosa, perkara yang hina sekali, bukan?

Tetapi Allah tidak akan meninggalkan hamba-Nya. Sekali-kali tidak. Malah Dia sentiasa membuka peluang kepada orang-orang yang mahu membersihkan jiwanya. Hamba-Nya yang datang kepada-Nya disambut dengan keampunan. Teringat firman Allah Ta’ala ini :

“Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan ataupun bala bencana, ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa. Pada masa itu juga, Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” – Surah as-Syuraa : 32

Kawan, kita ini jika berbuat dosa dan kita memohon ampunan daripada Allah, lalu kita TERbuat kembali dosa, lalu memohon ampunan lagi daripada Allah, maka Allah dengan KebesaranNya, pasti akan mengampunkan hamba-Nya yang datang kepada-Nya penuh jujur merendah diri dan mengakui setiap dosa-dosa yang telah dilakukan oleh dirinya.

Justeru itu, jangan malu menghadap Tuhan dengan membawa diri dan jiwa kita yang penuh retak akibat perbuatan-perbuatan kita selama ini. Kita semua berdosa. Kita semua mempunyai jiwa yang tercemar akibat oleh kita sendiri.

Sedih bila terfikirkan..

Bukankah Allah itu Tuhan kita? Jika bukan kepada Dia kita merangkak dan berlari memohon ampun, maka kepada siapa lagi harus kita memohon keampunan dan kasih-sayangNya?

Teruslah Istiqamah

“Aku nak membersihkan jiwa aku dari semua benda-benda kotor. Tapi, aku tak rasa aku mampu bertahan lama.” Begitu luahan seorang kawan. Katanya dia tahu, dia hanya bersemangat pada awalnya sahaja. Akhirnya nanti, dia mudah bertukar pendirian.

Saya selalu kata, berubah itu tidak senang. Untuk mengubah cara hidup atau pun tabiat lama ke tabiat baru itu, seperti berpindah dari tempat lama ke tempat yang baru. Yang kita tidak tahu dan tidak biasa lagi dengan tempat itu. Maka untuk membiasakan diri di tempat yang baru, kita perlu sabar dan perlahan-lahan mengenali tempat demi tempat yang ada di sekitar kita. Kita kena bertanya dan berkawan dengan orang di tempat baru itu.

Maka, begitu jugalah dengan halnya apabila mahu membersihkan diri dan mahu berubah menjadi seseorang yang baru dari segi gaya hidup. Kita mesti sertai dengan kesabaran dan ketabahan. Yang penting sekali, kita kena kuat dari segi fizikal dan mental.

Tiada siapa menjanjikan perubahan itu senang, kawan.

Untuk memperbaiki jiwa, mulakan dengan perkara-perkara yang asas. Apa perkara yang sering membuatkan kita terleka dan tidak mengambil tahu soal sekeliling? Kenal pasti, dan ubah sedikit demi sedikit. Kenal pasti apa tujuan untuk memperbaiki jiwa. Dan kita jangan lupa untuk meminta bantuan daripada Allah Ta’ala. Kita menuju Dia, maka kepada-Nya kita meminta segala sesuatu. Adukan segala-galanya pada Dia.

Diuji Kesungguhan dan Kekuatan

Saya suka untuk mengingatkan kawan-kawan yang baru hendak berubah atau sedang berubah bahawa, bila kita telah berniat dan tekad untuk berubah memperbaiki jiwa, maka kita jangan fikir yang manis-manis sahaja semasa baru memulakan langkah. Kerana ketahuilah, bila perkara baik hendak dilakukan, ada sahaja halangan dan dugaan yang akan datang menguji.

“Kenapa kita diuji? Allah tak saying kitakah? Allah tak hendak kita berubahkah? Dulu masa hidup dalam keburukan, Allah tak uji yang berat-berat pun?”

Mungkin luahan begini adakalanya hinggap di jiwa. Tidak, Allah tidak memberikan ujian kerana mahu mematahkan semangat. Malah dengan ujianlah akan tinggi darjat seorang manusia disisi Allah. Kalau kita fikir logic pun, mana ada manusia yang kerjanya asyik mengelip-ngelipkan mata mendapat nikmat yang besar boleh dikecapi tanpa berbuat apa-apa. Bukankah itu lumrah dalam sesuatu pencapaian?

Kalau pencapaian dengan manusia, atau dimata manusia kita boleh tipu. Tapi dengan Allah Ta’ala? Tidak sesekali. Pastinya hidup kita nanti takkan ke mana.

Kawan, cuba belek Al-Quran. Dan baca surah al-Baqarah ayat 138.

Semoga Allah pilih kita termasuk dalam golongan orang yang berusaha ke arah itu. Sekurang-kurangnya inshaAllah moga kita dapat pahala kerana berusaha.

Pssst. Teruskan langkahmu,
wahai kawan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *