Apa Manusia Buat, Itu Yang Manusia Dapat

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Setiap perbuatan jahat atau dengki itu akan menimbulkan keburukan. Mungkin keburukan kepada orang yang dibuat, dan si pelakunya sendiri. Percaya atau tidak, orang yang suka melakukan kejahatan mungkin akan berpuas hati dengan perbuatannya. Tapi pada satu sisi dirinya, keresahan pula menyelubungi.

Kenapa ya?

Bukankah dirinya sudah merasa puas dengan perbuatan jahatnya; membalas dendam, membuat fitnah, dengki melihat kejayaan dan kegembiraan orang lain lalu mencari sesuatu untuk menghancurkan kegembiraan tersebut, gembira dengan kejatuhan orang lain lalu menambah lagi perisa kejatuhan dengan membuka fitnah orang itu, mungkin.

Walauapapun, perbuatan jahat tidak sesekali diredhai ALLAh Ta’ala!

Perbuatan Jahat Lahir Dari Hati Yang Tidak Bersih

Pada pandangan manusia, apabila kita membuat kejahatan, mungkin dapat disembunyikan tanpa diketahui oleh seorang manusia pun. Tapi, perasaan waktu itu, sentiasa rasa diperhatikan atau pun perkara yang disembunyikan bila-bila saja boleh terbongkar. Kerana apa ya perasaan itu? Kerana, ALLAh itu tidak pernah terlepas pandangan akan satu apapun yang hamba-Nya buat.

Sudah tentulah perasaan gelisah itu hadirnya kerana ALLAh Ta’ala masih mahu memberikan peluang kepada seseorang yang membuat kejahatan untuk insaf dan berhenti dari perbuatannya. Dan boleh jadi juga, perasaan itu hadir kerana ALLAh Ta’ala mahu memberikan balasan atas perbuatan hamba-Nya.

“Adapun orang-orang yang berbuat kejahatan (akan mendapat) balasan kejahatan yang setimpal dan mereka diselubungi kehinaan. Tidak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) ALLAh, seakan-akan wajah mereka ditutupi dengan kepingan-kepingan malam yang gelap gulita. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” – Yunus : 27

Sama-sama berdoa moga ALLAh Ta’ala ampunkan segala kejahatan yang pernah dilakukan dan semoga ALLAh terima taubat para hamba-Nya yang mahu bertaubat. InshaAllahu Ta’ala.

Layakkah taubat diterima?

Jika bertanyakan perihal layakkah taubat manusia itu diterima oleh ALLAh kepada manusia lain, maka tiada siapapun yang mengetahuinya. Satu hal yang sangat pasti, dan sangat dituntut untuk kita percaya ialah, ALLAh Ta’ala itu Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat.

ALLAh Maha Penyayang, ALLAh Maha Pengasih.

Seorang Lelaki Pembunuh Yang Bertaubat

Saya jadi teringat pada satu kisah mengenai lelaki yang membunuh seramai 99 orang pada mulanya, dan akhirnya menjadi 100 orang. Genap. Kisah berdasarkan hadis Baginda Rasulullah SAW,

Daripada Abu Said al-Kudri, Rasulullah SAW bersabda, “Seorang lelaki daripada kalangan umat sebelum kamu telah membunuh seramai 99 orang. Lalu dia mencari seseorang yang paling alim. Setelah diperkenalkan kepadanya seorang pendeta, dia terus berjumpa dengan pendeta itu dan kemudian dia berkata, ‘Aku telah membunuh seramai 99 orang manusia, adakah taubatku masih diterima?’ Pendeta tersebut menjawab, ‘Tidak.’ Mendengar jawapan itu, dia terus membunuh pendeta tersebut dan genaplah 100 orang manusia yang telah dibunuhnya.

Tanpa berputus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan seseorang kepada seorang ulama, dia terus bertemu dengannya dan berkata, ‘Aku telah membunuh seramai 100 orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?’ Ulama’ tersebut menjawab, ‘Ya. Tidak ada siapa yang boleh menghalang engkau daripada bertaubat. Pergilah ke negeri si fulan, kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada ALLAh. Engkau beribadatlah kepada ALLAh SWT bersama-sama mereka dan jangan pulang ke negerimu kerana negerimu adalah negeri yang sangat hina.’

Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika di pertengahan jalan, tiba-tiba dia menemui ajalnya menyebabkan malaikat rahmat dan malaikat azab bertelingkah mengenainya.

Malaikat rahmat berkata, ‘Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada ALLAh SWT.’ Manakala malaikat azab pula berkata, ‘Dia tidak pernah melakukan kebaikan.’ Lalu malaikat yang lain datang dalam keadaan menyerupai manusia dan cuba menghakimi mereka sambil berkata, “Ukurlah jarak di antara kedua-dua tempat. Mana yang lebih hampir, itulah tempatnya.’ Lantas para malaikat mengukurnya. Ternyata mereka mendapati lelaki itu lebih hampir kepada negeri yang ditujunya. Akhirnya dia diambil oleh malaikat rahmat..” – HR. Imam Bukhari

Ajal maut itu tidak pernah memberitahu akan tibanya waktunya. Dan kita sebagai manusia sendiri tidak tahu apakah sempat untuk kita bertaubat jika asyik bertangguh-tangguh untuk melaksanakannya lantaran merasa diri menanggung segunung dosa yang terlalu kotor?

Pengampunan ALLAh, lebih besar dari dosa hamba-Nya.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *