Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Apa Khabar, Duhai Dirimu?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Apakah manusia sedar khabar dirinya sendiri, atau hanya tahu bertanya khabar orang lain? Credit Picture : http://jpthart.deviantart.com

Apakah manusia sedar khabar dirinya sendiri, atau hanya tahu bertanya khabar orang lain?
Credit Picture : http://jpthart.deviantart.com

Manusia itu, adalah makhluk yang unik sebenarnya. Manusia mempunyai perasaan yang pelbagai. Adakalanya akan berasa gembira oleh dorongan sesuatu yang menyenangkan hati, ada masa akan berasa sedikit kelat di siang hari kerana hari yang dilalui tidak sesempurna hari-hari sebelumnya. Ada juga, rasa bahagia dalam jiwa manusia apabila kehidupan berjalan dengan tenangnya. Dan macam-macam lagi yang boleh diceritakan mengenai perasaan itu.

Itu, manusia.

Namun dalam pelbagai perasaan di jiwa itu, kadang-kadang manusia lupa kepada diri sendiri. Lupa untuk bertanya khabar diri sendiri. Lupa untuk menyapa,

“Wahai jiwa dan diriku, apa khabarmu?”

Apakah kegembiraan yang terpamer, juga tawa yang menghiasi telinga itu menandakan bahawa khabar diri jiwa seseorang itu berada dalam keadaan seperti yang terzahir? Tidak. Kerana apa yang terzahir belum tentu sepertimana yang terlindung disebalik batin yang tersembunyi. Pelbagai rahsia yang tersembunyi. Banyak.

Dan percaya atau tidak,
tidak semua orang yang menunjukkan tawa semahunya pada zahir itu bahagia dirinya.

Apa Khabar Dirimu Disebalik Tawamu

Kadang-kadang dalam hidup seseorang, dia mencuba untuk gembira-gembira sahaja. Dan orang di sekelilingnya melihat dia gembira, happy go lucky orangnya. Ya, itu apabila dia berada di sekeliling orang ramai. Tapi, tiada siapa tahu bahawa dia sedang menyembunyikan lompong-lompong jiwanya yang sedang kosong. Dan mungkin juga sedang bersedih durjana.

Kenapa, wahai manusia? Apa khabar dirimu?

Kenapa ada perasaan yang sebegitu? Kenapa ada perasaan kosong yang bersarang dalam jiwa? Kenapa mesti ada suatu perasaan untuk berlakon dengan kepalsuan tawa, padahal hakikatnya dia sedang menangis sebenarnya. Kenapa, kawan?

Apa yang sedang cuba untuk disembunyikan sebenarnya?
Apa yang telah hilang pada pandangan hidup ini sebenarnya?

Menjalani kehidupan dengan seadanya. Yang pelajar, sibuk dengan kuliah, projek, tugasan dan pembentangan. Yang bekerja, sibuk dengan tugas-tugas di luar berhubungan kait dengan manusia yang pelbagai ragam. Begitulah rutin.

Sesekali ada masa terluang, untuk mengisi kekosongan dalam jiwa mencapai telefon bimbit yang canggih itu untuk menghantar SMS atau membuat panggilan bertanya khabar itu dan ini. Menunjukkan rasa prihatin. Berbual-bual sehingga beberapa lama diselangi ketawa yang bahagia.

Eh, tapi dia lupa. Dia lupa bertanya khabar jiwanya.

Selepas panggilan dimatikan, sampai satu saat, dia merasa lompong kembali jiwanya. Membuka pula komputer riba dan menekuni kitab biru untuk mencari hiburan. Tersenyum seorang diri sambil berbalas-balas chat atau komen.

Eh, tapi dia lupa. Dia lupa bertanya khabar dirinya.

Sejurus laptop ditutup, terasa kembali lompong kesunyian yang bersarang di jiwa. Di luar sana, bukannya tiada kawan. Kawan sekuliah, kawan itu, kawan ini. Mereka semua ada. Terasa sunyi dan bosan, lepak dengan mereka sahaja. Pasti gembira!

Tapi, kenapa masih terasa lompong dalam jiwa?

Jiwa Yang Tidak Dapat Menahan

Manusia. Ya kita ini manusia. Kebanyakan dari kita begitulah mencari penawar bagi suatu rasa dalam jiwa. Tapi jarang sekali bertanya apa khabarnyan jiwa.

Sehingga satu saat, mengalami tekanan yang amat.

Merasakan semua orang tidak memahami dirinya; ibu bapa, juga keluarganya. Manusia akan selalu beralasan sebegitu rupa. Bila ditanya, cara bagaimana kamu mahu difahami? Maka dia akan terdiam tanpa jawaban.

Sebab apa? Sebab dia sendiri tidak tahu apa yang dia mahukan sebenarnya.

Dan saat-saat seperti ini, banyak dari kita baru akan terdetik nama ALLAh dalam jiwa. Tapi, bukan untuk bergantung, berjalan atau merangkak kepadanya. Cuma hanya meratap,

“Kenapa Engkau jadikan aku begini, wahai Tuhan?”

Manusia meratap kenapa dirinya tidak boleh berubah atau gembira pada jalan yang dikehendakinya. Walhal pada hakikatnya, diri sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang diinginkannya. Kenapa selalu sahaja dia merasa sedemikian?

Apakah itu adalah salah ALLAh Ta’ala? Tidak!
Apakah itu adalah tanda ALLAh Ta’ala tidak peduli? Tidak!

Maka salah siapa? Bukan juga salah kamu, kawan. Tapi, sebagai manusia, kamu lupa untuk bertanya pada jiwa dan diri kamu sendiri. Kamu lupa.

Tanyakanlah Khabar Dirimu Itu

Apabila terbaca ayat ini,

“Maka berzikirlah (ingatlah) kepadaKu, niscaya Aku akan mengingati kamu sekalian…” – al-Baqarah : 152

Apa yang kamu rasa, sahabat?
Apa yang terdetik dalam jiwa kamu, sahabat?

Ayuhlah. Tanyalah khabar jiwa dan dirimu itu. Ke mana sebenarny-benarnya destinasi dan hala tuju kita sebagai manusia ini sebenarnya? Bersoal jawablah dengan diri sendiri. Wallahi, kita akan temui kejujuran ketika itu.

Adakalanya, kita ini terlupa bahawa kita asyik bertanya khabar manusia yang lainnya. Mahu memastikan mereka dalam keadaan baik-baik sahaja. Tapi kita sendiri lupa yang kita dalam kesibukan menjalankan sifat perikemanusiaan, maka kita hilang manusianya di mata Tuhan.

Malah, hilang punca pula!

Apakah kita selesa berada dalam keadaan yang sentiasa meraba-raba dalam kesamaran jiwanya? Pastinya ia bukan pilihan jika sekiranya kita menjawab, YA.

Sahabat, toleh semula ke belakang. Selak semula lembaran hidup. Jika ada hal yang perlu dibereskan dengan sesama manusia, maka bereskanlah. Buang keegoan yang tidak bertempat itu, serta ketepikan malu demi Tuhan.

Jika ada salah dan silap pada ibu bapa, maka mohonlah maaf. Berbaktilah kepada mereka dengan sesungguhnya. Jangan pernah sesekali kita terlupa bahawa mereka itu adalah yang terpenting dalam hidup kita.

Semoga, jiwa dan diri itu tenteram.
Tanyalah khabarnya, serta perbaiki sebelum terlambat.

Semoga ALLAh merahmati.

2 Comments

  1. Maisya says:

    terasa dekat setiap kali membaca nukilan saudari. Terima Kasih. Semoga Allah merahmati saudari sentiasa.

    [Balas Komen]

    Ya Habibi Reply:

    Allah, Allah.

    — aku menilik kembali aksara yang aku lakarkan. aku tidak pasti pada diriku, susunan aksara mana yang membuatkan dirimu terasa dekat. cuma yang aku tahu, tentu-tentu dirimu itu yang dekat dengan Tuhan. hatimu yang luar biasa sebenarnya.

    sama-sama. doa yang baik-baik;
    semoga juga dikembalikan kepada dirimu (:

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *