Antara Perasaan Khusyuk dan Takut Dalam Diri

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Sentiasa merindukan~

Suatu hari, pernah susuk tubuh manusia yang saya hormati bertanya dihadapan anak kesayangannya semua. “Kamu tahu apa itu khauf?” Kebanyakannya menggeleng. Padan juga. Bukan semua tahu berbahasa arab. Rata-rata kebanyakannya baru sahaja mengenal untuk mencintai bahasa syurga; terpaksa atau rela.

Susuk yang saya hormati itu, tersenyum.

Beliau bertanya lagi, “Semua tahu apa itu khusyu’?” Kedengaran suara-suara yang bersemangat itu mengungkap perkataan “Tahuuuu..” Tanpa tersenyum dan menunggu lama, susuk yang berwajah bersih dan punya nur itu terus menyoal lagi, “Apa maksud khusyu’? Ruang itu sunyi sahaja. Saya tersenyum diam sahaja di belakang.

Kalau boleh, biarlah kedua-dua rasa itu ada dalam diri. Biar seimbang.

Perbezaan Takut dan Khusyuk

Perasaan takut? Pada saya takut itu bermaksud suatu perasaan yang mendorong seseorang untuk lari daripada yang ditakutinya. Yang bisa menimbulkan suatu rasa yang membawa perasaan gelisah, sedih dan boleh membuat orang fobia kadangkala.

Pendek kata, takut itu suatu perasaan yang boleh menyebabkan jurang antara empunya perasaan dan perkara atau benda yang ditakutinya. Justeru, perasaan itu lebih kepada membawa orang menjauhkan diri dalam kegoncangan perasaan.

Baguskah perasaan takut ini?

Ya. Memang bagus. Itu kalau kena pada tempat dan ketikanya. Kalau takut tidak bertempat pun tidak boleh juga. Sebab takut tidak bertempat itu bukan sahaja memupuk perasaan menjauhkan diri daripada perkara atau benda yang ditakutinya, tapi empunya diri juga akan takut pada diri sendiri. Susah, kan.

Perasaan Khusyuk? Perasaan khusyuk itu suatu perasaan yang indah. Yang boleh membawa diri anda menikmati hakikat sebenar kejadian diri anda. Khusyuk juga boleh diertikan sebagai perasaan takut. Tapi perasaan takut yang lebih dibaluti dengan perasaan cinta dan kasih. Yang membawa si empunya perasaan boleh tenggelam merasai kenikmatan cinta tersebut. Perasaan khusyuk itu juga ialah suatu perasaan yang disatukan dengan pengakuan dan pemujaan dalam memuliakan, membesarkan dan mengagungkan Pencipta perasaan khusyuk itu sendiri.

Maka, bagi saya sendiri begini..

Perasaan Takut = Perasaan yang boleh menyebabkan jurang dengan sesuatu perkara.

Perasaan Khusyuk = Suatu perasaan merendah diri yang sebahagian dari perasaan takut. Tapi takut bahagian ini adalah takut yang lebih kepada mencinta dan mengakui kelemahan diri sendiri dengan mengharapakan sesuatu dari perasaan tersebut.

Maka, antara perasaan inilah yang sepatutnya ada pada diri seseorang yang mengaku dirinya seorang Islam. Takut dan khusyuk kepada ALLAh Rabbul ‘Izzati.

Jika tidak, boleh saja seseorang itu ibarat layang-layang yang diterbangkan mengikut arah angin tanpa bertali yang bila-bila masa sahaja layang-layang tersebut akan menyangkut pada dahan pokok dan menyebabkan layang-layang tersebut koyak.

Tempatkan Perasaan Itu Dengan Selayaknya

Menanamkan rasa takut pada diri, jangan sehingga menjadikan diri sendiri fobia. Biar kita sendiri tahu kenapa perlu untuk kita tanamkan rasa takut itu. Kenapa rasa takut yang menyebabkan jurang dan rasa khusyuk yang menyebabkan kerendahan di hadapan Tuhannya.

Takut kepada ALLAh hakikatnya kerana takut pada azab ALLAh Ta’ala. Takut kepada azab ALLAh Ta’ala itu membawa kesedaran takut untuk melakukan segala larangan-laranganNya yang boleh membangkitkan kemurkaan ALLAh ‘Azza Wa Jalla yang Maha Pengasih kepada diri manusia itu sendiri..

Mengharapkan keredhaan dan perhatian serta syurga dari ALLAh Ta’ala sepanjang melakukan ibadah semasa hayat adalah perasaan khusyuk dalam takut. Mengabdikan diri dengan mengharapkan kuasa dari ALLAh untuk mempermudahkan segala urusan juga termasuk dalam bahagian perasaan khusyuk.

Takut kepada-Nya, kerana azab-Nya.
Kasih dan Cinta kepada-Nya, kerana sifat Pemurah-Nya!

Peringatan yang lebih-lebih untuk diri saya sendiri terutamanya.

Pssst! Sudah melangkah masuk ke dalam 10 malam terakhir di bulan ramadhan. Ada kegembiraan yang dinanti-nanti oleh orang-orang soleh dan solehah didalamnya, iaitu malam Lailatul Qadar. Juga ada kesedihan bagi orang yang merindu dan menantikan ramadhan kerana bulan yang penuh berkat ini bakal berlalu tidak lama lagi.

Selamat bertemu Laylat Al Qadr~

Semoga ALLAh merahmati.

2 thoughts on “Antara Perasaan Khusyuk dan Takut Dalam Diri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *