Amal Ibadah : Bukan Untuk Buat Manusia Suka Kita

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Astaghfirullah for I've sinned.
Astaghfirullah for I’ve sinned.

Ketika entri ini ditulis, sudah boleh dikatakan sepertiga malam. InshaAllah, hari pertama berpuasa. Dan beberapa detik sahaja lagi akan mengambil keberkatan sahur yang pertama di bulan ramadhan pada tahun ini. Ya, berpuasa sekali lagi seperti tahun-tahun sebelumnya di perantauan. Maknanya, jauh dari rumah. Senyum.

Saya terpanggil untuk menulis entri ini.

Hidup kita ini, ke manapun sebenarnya kita mahu melencong atau mahu hidup kerana apa, berpusinglah berapa ratus darjah di dunia sekalipun niat kita dalam apa-apa jua pekerjaan, yang hanya akan bererti adalah apabila kita menetapkan semuanya kerana Allah Ta’ala.

Setiap satu yang kita lakukan di dunia ini, tidak pernah sesaat pun terlepas daripada penilaian Allah Ta’ala. Hatta mulut kita berbuih mengatakan bahawa kita ikhlas dalam apa-apa jua pekerjaan, namun yang sebenar-benar mengetahui niat kita adalah Allah Ta’ala. Hatta kita sendiri pun tidak tahu apakah kita benar-benar mahu ikhlas kerana Allah, atau hanya mahukan perhatian dan pujian daripada manusia.

Makanya, tidak dinamakan sesebuah ibadah itu sebagai ibadah kalau hanya inginkan perhatian manusia. Bukan ibadah namanya jika hanya mahu menunjuk-nunjuk. Bukan ibadah namanya jika mengharapkan pujian manusia — adapun manusia memujimu, kembalikan pujian itu kepada Allah — dan bukan ibadah namanya jika hanya bersemangat melakukan amal ketika dilihat oleh manusia lain.

Adakah hidup kita ini hanya mahu membuat manusia suka? No!

Ragam Di Laman Sosial

Saya sangat percaya bahawa setiap laman sosial yang wujud pada zaman sekarang ini boleh digunakan pada jalan kebaikan. Jika kita mempunyai blog, maka tulislah yang baik-baik. Begitu juga apabila kita mempunyai akaun twitter, facebook, akaun youtube. Semuanya boleh digunakan ke arah kebaikan. Meskipun ramai orang yang menggunakannya ke arah keburukan, maka kita tidak perlu mengikut cara mereka.

Faham?

Baiklah (*tarik nafas. hembus nafas*) Apa yang saya hendak khabarkan melalui tulisan saya ini, terlebih-lebih dahulu adalah nasihat buat diri saya sendiri. Saya, kamu, kamu dan kamu. Untuk kita semua.

Ada orang, rancak update status di laman sosialnya. Sentiasa sibuk dengan pelbagai info yang berkaitan agama dan isu global semasa. Namun pada kehidupan realitinya, dia adalah seorang yang tidak berperwatakan sedemikian. Faham atau tidak?

Wujud sahaja manusia yang sibuk memperingatkan orang-orang di laman sosial mengenai solat, mengenai puasa dan perkara-perkara kebaikan. Tetapi sebenarnya dirinya tidak pun melakukan semua apa yang pernah dia peringatkan kepada orang ramai. Duduk di depan komputer mahupun laptop, tetapi apabila tiba waktu solat, dia pun baring dan tidur. Dan amalan itu berterusan hari demi hari.

Nah orang begini sebenarnya, mahukan apa?

Mungkin kita terlupa, bahawa Allah Ta’ala sangat membenci orang yang berpura-pura dan berkata-kata tentang suatu peringatan yang diberikannya kepada orang lain, padahal dirinya tidak mengerjakannya. Percaya?

Allah Ta’ala berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah as-Shaff : 2-3)

Update di laman facebook mengenai menjadi seorang yang baik budi pekerti. Tapi hakikatnya di alam realiti, dia seorang yang panas baran, kurang beradab dan kurang bertolak ansur, malah memusuhi sesiapa yang menasihatinya dengan baik.

Tweet mengenai jangan mengamalkan sikap mengumpat, tapi sebenarnya dirinya sendiri adalah seorang manusia yang tidak boleh hidup tanpa mengumpat tentang orang lain dalam kehidupan sehariannya. Cuba beritahu saya, apa masalah orang yang begini?

Kita mahu membuktikan apa kepada manusia? Walhal dalam masa yang sama, kita sebenarnya sedang menipu diri sendiri dan perkara yang terbesar sekali adalah dalam sangkaan kita, adakah kita dapat menipu Allah Ta’ala?

Makanya, saya sangat menentang sesiapapun yang hanya mahu kelihatan baik dihadapan khalayak manusia, tetapi sebenarnya itu bukanlah dirinya yang sebenarnya.

Allahuakbar. Semoga Allah mengampuni kita.

Amal Ibadah Kerana Cinta Allah Kepada Kita

Kita tidak perlu menjadi seseorang yang ada kelulusan Phd atau Master, kita tidak perlu menjadi cantik atau kacak, kita tidak perlu menjadi seorang yang wajib kaya raya dan perlu ada kereta lamborghini untuk menjadi seorang hamba yang beriman dan melakukan setiap satu pekerjaan di dunia ini kerana Allah Ta’ala.

Cukuplah kita ada hati. Hati yang merendah kepada Tuhan.

Betullah, kadang-kadang harta kekayaan yang ada di dunia hanya akan memberatkan lambung untuk beribadah. Namun sesekali, Islam bukanlah agama yang sangat kolot atau miskin sehingga mengharamkan penganutnya untuk menjadi kaya. Tetapi, manusia itulah sendiri yang sebenarnya perlu memandu setiap apa yang ada di dunia dengan sebaik-baiknya dan memastikan diri masih dilandasan yang Allah redha.

Hati sayu mengenangkan kisah Abdul Rahman bin Auf, seorang sahabat baginda yang setia dan kaya raya. Sanggup menginfakkan hampir keseluruhan hartanya di jalan Allah. Katanya, dia tidak mahu dirinya diberatkan dengan persoalan mengenai hartanya yang ada dihadapan Allah Ta’ala nanti. Peribadi yang sangat awesome, sungguh!

Hidup di dunia ini, kalaupun seluruh manusia menyanjung tinggi terhadap kita, tetapi kalau Allah Ta’ala tidak redha, maka akan ada kekosongan yang terbesar sekali dalam kehidupan kita. Hidup kita tidak akan bererti apa-apa pun. Useless!

Solusinya? Semuanya hendaklah berpaksikan Allah! Ya, Allah Ta’ala!

Jangan Terpedaya Dengan Indah Dunia

Dunia ini dihiasi dengan keindahan. Antara keindahannya adalah manusia itu sendiri. Ada orang, sanggup berhabis-habisan atau dalam erti kata lain, sanggup pulun habis untuk menarik perhatian manusia lainnya. Biar diirinya dikenali sebagai orang-orang yang baik walaupun hanya di alam maya. Bagi dirinya, cukuplah dia dikenali di alam maya sebagai seorang yang baik walaupun pada hakikatnya, dirinya tidaklah sebaik seperti apa yang dipertontonkan di alam maya. Sesuatu yang sukar difahami, bukan?

Mahukan perhatian manusia untuk tenang dalam kehidupan? Astaghfirullah.

Maka perlu kita ketahui, ketenangan itu adalah hak milik Allah. Ketenangan hanya akan diperolehi apabila kita dekat kepada pemberi ketenangan, pemilik kepada ketenangan. Maka kalau ada yang bertanya, bagaimana pula dengan orang yang tenang dalam kemaksiatan dan kepura-puraan? Maka percayalah, mereka sebenarnya sedang menipu diri sendiri. Walhal jiwa mereka itu sedang menderita.

“Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan mainan belaka. Dan sesungguhnya akhirat itulah sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut : ayat 64)

Dunia ini hanyalah dunia. Kebendaan dan nama akan ditinggalkan, tidak akan ada ertinya. Yang hanya akan berterusan dan membuahkan pahala hanyalah manfaatnya. Manfaat yang digunakan di jalan-jalan yang Allah Ta’ala redha dan suka.

“Hai manusia! apakah yang telah memperdayakan kamu (dengan berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu dan menyempurnakan kejadiaan kamu dan menjadikan (susunan tubuh) kamu seimbang dalam bentuk apa sahaja yang dikehendaki. Dialah yang menyusun tubuhmu.” (Surah al-Infithar: ayat 6-8)

Bersihkan hati kita daripada pujian manusia, kawan.
Allah Ta’ala itu tujuan kita!

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *