Allah Yang Membuat Kita Kuat!

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Bukan kerana kita sendirinya kuat.. Tapi kerana Allah yang bagi kuat.. =)
Bukan kerana kita sendirinya kuat..
Tapi kerana Allah yang bagi kuat.. =)

Saya suka lihat orang-orang yang berjaya. Sebab saya tahu pasti sejarah jatuh bangunnya dalam kehidupan bukan sedikit. Untuk seseorang berjaya dengan hasilnya sendiri, bukan mudah. Mungkin sudah berapa banyak harta atau keselesaan yang terpaksa dikorbankan untuk sebuah kejayaan. Jadi cara pandang saya terhadap setiap orang yang berusaha untuk mencapai satu-satu objektif kebaikan dalam kehidupannya, hanya satu –

KUAT!

Hal ini juga mengingatkan saya mengenai betapa Allah sangat suka kepada para hamba-Nya yang mukmin, kuat berbanding hamba-Nya yang tidak kuat. Maka tahulah saya, orang-orang yang kuat dan tidak berputus asa itu mendapat tempat di sisi Allah Ta’ala.

Saya jadi terinspirasi sebenarnya. Fikir saya, kalau orang lain boleh ada keinginan yang kuat untuk berjaya, dan tahu apa yang sedang dilakukannya, mengapa tidak diri saya sendiri? Mengapa saya tidak boleh menjadi kuat menghadapi apa pun yang mendatang dalam hidup ini? Dan mengapa pula saya perlu berputus asa kalau untuk terus kuat itu membuahkan bahagia sebenarnya. Bahkan, inshaAllah, Allah juga redha.

Kita Kena Menjadi Kuat

Bila disebutkan kuat, bukanlah orang yang kuat itu yang mahir dalam pelbagai seni mempertahankan diri saja, atau mempunyai badan yang berketul-ketul. Tapi sebelum itu, zaman ini memang perlu untuk kita belajar seni mempertahankan diri seperti silat, taekwando atau karate. Baik, berbalik kepada kuat yang saya maksudkan. Kuat itu, ialah kuat rohani. Bukan hanya fizikal semata-mata.

Tubuh badan yang sihat, yang dijaga untuk tidak dijangkiti sebarang penyakit, itu juga adalah definisi kuat bagi saya. Jadi bagaimana orang yang mempunyai penyakit pula? Jawapan saya, mereka pun kuat, sekiranya mereka tidak mengalah dengan penyakit yang Allah uji mereka.

Saya jadi teringat gurauan dan santunan ketua nurse yang datang melawat ke dalam wad. Ceria wajah beliau. Bertanya khabar, bertanya tentang kesihatan, bertanya tentang nurse yang datang bersilih ganti untuk periksa tekanan darah, periksa air, bagi ubat, periksa itu periksa ini – katanya, kena kuat untuk sembuh. Sentiasa positif. Jangan sedih-sedih. Katanya lagi, beliau berminat hendak datang Malaysia, dan saya pelawa kalau datang Sabah bolehlah singgah rumah. Beliau gelak. Jadi kena cepat sembuhlah katanya. Macam mana mahu jumpa di Malaysia kalau masih tidak sembuh? Saya gelak sahaja.

Manusia, mahu tidak mahu, kena jadi kuat. Islam sangat menekankan penganutnya untuk menjaga kesihatan dari segi makanan, minuman dan cara hidup seharian. Sebab apa? Salah satunya adalah kerana tubuh badan yang sihat itu lebih baik dan sangat diperlukan untuk beribadah. Kalau sudah sakit, maka nikmat untuk beribadah itu sudah ditarik sedikit.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas..

…dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” [Hadis Riwayat Muslim]

Kekuatan Rohani dan Iman Kita

Kalau mahu kuat, jangan kuat fizikal sahaja. Tapi kekuatan dalaman dan rohani itu juga tidak kurang pentingnya. Kata orang Indonesia, “Ya percuma aja kalau kuat jasadnya, tapi rohaninya ngak!” Kalau yang kuat dan sihat itu hanyalah fizikal semata-mata, tapi rohaninya sedang sakit, maka perkara itu pun tidak boleh sebenarnya. Hanya rohani yang kuat mampu mengerah jasad untuk datang menghadap Allah dan melakukan ibadah dan kebaikan untuk meraih redha-Nya. Jika rohani lemah, maka iman pun sebenarnya lemah.

Untuk hal ini, betapa saya kagum terhadap Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz, yang walaupun dalam keuzuran, namun ibadahnya, dakwahnya masih dijalankan seperti biasa. Malah, hayat-hayat terakhir beliau dipenuhi dengan memberi ceramah kepada orang ramai. Mengajak kepada kebaikan. Menunjukkan qudwah hasanah terhadap orang sekeliling. Jasad yang sudah uzur tidak membuatkan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz hanya duduk diam tanpa berbuat apa-apa, bahkan beliau masih aktif ke sana sini.

Kerana apa? Kerana rohani atau iman beliau kuat sebenarnya.

Ketika menonton bersama seorang kawan video orang-orang Islam di Syria, di Gaza hidup dalam kesusahan kerana penindasan, mereka masih tetap kuat untuk beribadah. Masih tetap mengerjakan solat semampunya mereka. Malah, penggantungan mereka terhadap Allah juga masih utuh. Kawan tadi bertanya, kekuatan dari manakah yang mereka dapat ini? Katanya, kalau diri beliau, beliau rasanya mungkin sudah tidak tahan dengan kehidupan seperti itu.

Saya hanya diam. Bermuhasabah sendiri. Mungkin kalau saya di tempat mereka, saya juga tidak tahu apakah saya mampu. Tapi jauh disudut hati saya ini, saya menjawab pertanyaan kawan tadi, “kerana iman mereka kuat.. mereka yakin janji Allah. Aku cemburu..!”

Kerana Kita Manusia

Bila kita bercakap soal kekuatan, maka kita juga ada kelemahan. Mari kita bercakap (baca) sebentar mengenai kelemahan. Seseorang yang kita lihat kuat itu, ada sisi lemahnya dia. Seseorang yang kita lihat sentiasa positif itu, ada harinya beliau juga berfikiran negatif. Seseorang yang kelihatan sentiasa ceria itu, kita tidak tahu hatinya menanggung duka. Seseorang yang kita lihat bersahaja itu, kita tidak tahu bahawa dialah yang paling terluka.

Jangan berkata bahawa orang yang sentiasa bercakap mengenai kebaikan itu adalah orang yang sejak azalinya adalah baik. Atau orang yang sentiasa positif itu adalah orang yang tidak pernah mengalami kesusahan hidup. Kita ini, tiada yang terkecuali, pasti ada sejarah atau detik masa yang mana hidup terasa terbalik 90 darjah. Bagi saya itu normal, sifat manusia.

Ada harinya kelam – walau sudah dibalut dengan kegembiraan.

Apa yang mahu saya sampaikan sebenarnya? Saya mahu katakan bahawa, setiap dari manusia dan setiap dari kita itu ada sisi masalah dalam hidupnya, ada dugaannya tersendiri, ada hari-harinya mendung tanpa berkongsi dengan orang lain, ada ketika dia diduga oleh Allah dengan ragam manusia, ada waktunya dia juga merasa kehilangan arah.

Kita tidak tahu keadaan seseorang. Tetapi, itulah realiti. Bukti bahawa kita ini hanyalah seorang manusia, seorang insan hamba Allah yang lemah. Sekuat mana pun kita mahu memenuhi tuntutan Allah terhadap para hamba-Nya, kita sebenarnya juga lemah. Kerana itu kita perlukan kekuatan dari Allah, kita perlu kuat untuk terus kuat menuju redha Allah.

Kita kata kita cemburu terhadap seseorang yang kehidupannya sentiasa ceria, atau sentiasa baik-baik sahaja, tidak macam kita yang banyak dugaannya. Walhal kita tidak tahu hati seseorang itu, menanggung seribu duka dan kesakitan. Tetapi beza antara dia dan kita, dia memilih untuk terus kuat instead of jadi lemah terhadap ujian kehidupan.

Berbeza, bukan? Dapat tangkap maksud saya? Senyum.

Kerana ALLAh Lebih Sayang!

Apa motivasi orang-orang yang terus kuat itu? Jawapan saya,
ini :

“Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah…”

Mahu menjadi yang dikasihi oleh Allah, maka perlu menjadi seperti yang dikehendaki-Nya. Kerana apa yang dikehendaki oleh Allah, adalah kebahagiaan buat diri kita.

Senyum.
Dan senyum lagi.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *