Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Allah Yang Bagi Pandai Manusia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

... kerana apa yang kita ada. adalah kerana Allah yang bagi pinjam kepada kita. Justeru, kebanggan apakah yang membawa kesombongan jika semuanya hanyalah pinjaman?

… kerana apa yang kita ada. adalah kerana Allah yang bagi pinjam kepada kita. Justeru, kebanggan apakah yang membawa kesombongan jika semuanya hanyalah pinjaman?

Siapa tidak cemburu melihat orang yang pandai? Ya, pandai. Sekurang-kurangnya pandai dalam penilaian kita. Sejenis pandai menurut penilaian seorang manusia. Macam contoh; Pandai berniaga, pandai dalam akademik, pandai berbicara, pandai menulis dan pandai bermulut manis. Eh? Pendek kata, pandai dalam banyak hal.

Kadang tu kita sangka orang yang pandai ni memang genetik dia pandai dan memang kepandaian itu melekat dengan dia sejak dia lahir. Dan kita yang kurang pandai ni menyangka memang kita dilahirkan tidak pandai. Kita kata sudah takdir Allah SWT begitu. Siapa pernah menyangka begitu? Ala, mengaku sahajalah. *senyum miring*

Akhirnya ada yang macam rela dalam terpaksa menerima kemampuan diri sendiri bahawa dia tidak pandai. Dan itu boleh membawa kepada berhenti untuk berusaha keras. Yalah, bila seseorang mula mengukur kemampuan diri sendiri dengan kejayaan orang lain, pastilah itu akan menjadi kunci kepada permulaan putus asa.

Tapi jangan kita lupa. Bila seseorang itu pandai dalam banyak hal, maka pandai itu adalah kerana izin Allah SWT. Bila seseorang itu kita nampak berilmu dan orang yang terkemuka dalam bidang falsafah atau akademik, maka itu juga adalah kerana izin Allah SWT. Pandai itu tidak datang secara tiba-tiba, ia adalah ramuan dari ‘keizinan Allah SWT dan usaha seseorang’. Tiada istilah seseorang lahir-lahir sahaja ke dunia terus menjadi seorang yang genius dalam banyak bidang dengan sendirinya tanpa izin Allah SWT.

Kita Berasal Dari Tidak Tahu Apa-Apa

Kita dilahirkan ke dunia dengan jasad seorang bayi kecil yang tidak tahu apa-apa. Kita tidak dapat melihat dan tidak tahu bercakap. Waktu demi waktu berlalu, kita belajar sedikit demi sedikit. Dari meniarap, merangkak, berjalan dan berlari. Dari ABC, 123 dan seterusnya lancar dalam membaca dan menghitung. Nampak? Hidup kita ini ada fasa yang perlu dilalui oleh semua orang. Tiada manusia yang dilahirkan sesaat ke dunia terus sahaja pandai hal-hal yang saya sebutkan tadi. Maka begitu jualah ‘PANDAI’ seseorang.

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.”
(QS. an-Nahl: 78)

Allah SWT telah memberi ilmu dan dari ilmu itu timbullah kepandaian seseorang manusia. Dan adakah kita sedar bahawa ilmu dan kepandaian yang Allah SWT bagi itu adalah secara PERCUMA? Pernah terfikir? Syaratnya manusia kena berusaha. Kerana dengan ilmulah manusia dari jahil boleh menjadi alim, dan ilmu boleh menjadi penyuluh kehidupan semasa di dunia dan akhirat. Dengan ilmu, sesuatu yang tidak betul boleh dibetulkan.

Saya pernah ditanya, “Dah tu Suhana, kenapa ada orang dia berilmu dalam bidang tu, ada orang tidak? Ada orang dia tidak pandai pun dalam akademik.” Sejujurnya, macam mana yang saya hendak jawab pertanyaan sebegini? Baiklah, macam ni..

Setiap manusia berbeza. Itu saya percaya dan saya yakin. Ada orang, dia pandai dan bijak dalam ilmu akademik atau falsafah. Ada orang, dia lebih pandai dan bijak dalam ilmu praktikal macam bertukang, sebagai contoh. Begitulah. Ada orang ni, dia pandai buat A. Tapi tidak pandai dan tidak mahir dalam lapangan B. Ada orang pula, dia kurang dan memang bukan arif dalam bidang A, tapi sangat mahir dalam bidang B. Faham?

Pada saya beginilah, setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Dan ilmu yang Allah SWT berikan kepada manusia, sesuai dengan kesesuaian hamba-Nya. Tidak semestinya kita tidak pandai dalam sesuatu lapangan, maka kita adalah orang bodoh. Sebaliknya, mesti kita pandai dan mahir dalam lapangan atau kerja lain.

Itu satu keindahan sebenarnya. Orang yang mahir dalam bidang masing-masing akan saling melengkapi. Sebab itu saya percaya setiap orang ada kemahiran dia yang tersendiri. Tidak perlu untuk merasa diri tidak berguna sebab tidak sepandai orang yang kita lihat sangat pandai dalam bidang tersebut. Sebaliknya, fokus kepada diri sendiri sehingga membuahkan hasil. Dan yang penting, jangan sesekali bongkak.

Jangan Bermegah-Megah Dengan Ilmu

Manusia itu diberikan ilmu oleh Allah SWT bukan untuk bermegah, menjadi sombong dan takabbur dengan ilmu yang dia ada. Sebaliknya, dengan ilmu itulah manusia seharusnya lebih sedar hakikat dirinya sebagai seorang hamba Allah, memperbaiki diri dan orang sekeliling dan memakmurkan bumi ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Kenapa perlu timbul isu sombong dengan ilmu yang ada dalam diri seseorang manusia? Sedangkan Allah SWT memberikan ilmu tersebut tanpa bayaran dan Allah SWT tidak menagih pula kepada manusia untuk membayarnya. Melainkan, dengan ilmu itulah manusia perlu beramal dan menyelamatkan diri di dunia dan akhirat disana nanti.

“Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(QS. Qalam: Ayat 5)

Para alim ulama dan bijak pandai kata, seharusya semakin seseorang itu berilmu, semakin dia rasa banyak lagi yang dia tidak tahu. Dan kerana itu, dia semakin merendah diri.

Kecelakaanlah bagi seseorang yang dipinjamkan ilmu dan kepandaian oleh Allah SWT lalu dia berkata, “Aku pandai sebab aku berusaha. Sebab aku belajar rajin-rajin!” Walhal, sekiranya bukan kerana Allah SWT memberi izin, maka berusaha mana pun seseorang, pasti dia tidak akan dapat. Tetapi berhati-hatilah wahai kawan. Jangan terjerumus dalam perangkai iblis. Tiada kemuliaan bagi seseorang yang suka bercakap besar.

Saya sejujurnya, akan kasih kepada seseorang yang banyak ilmu tapi sangat merendah hati dan diri. Bila mana dia berkata, maka kata-katanya yang baik-baik kerana Allah SWT. Bila dia memberi nasihat, maka nasihat kerana dia sayang yang lain kerana Allah SWT.

Senyum.

Semuanya Adalah Ujian Dari Allah

Seseorang yang tiada kelulusan dalam bidang akademik, atau sijil pengiktirafan kemahiran dari mana-mana tempat, jangan kita sangka bahawa orang itu adalah orang bodoh. Istighfarlah, wahai kawan! Ilmu Allah SWT itu luas. Rezeki dari Allah SWT itu ada. Boleh jadi orang yang tiada kelulusan akademik dan sijil-sijil yang banyak itu lebih pandai dan lebih praktikal dalam hidup. Dan tidak hairan jika dia lebih ‘kenal’ hidup di dunia ini bagaimana. Dan saya sangat percaya bahawa pasti dia ada kemahiran dia yang tersendiri.

Orang yang diiktiraf dan kelihatan sangat berilmu pun, pasti ada ujiannya yang tersendiri. Dan sebenarnya jika kita fokus terhadap diri kita sendiri dan kita fokus terhadap perintah dan suruhan dari Allah SWT, tiada masa sebenarnya untuk hati kita ini membuahkan bintik hitam dan berkata buruk tentang orang lain.

Sebab apa? Sebab kita sibuk nak bagi Allah redha kepada kita.

Miskin itu ujian. Kaya itu ujian. Pangkat dan kuasa itu ujian. Menjadi ahli dalam bidang yang tersendiri dalam dunia ini juga ujian. Allah SWT tidak memberi sesuatu kepada hamba-Nya untuk kita menjadi seseorang yang sombong dan bongkak. Titik!

Kamu ada kelebihan? Gunakannya untuk kebaikan ummah!
Jangan gunakan untuk bermegah dan sombong semata-mata.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *