ALLAH Tahu Yang Terbaik Buatmu

Assalamu’alaikum w.b.t

Kadang-kadang kita seakan tersesat sendiri dalam kemahuan jiwa dan ketentuan Allah. Credit Picture: by Vashpreado
Kadang-kadang kita seakan tersesat sendiri dalam kemahuan jiwa dan ketentuan Allah.
Credit Picture: by Vashpreado

“Su, tolong bagi aku nasihat. Aku bukan tak terima ketentuan Allah. Aku tau Allah sedang bagi aku yang terbaik. Aku cuma sedih. Aku sedih betul, rasa macam tiada tempat untuk tanganku berpaut..”

Begitu SMS yang mengetuk peti masuk telefon bimbit. Aduh, jiwa saya terus terasa sayunya. Berfikirlah saya hendak balas apa. Kesedihan orang, jangan ditambah. Nanti dia lagi tambah lemah jiwa. Maka saya cuba menyusun ayat, biar tidak menambah luka.

Kenapa kita sedih bila yang berlaku tidak sesuai dengan keinginan kita walaupun kita sudah berusaha keras bersusah-payah untuk apa yang kita hendak capai atau perolehi? Perkara ini pernah saya bualkan dengan seorang sahabat. Sedar tidak sedar, Tea C Special yang disedut-sedut sepanjang perbualan, sudah habis. Banyak faktornya sebenarnya yang mungkin buat kita rasa sedih dan terasa diri kita ini seperti loser.

Tetapi fikir saya, sesiapa pun akan merasa sedih. Walaupun tahu Allah SWT lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Namun fitrah jiwa, begitulah. Tapi kalau kita pandu jiwa dan jasad kita dengan sesuatu yang kita, insya-Allah hilanglah kesedihan itu berganti pasrah.

Kita Dan Kecewa Dalam Hidup

Saya percaya, kalau kita selalu fikirkan kekecewaan, maka pastilah kekecewaan itu akan menjadi lazim dalam hidup kita. Tapi, mari kita imbas sebentar. Kita akan sedih dan kecewa apabila pilihan hati menolak kita. Kita mungkin akan berdukacita apabila belum lagi masanya untuk kita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Ada juga yang resah dan sedih bila masih belum bertemu jodoh walaupun usia semakin meningkat dan mulai tertanya-tanya, “Teruk sangatkah rupa aku sampai takda orang yang nak?” Kita hampa terhadap diri sendiri apabila masih belum kelihatan berjaya seperti kawan-kawan yang lain. Pendek kata, kita akan kecewa terhadap hidup ini apabila sesuatu yang kita kejar dan ingin capai dalam hidup tidak kesampaian.

Betul, kan?

Ada orang dia akan sedih mula-mula saja, lama-lama nanti dia akan baiklah. Dia teruskan hidup macam biasa, dan terus berusaha pula dengan jalan lain. Tapi ada orang tidak boleh move on dengan apa yang berlaku dalam hidupnya. Pada dia, diri dia teruk sangat dan hidup ini seakan tidak adil. Nah, di mana Allah SWT dia letakkan ketika itu? Tiada. Ada yang tidak memikirkan Allah SWT kerana kekecewaan yang sudah menyelubungi jiwa. Allah sudah tiada dalam fikirannya. Yang dalam fikirannya hanya kekecewaannya.

Kalau saya boleh katakan kepada sesiapa yang berfikiran sedemikian, saya akan katakan; Bersabarlah. Tenangkan fikiran. Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita sebenarnya, walau tidak terjadi seperti apa yang kita harapkan dan apa yang kita duga, adalah merupakan ketentuan dan takdir Allah SWT. Kita kena paksa dan didik jiwa kita untuk percaya dan yakin bahawa semua yang berlaku terhadap diri dan kehidupan kita, baik seperti yang kita mahukan atau pun yang sebaliknya, adalah rahmat daripada Allah SWT.

Saya pasti, kita semua pernah terdengar atau selalu baca firman Allah SWT ini.

“..dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang itu adalah yang baik bagimu; dan boleh jadi kamu suka sesuatu, sedangkan itu bukan yang terbaik untukmu. Dan Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah: Ayat 216)

Kita kena sedar kelemahan kita sebagai seorang hamba, dan ceteknya ilmu kita mengenai baik buruk sesuatu yang kita mahukan dalam kehidupan itu, tidak setanding dengan pengetahuan Allah SWT, yang menciptakan kita sejak kita belum menjadi seketul daging di dalam rahim ibu kita pun. ita ini, ada waktunya kena berkeras dengan diri sendiri. Jangan terus melemah dan memberontak, biar kita melihat perancangan Allah SWT untuk kehidupan kita itu adalah yang TERBAIK. Kena yakin itu.

Rahmat Allah Itu Bermacam-Macam

Apabila Allah SWT ingin memberikan sesuatu yang baik kepada seseorang itu atau rahmat Allah SWT itu, saya sangat percaya bahawa dengan kekuasaan Allah SWT, semua itu akan datang dalam pelbagai bentuk dan gambaran yang berbeza-beza dimata manusia. Boleh jadi dalam bentuk-bentuk kebaikan. Dengan cara seiring dengan apa yang kita hajatkan dan hendak capai. Dan adakalanya rahmat dari Allah SWT itu dalam ketetapan yang bertentangan dengan apa yang kita inginkan.

Sebenarnya kalau difikir-fikir, kita ini laksana anak kecil yang menginginkan semua yang kita nampak menarik. Masih ingatkah kita sewaktu kecil apabila kita merengek mahukan sesuatu? Dan kita berusaha meminta kepada ibu atau bapa kita. Tetapi kerana ibu bapa kita tahu apa yang kita nampak menarik itu, tidak baik untuk kita, maka ditolaknya permintaan kita. Adakah kerana ibu bapa kita itu jahat? Tidak! Kerana ibu bapa kita sayang dan cinta kepada kita. Mereka tahu, ada bahaya kalau kemahuan kita dituruti.

Nah! Begitu jua keadaannya apabila kita memberontak sendiri, kerana apa yang kita mahukan dalam hidup di usia dewasa ini tidak tercapai. Kita berdoa untuk itu dan ini, tetapi kononnya Allah SWT tidak pernah kabulkan permohonan kita. Sedangkan sebenarnya, setiap permintaan yang dikabulkan oleh Allah SWT, dan setiap penolakan terhadap apa yang kita dambakan itu, dua-dua adalah rahmat dan nikmat daripada Allah.

Malah tidak keterlaluan apabila ada yang mengatakan bahawa Allah SWT tidak pernah menolak doa. Bahkan dia menggantikan dengan sesuatu yang lain, yang jauh lebih baik untuk diri kita dan kehidupan kita. Masya-Allah, tabaarakallah!

Imam Ibnu Athaillah Assakandary pernah berkata,

“Apabila Allah memberi kepadamu, nescaya Dia saksikan kepadamu kebaikan-Nya. Dan apabila Dia menolakmu, nescaya Dia saksikan kepadamu kekuasaan-Nya. Maka Dia (Allah) di dalam semua itu memperkenankan dan menghadapkan kepadamu dengan sifat kehalusan-Nya kepadamu..”

Allahuakbar.

Banyak waktu kita ini selalu memusuhi apa yang kita tidak tahu dan apa yang kita tidak mahu. Walhal, ada cerita disebaliknya yang sedang dihantarkan oleh Allah SWT untuk kesejahteraan hidup kita. Kerana apa? Kerana hati kita masih banyak noda sebenarnya.

Jangan Sangsi Terhadap Allah SWT

Siapa yang tidak teruji dalam kehidupan ini kan? Tapi itu bukan tiket untuk kita mahu rasa seperti melupakan Allah SWT. Kita cakap pada diri sendiri, “Allah tu Maha Berkuasa, kenapa Dia tak mudahkan saja perjalanan hidupku ni? Ah!” Senyum.

Saya cuma boleh katakan, tiada kemanisan jika tiada perjuangan untuk sesuatu yang kita mahukan. Allah SWT sudah cukup baik dengan tidak membiarkan kita, dan berkali-kali mahu menyedarkan kita dalam pelbagai situasi. Kita ini saja, yang selalu tidak melihat kebaikan dan kemurahan Allah SWT. Sebab apa? Sebab kita hanya mahu apa yang mata kita lihat. Tetapi tidak mahu memahami apa yang mungkin sedang Allah aturkan.

Selagi hayat dikandung badan, selagi Islam menjadi pegangan, selagi kita masih seorang Muslim, sepatutnya selama itulah kita tidak perlu kecewa walaupun perjalanan kehidupan kita tidak seperti yang kita jangkakan. Teringat sabda Rasulullah SAW,

“Demi zat yang diriku ada ditangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang mungkin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya..” (Hadis Riwayat Muslim)

Jika sahaja kita dapat melihat perjalanan kita yang dengan cantik Allah SWT sudah aturkan, mungkin kita akan lebih malu dan tertunduk malu kepada Allah SWT. Cuba tanyakan diri kita. Kita selalu bersyukur, atau sebaliknya?

Penuhkan Hidup Ini Dengan Syukur

Bila Allah SWT kabulkan apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Jika kita tidak dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Sama ada Allah SWT makbulkan atau tidak, yang pada pandangan kita diterima atau ditolak, yakinlah bahawa yang ditolak itu ada penggantinya yang lebih baik. Kita cuma perlu menjadi seorang hamba yang merendah diri dengan Tuhannya, jalani hidup seperti biasa. Beribadah dengan ikhlasnya kepada Allah.

“Tiadalah sesuatu kesusahan yang dititipkan di bumi, dan tiada pula yang menimpa dirimu, melainkankan telah sedia ada dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kamijadikannya; sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah. (Kami katakan demikian) supaya kamu tidak bersedih hati atas apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (menyombong dan berbangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu..” (Surah al-Hadid: Ayat 22 & 23)

Nanti-nanti, pasti Allah SWT akan kirimkan sesuatu buat kita.

Yang penting, jangan cepat berputus-asa wahai kawan. Hidup di dunia ini tidaklah lama mana, kita pun tidak tahu umur kita sampai berapa tahun. Bila tengok pula pada amal ibadah dan amal jariah, aduhai tersangat sikitnya rasa. Dari kita sibuk-sibuk mahu melayan perasaan sangka buruk, baiklah kita mencari jalan untuk membuat kebaikan.

Pssst! Kadang-kadang, Tuan Punya Dunia itu ada banyak cara untuk cuit dan jentik kita. Biar kita tidak terus mengelamun di dunia, dan sedar bahawa kita masih belum ada di syurga. Selagi kita belum ada di syurga, selagi itu kita tidak berhenti berusaha.

Senyum.
Dan syukur.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *