ALLAh SWT Tidak Pernah Jauh

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Dengan merendahkan diri dan jiwa, pandanglah ke langit. Adakah terasa ALLAh begitu jauh? Tidak. ALLAh tidak pernah jauh!

Apabila dilanda masalah dan kekecewaan dalam hidup, manusia segelintirnya akan mula membuat perkara yang membawa dosa dengan sesuka hati. Boleh dikatakan, mereka memprotes. Menunjuk protes kepada siapa? Kepada Tuhan. Manusia adakalanya merasakan bahawa Tuhan itu jauh. Sangat jauh.

Tuhan jauh kata mereka. Kononnya kerana Tuhan tidak menolong mereka menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Mereka dibiarkan terkapai-kapai dalam menghadapi dugaan yang ada. Tipikalnya, manusia hanya akan berasa Tuhan itu dekat atau jauh apabila dilanda masalah yang membuatkan manusia termangu-mangu.

Segelintir manusia. Tidak semua.

Begitulah manusia. Cepat sahaja menuding jari kepada yang lain sebelum menuding jari kepada diri sendiri. Bila dilanda masalah, ada tidak manusia akan berkata kepada diri sendiri betapa selama ini dia jauh daripada Tuhan? Ada tidak manusia berkata selama ini betapa banyak kewajiban dan suruhan ALLAh Ta’ala yang tidak pernah dikerjakannya? Ya, memang ada. Namun terlalu banyak yang merasakan Tuhan jauh berbanding merasakan dirinya jauh dari Tuhan!

Membuka Tirai Perasaan Jauh

Kenapa ada diantara kita merasa Tuhan itu jauh? Sebenarnya, itu adalah kerana manusia yang menjauh. Apabila hati manusia tidak diisi dengan perkara-perkara yang mengingatkan kepada-Nya, maka hati manusia akan kosong daripada sentuhan-Nya. Lalu, mulai saat itulah manusia yang masih tidak membuka mata hati mengatakan yang Tuhan itu jauh.

Walhal, Tuhan itu sentiasa dekat!

Kenapa ada diantara manusia yang dengan tiada rasa bersalah sedikitpun dalam benaknya meninggalkan solat. Sudahlah meninggalkan solat, mengucap istighfar dan apatah lagi berdoa sangat jarang.

Kerana dia merasa ALLAh Ta’ala itu sangat jauh, maka itulah tetapan mindanya!

Ini bukan berkisarkan ALLAh Ta’ala itu jauh sebenarnya. Sebenarnya masalah itu adalah pada manusia itu sendiri. Kurang membuatkan diri tersentuh dengan perkara yang berkaitan dengan-Nya. Kurang atau tidak pernah memohon ampun merendahkan diri dengan sujud kepada-Nya.

Hati yang kotor dengan perbuatan tuan badan sendiri akan mengakibatkan cahaya hidayah tidak dapat menyentuh hati. Apalagi untuk memasukinya. Dek kerana kotoran didalam hati itu, maka tiada ruang lagi hidayah untuk bermukim. Memang betul, yang memberikan hidayah kepada seseorang itu adalah ALLAh Ta’ala. Dan inshaAllah, ALLAh Ta’ala akan memberikan kepada orang-orang yang berusaha untuk itu!

Mungkin juga kerana manusia itu hanya melihat dunia ini sebagai dirinya sahaja tanpa mengaitkan setiap satu yang dapat ditangkap oleh pandangan matanya berkait rapat dengan ALLAh Ta’ala. Yup! Memang sangat berkait! Kerana ALLAh Ta’ala itu adalah Pencipta, dan manusia serta apa yang wujud itu adalah ciptaan-Nya!

ALLAh Tidak Jauh, ALLAh Itu Dekat

Setiap helaan nafas, setiap kelipan mata, dan setiap gerakan langkah yang tercipta, apakah manusia boleh menafikan bahawa ALLAh Ta’ala itu jauh. Kalau tidak kerana ALLAh yang mengizinkan semua itu terjadi, adakah manusia akan dapat bergerak dengan sendirinya?

Pernah merasa ALLAh Ta’ala itu jauh? Saya tidak malu mengaku bahawa saya pernah. Disaat itu, ujian datang bertubi-tubi. Saya tidak tahu mahu mengadu dengan siapa (manusia). Kerana memang sifat saya pendiam dan jarang meluahkan rasa pada manusia ketika itu. Tapi saya bersyukur apabila ALLAh menunjukkan kebesaran-Nya untuk menggerakkan langkah saya ke masjid. Akibat perasaan rindu kepada rumah ALLAh yang mencengkam jiwa tiba-tiba, saya melajukan langkah dengan wajah lesu.

Disana, saya temui ketenangan. Kedamaian.
Dan yang penting, saya temui suatu jawapan. Jawapan kesedaran!

Sungguh, ALLAh Ta’ala tidak pernah jauh. Selagimana manusia melembutkan hati dan memandang semua kejadian itu adalah hidayah dan hikmah daripada ALLAh Ta’ala. Kerana memang itulah hakikatnya.

“Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat daripada urat lehernya.” – Qaf : 16

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah Ku dan beriman kepada Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.” – al-Baqarah : 186

Itu kenyataan dan perkhabaran dari ALLAh, bahawa sesungguhnya Dia sangat dekat!

Dan sekali lagi, masalahnya sebenarnya terletak pada diri manusia itu sendiri. Kenapa apabila ditimpa masalah, justeru merasa bahawa ALLAh itu tidak adil dan jauh? Sedangkan para pejuang agama dan para Rasul dan Nabi terdahulu diuji dengan hebat. Mereka itu lebih baik daripada kita ini, padahal!

Mengapa ringan sahaja mengukir bicara dibibir bahawa kita sangat yakin menuturkan rasa cinta kepada ALLAh dan Rasul-Nya, tetapi apabila ditimpa suatu musibah. Maka ukiran dibibir dan yang terbuku dihati sangat berbeza. Jadi, manakah buktirnya kata-kata yang indah itu? Yang dimana kata-kata yang anda tuturkan itu menggugah perasaan manusia lain!

Saya jadi malu bila membaca firman ALLAh ini,

“Apakah kamu mengira akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti yang dialami oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, digoncang dengan pelbagai cubaan. Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, ‘Bilakah datangnya pertolongan ALLAh?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAh itu sangat dekat.” – al Baqarah : 214

Kita memang cepat melatah, kan. *malu*
Sudahlah cepat melatah, jarang bersyukur lagi, malahan!
Dan itu ALLAh pernah rakamkan didalam alQuran,

“..Dan sedikit sekali dari hamba-hamba Ku yang bersyukur.” – Saba’ : 13

Jangan pernah merasakan perkara seperti ini; ALLAh itu jauh. Sebaliknya, berilah amaran kepada diri sendiri dan katakan kepada diri sendiri bahawa memang diri andalah yang makin jauh dari ALLAh Ta’ala. Disaat merasakan perkara itu, maka mohonlah keampunan dari Dia. Moga kita dikuatkan oleh-Nya.

Mintalah segala permohonan daripada-Nya. Kerana sesungguhnya, Allahul musta’an!

Semoga ALLAh merahmati.

4 thoughts on “ALLAh SWT Tidak Pernah Jauh

  1. “Dan aabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.”

    (al-Baqarah 2:186)

    Sesungguhnya Allah SWT itu dekat….

    Visit this link : http://www.youtube.com/watch?v=Gw21OVsoK5Q

    thanks for sharing..

      (Quote)

  2. “Apakah kamu mengira akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti yang dialami oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, digoncang dengan pelbagai cubaan. Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, ‘Bilakah datangnya pertolongan ALLAh?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAh itu sangat dekat.” – al Baqarah : 214

    oh ayat2 cinta Allah..tak pernah lekang dari hidup kte…mg kte sentiasa berusaha utk bermulazamah dgnNya…doakan sy ya^^

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *