Aku Dan Dia – Dia Lebih Baik Dariku

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Setiap saudara seakidah itu adalah cermin bagi diri. Percaya.

Bertemu dengan ramai orang dalam kehidupan sehari-hari, walaupun orang yang sama atau berlainan, membuat kita terfikir bermacam-macam perkara. Banyak. Kadang kala ada diantara kita menerobos jauh ke dalam bayangan kehidupan orang lain.

Memikirkan itu dan ini. Bagaimana dia begitu dan begini. Macam mana caranya dia melalui semua apa yang dia sudah lalui dalam kehidupannya. Kenapa dia boleh bertahan sehingga sekarang. Macam mana dia boleh tersenyum dan ketawa dengan bayangan kegembiraan di wajahnya? Macam mana boleh sinaran matanya menunjukkan tabah?

Banyak waktu, tidak terjangkau dek fikiran kita.
Satu sebabnya. Kerana kita tidak tahu.

Dan cukuplah bertemu dengan orang lain, membuatkan kita rendah hati.

Pertemuan Banyak Mengajar Erti Diri

Seorang yang Muslim itu, antara akhlaknya adalah, semakin ramai dirinya bertemu dengan orang lain, semakin rendah hati dan rendah dirinya kepada Tuhannya. Kerana, melalui pertemuan dengan ramai orang membuat dirinya menghisab diri sendiri. Membuka mata hatinya untuk melihat bayangan kebesaran ALLAh Ta’ala dalam perjalanan kehidupan orang lain.

Dan dia, sangat rendah hati.
Untuk mengaku, orang lain lebih baik dari dirinya.

Setinggi mana pun tahap pengajian, itu seharusnya tidak menjadikan seseorang Muslim itu merasakan dirinya megah. Atau merasa tinggi dari orang lain. Kerana hakikatnya, seorang Muslim yang semakin banyak belajar dan menuntut ilmu, seharusnya lebih rendah hati. Realitinya, semakin banyak belajar, semakin banyak perkara yang tidak diketahui. Dan cukuplah itu, menjadi pengajaran buat diri.

Dan kita, adakah kita antara manusia-manusia yang merasa;
dia lebih baik dari diriku?

Atau kita tergolong dalam golongan manusia yang,
mendabik dada, melebar jalan;
aku lebih baik dari dirinya!

Hati-hati. Putaran hidup sentiasa bergerak. Sunnatullah tetap berjalan.
Ingat-ingatkan diri. Moga kita menjadi hamba yang lembut hati.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *