Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Ajarkan Aku Untuk Mencintai

Assalamu’alaikum w.b.t

Ajarkan aku mencintai tanpa syarat. Sepertimana cinta-Mu kepadaku.

Ajarkan aku mencintai tanpa syarat.
Sepertimana cinta-Mu kepadaku.

Bila sebut tentang cinta, mesti kita akan terbayangkan cinta diantara lelaki dan wanita. Cinta diantara suami dan isteri. Tidak saya nafikan, itu juga cinta. Tapi konsep cinta itu lebih luas dari apa yang kita sangkakan. Tidak hanya terbatas diantara dua ajnabi yang saling memendam rasa.

Tipikal.

Cinta itu boleh jadi mencintai orang-orang sekeliling. Mencintai haiwan, malah tumbuhan. Mencintai kebaikan dan mengabadikannya ke dalam diri. Mencintai apa sahaja yang Allah SWT cintai. Mencintai apa sahaja yang Nabi SAW cintai. Mencintai amalan orang-orang soleh terdahulu. Mencintai akhlak yang baik serta sopan santun yang menyejukkan hati.

Pendek kata, mencintai itu memang luas!

Maka apa yang saya mahu sampaikan di sini? Sebenarnya, saya mahu kita sama-sama belajar mengenai hati yang mencintai. Kata seorang kawan saya, mencintai tanpa syarat. Pada saya, mencintai tanpa syarat itu tidak mudah. Tapi boleh. Bagaimana caranya? Mendidik hati kita selalu bahawa setiap apa yang kita lakukan, adalah kerana Allah SWT. Hanya kerana Dia.

Cinta Yang Tidak Dimakan Zaman

Ketika mata ini melihat seorang ibu tua yang dikasari oleh anaknya menurut perkiraan saya, betapa hati ini luluh. Pertuturan anaknya itu tidak tinggi, tidak pula perlahan. Malah diikuti dengan mimik muka yang seakan-akan menyampah, maka hati saya tersiat-siat oleh perbuatan si anak tersebut. Saya seakan-akan merasai sebak didalam hati ibu tua tersebut.

Saya melihat diri saya. Walau bukan anak yang terbaik diantara anak-anak Mama dan Bapa, jauh disudut hati saya, saya berdoa semoga Allah SWT menyampaikan saya kepada peluang untuk menyantuni kedua-duanya apabila mereka mencapai usia emas kelak. Dan semoga saya sentiasa berlembut kepada mereka seperti mana mereka berlembut ketika saya masih bayi tidak berdaya dan tidak berpengetahuan. Semoga saya dan keturunan saya tidak menjadi manusia derhaka.

Firman Allah SWT,

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘Ah!’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil’.” (Surah al-Israa : Ayat 23-24)

Disudut jiwa ini merintih, “wahai Allah! Ajariku aku untuk mencintai kedua orang tuaku tanpa syarat dan tanpa lelah. Jangan sesekali Engkau membiarka aku mengkasari mereka, ya Tuhan!”

Saat Allah SWT mengizinkan diri ini menyaksikan situasi di mana orang kaya memandang sinis dan hina kepada orang miskin, Allah SWT sahaja tahu betapa jiwa ini bagaikan dirobek-robek. Apakah tiada nilai orang-orang miskin di mata orang-orang kaya sedangkan yang membezakan kedudukan keduanya di dunia hanyalah harta. Tetapi pada pandangan Allah SWT, yang membezakan kedua-duanya hanyalah takwa. Takwa ketika di dunia untuk dipersembahkan kepada Allah SWT.

Maka saya berdoa, semoga Allah SWT jadikan saya sebagai orang yang diberikan rezeki oleh Allah SWT dan berkongsi rezeki tersebut terhadap mereka yang kurang berkemampuan. Allah SWT janji, tidak akan miskin orang yang selalu menderma. Bahkan akan Dia tambah pula berlipat kali ganda harta yang didermakan kerana Allah SWT.

Apa persamaan situasi yang saya lihat di atas? Maaf jika saya katakan, bahawa dua-dua situasi di atas adalah keingkaran kepada Allah SWT. Bukankah Allah SWT menyuruh kita saling berbuat baik sesama manusia tidak mengira bangsa dan agama? Apatah lagi kepada orang tua sendiri dan fakir-fakir miskin yang sudah pasti ada tempatnya disisi Allah SWT.

Kita Tiada Apa Sebenarnya

Sekarang percaya bahawa cinta itu luas ertinya? Betapa sebenarnya kita hanya selalu tumpukan kepada erti cinta oleh dua orang manusia yang berlainan jantina. Kita kerap meminta-minta kepada Allah SWT supaya diberikan cinta dan jodoh yang menjadi penyejuk di mata, penawar di hati. Tetapi, mengakulah.. Kita kurang berdoa untuk difahamkan oleh Allah SWT mengenai cinta yang banyak di atas dunia ini. Betul, atau tidak?

Kebaikan hanya akan timbul apabila di dalam hati manusia itu ada sekelumit rasa mencintai manusia lain selain dirinya sendiri. Keamanan dan kedamaian hanya akan wujud sekiranya manusia itu mengikis sifat berbangga-bangga dengan apa yang dia ada. Ketenangan hanya dapat dinikmati sekiranya manusia melihat diri mereka semuanya sama.

Tidak ada yang teruk. Tidak ada yang sangat baik. Titik!

Justeru, kalau kita sedar bahawa apa yang kita ada di dunia ini sedikit pun bukan milik kita, maka di dalam diri kita pasti tiada sifat kedekut walau sekelumit. Orang-orang mukmin beriman bahawa Allah SWT yang mengizinkan seseorang hamba itu mempunyai harta. Sebaliknya, jika Allah SWT tidak mengizinkan seseorang itu berharta di dunia, walau sekeras mana pun usahanya, maka tidak berhartalah dirinya. Kerana itu, orang-orang mukmin sedar bahawa harta yang ada, bukanlah hak miliknya mutlat dan perlu berkongsi rezeki kepada yang memerlukan.

Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah segala amalannya. Kecuali dari tiga perkara : iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud dan Nasa’i)

Nah, tidakkah kita mahu memohon untuk diajari tentang mencinta?
Senyum.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *